Search This Blog

Wednesday, 11 November 2009

KELIP-KELIP KUSANGKA API...

MOHD GANI AHMAD
___________________________________________________________________

Dalam perjalanan pulang setelah menghadiri majlis tahlil yang disekalikan dengan majlis doa selamat berpindah ke rumah baharu Encik Rosli Haji Puasa, minggu terakhir bulan Syaaban.

Tiba-tiba saja, Haji Khamis Mohd Shariff mengemukakan pertanyaan, “Di akhbar ini, ada kenyataan: kejam celik, kejam celik tibalah kita ke Bulan Ramadan. Mengapakah tidak digunakan perkataan kelap-kelip?”

Saya tidak sempat merespons kemusykilan Haji Khamis dengan sewajarnya. Saya sekadar menyentuh kosa kata kejam, yang kadangkala disebut pejam oleh sesetengah orang dan daerah.

Marilah kita bincangkan kekosa kata: kejam celik dan kelap-kelip ini. Kejam celik dikategorikan sebagai parataksis. Parataksis lumrahnya terbentuk daripada kekata seerti atau berlawan.

Kemudian, frasa ini mengalami pengguguran kata hubungnya. Antara contoh parataksis yang lain: hitam dan putih menjadi hitam putih sahaja; kasih dan sayang pula menjadi kasih sayang.

Selain luluh kata hubung dan, parataksis biasanya tergugur kata hubung lain: atau, tetapi dan yang sebagainya.

Kejam merupakan perkataan pelbagai makna atau dalam istilah ilmu bahasanya disebut polisemi.

Makna pertama kejam ialah ganas, zalim, bengis dan tidak: berperikemanusiaan, atau bertimbang rasa atau ada rasa belas kasihan. Kejam yang ini berjenis kata adjektif.

Contoh penggunaannya: Para pemberontak di hutan belantara Afrika yang mengganas itu terlalu kejam sehingga tega membunuh dengan memenggal leher tawanan mereka.

Makna kedua kejam ialah menutup atau merapatkan mata. Kejam, yang ini di sesetengah daerah disebut pejam. Kosa kata ini berjenis kata kerja. Contoh penggunaannya:
Kejam mata mereka itu tidak bererti mereka sedang tidur. Mereka sekadar memejamkan matanya untuk menumpukan pendengaran mereka akan setiap patah perkataan yang sedang disampaikan oleh imam Jumaat di atas mimbar.

Celik pula ialah kata berlawan yang bertentangan maksudnya dengan kejam atau pejam ini. Yang boleh bermakna buka atau terbeliak, jika terbuka besar.

Jadi kejam celik ini makna denotasinya ialah buka dan tutup mata. Makna konotasi atau ungkapannya pula: jangka masa atau waktu berlangsungnya sesuatu kejadian atau perbuatan dengan terlalu cepat atau singkat. Secepat kita membuka dan menutup mata.

Mengenai kelap-kelip yang disarankan oleh Haji Khamis, kosa kata ini pula merupakan kata ulang tingkah atau kata ulang rentak; yang hanya berubah huruf vokalnya, daripada a menjadi i.
Kata dasarnya kelip. Dan kelap sebenarnya tidak mengandungi makna dan tidak boleh berdiri sendiri. Namun sekarang, sudah mempunyai makna yang kurang lebih sama dengan kelip. Denotasi ini, hasil pengaruh makna kosa kata kelip.

Kelip apabila diulang sebutannya menjadi kelip-kelip, merupakan kata ulang sempurna dan jati. Kosa kata ini menjadi nama sejenis serangga seperti kumbang kecil yang bercahaya di bahagian perutnya.

Pada masa saya kanak-kanak, serangga ini banyak terdapat di negara kita terutama di tebing sungai dan di belukar yang terdapat pohon berembang.

Kini, di Kampung Kuantan, Kuala Selangor, Malaysia, kelip-kelip atau kunang-kunang ini dijadikan daya tarikan para pelancong dengan tertubuhnya ‘Taman Kelip-kelip Bukit Belimbing’.
Kosa kata kelip ini seiras dengan kejap atau kedap. Daripada kejap ini lahirlah perkataan sekejap; yang bermakna sebentar atau seketika.

Seingat saya, ada pantun klasik yang menggunakan kata ulang kelip-kelip ini:
Kelip-kelip kusangka api,
Kalau api mana puntungnya;
Hilang ghaib kusangka mati,
Kalau mati di mana kuburnya.

Daripada kelap-kelip ini, lahirlah pula kosa kata lap-lip yang dimaknakan sebagai lampu lap-lip; yang dipasang bagi memeriahkan lagi suasana perayaan seperti Hari Raya, Deepavali, Krismas dan yang sebagainya.

Pada mulanya lap-lip ini disebut oleh kanak-kanak saja kemudian disebarluaskan oleh orang dewasa. Kosa kata ini merupakan bahasa percakapan dan belum terdaftar dalam kamus. Kosa kata ini, mungkin tercipta dan digunakan di Singapura sahaja.

Kelap-kelip membawa pengertian terbuka dan tertutup, yang biasa digunakan pada cahaya: lampu atau bintang. Contohnya: Lampu di ruang tamu sudah mula berkelap-kelip; mungkin lampu ini akan mati tidak lama lagi.

Bolehkah kelap-kelip ini menggantikan kejam celik?

Pada pendapat saya, kejam celik lebih sesuai bagi jangka masa atau waktu yang singkat. Namun tidak salah, kalau kita menyatakan yang lampu lap-lip itu sedang kejam celik.

Sementara kelap-kelip pula lebih sesuai atau serasi bagi pencahayaan. Sebagai contoh: Bintang yang bertaburan di langit itu berkelap-kelip sepanjang malam.

Namun agak aneh, kurang sesuai dan belum digunakan orang secara meluas dalam ayat: Kelap-kelip, kelap-kelip bulan Ramadan pun menjelang tiba.

Sebelum lampu lap-lip dicipta, di kampung biasanya, orang Melayu menggunakan lampu colok atau obor kemudian diganti dengan pelita minyak tanah.

Akhir 1950-an, setiap malam, saya pernah memasang pelita minyak tanah yang diperbuat daripada tin rokok atau tin susu yang bersumbu ini di sekeliling rumah pada malam satu lekur hingga menjelang Hari Raya di Kuang, Selangor.

Penggunaan kekosa kata kejam celik atau kelap-kelip ini sebenarnya terpulang kepada maksud yang hendak disampaikan penuturnya.

ENDIT.

No comments:

Post a Comment