Search This Blog
Tuesday, 10 November 2009
ANTARA BAL DAN BOL
MOHD GANI AHMAD
SHANGHAI,15 Oktober 2009, menantu saya, Encik Mat Nor Eunos, tiba-tiba saja menimbulkan cerita pertelingkahannya dengan dua orang temannya, Encik Ali dan Encik Salehan, mengenai penyebutan perkataan bal dan bol:
“Yang mana satu yang betul, Pa?”
Saya tidak sempat memberikan penerangan yang sewajarnya akan pertanyaan beliau itu. Minda saya lebih tertumpu kepada pemandangan di sekitar perjalanan dari rumah tumpangan ke pangkalan feri.
Saya hanya menyatakan, yang saya juga pernah menyebutnya dengan sebutan bol sahaja. Begitu juga bapa saya, Haji Ahmad Haji Dolnabi yang berasal dari Kota Madiun, Jawa, yang pernah bekerja sebagai sais kepada majikan berbangsa Perancis.
Sementara bapa mentua saya, Haji Osman Karto yang berasal dari keraton Surakarta, Solo, Jawa, yang pernah bekerja dengan syarikat perkapalan Belanda sentiasa menyebutnya bal dan tidak pernah bol.
“Warna bal hijau lebih cantik daripada bal putih.” Ketika ditanyai mengapa lampu berwarna hijau yang dipasangnya pada Hari Raya, 1967.
Kali ini, marilah kita sembangkan penyebutan kosa kata bal dan bol.
Seingat saya, kekata ini, memang sejak dulu lagi sering wujud perbezaan sebutannya. Ada yang menyebutnya bal dan ada pula orang yang menyebutnya bol.
Etimologi kekata bal dan bol, ambilan daripada bahasa Inggeris, bulb. Bahasa Inggeris pula mengambilnya daripada Latin, bulbus atau Greek, bolbos. Kekata ini bermakna sesuatu yang berbentuk bulat seperti bawang.
Dalam bahasa Melayu, bal bermakna mentol lampu elektrik. Ada sesetengah orang yang menyebutnya mentol sahaja.
1.
Mentol lampu bermakna bebola kaca yang di dalamnya terdapat filamen logam yang mengeluarkan cahaya apabila arus elektrik mengalir melaluinya.
Kosa kata ini terdaftar dalam Kamus Dewan, sejak 1970, susunan T Iskandar, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kamus Fajar, 1984, susunan Yunos Maris, terbitan Penerbit Fajar Bakti.
Kalau kita menyelongkar asal usul atau etimologi kosa kata ini, kita akan terbentur dengan nama Dr Volta, pencipta aliran tenaga bateri elektrik, berbangsa Itali.
Nama penuh pakar ilmu fizik ini ialah Count Alessandro Giuseppe Antonio Volta, yang hidup antara 1745-1827 Daripada nama penciptanya ini, maka lahirlah kosa kata volt. Kosa kata volt ini menjadi istilah elektrikal: voltmeter dan voltan.
Inilah antara cara atau kaedah yang dipraktikkan para ahli etimologi bagi menelusuri asal usul sesuatu kosa kata; berdasarkan kepada pencipta atau penemunya.
Mungkinkah perkataan volt dalam bahasa Inggeris ini disebut bol oleh orang-orang tua kita berdasarkan pendengaran mereka semata-mata?
Setelah penyebutan baku bahasa Melayu ditetapkan dan diisytiharkan penggunaannya, maka penyebutan bal yang dianggap baku. Bol pula dianggap sebagai variasi bahasa pertuturan sahaja dan tidak baku.
Sementara bol pula ditakrifkan sebagai nama sejenis jambu, iaitu jambu bol atau dalam bahasa sainstifiknya Eugene malaccensis. Makna kedua bol ialah saluran di penghujung usus, dubur atau anus.
Kededua perkataan bal dan bol ini hanya dibezakan oleh vokal a dan o; namun maknanya jauh berbeza.
Pastikanlah kita dapat menyebutkannya dengan betul supaya tidak lagi menimbulkan kesilapan makna yang menyimpang.
Mudah-mudahanlah, penjelasan ini dapat meredakan pertelingkahan tiga teman akrab, mengenai penyebutan bol dan bal ini.
ENDIT.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment