Search This Blog
Tuesday, 10 November 2009
ANAK AYAM TURUN 10, MATI SATU TINGGAL 9
MOHD GANI AHMAD
______________________________________________________________
Baru-baru ini, tersebar berita di media massa mengenai ramainya pasangan Cina di seluruh dunia terutama sekali di China, Malaysia dan Singapura yang mendaftarkan atau melangsungkan pernikahan mereka pada hari Rabu, 9 September 2009.
Menurut pendapat mereka, tarikh ini mudah diingati dan diharapkan dapat membawa tuah kepada kehidupan mereka pada masa depan.
Mungkinkah, mereka juga percaya yang nombor sembilan ini ada unsur yang membawa keberuntungan atau ada keistimewaannya?
Agak menarik hati juga untuk membincangkan dan menyelongkar makna dan rahsia kosa kata sembilan ini. Kosa kata yang menjadi ungkapan ini agak tinggi kekerapan penggunaannya setelah perang dunia kedua hingga 1960-an.
Saya masih ingat, ketika bersekolah di Sekolah Melayu Tanglin Tinggi yang bertempat di Scott Road sekitar 1949, kami dibawa guru melawat sambil belajar; mengenali tumbuh-tumbuhan dan kehidupan monyet di Kebun Bunga Singapura.
“ Cikgu, sembilanlah…” usik kami beramai-ramai setiap kali berpapasan jalan dengan Cikgu Tutik dari sekolah perempuan yang berdekatan. Guru kami ini hanya tersenyum dan tidak marah akan perbuatan kami yang agak lancang itu.
Cikgu Tutik juga mungkin secara kebetulan membawa murid-muridnya berdarmawisata di Kebun Bunga. Pada zaman itu tempat seperti inilah yang biasa dikunjungi oleh murid-murid sekolah ketika cuti penggal.
Pada masa itu, saya tidak faham akan maksud sembilan. Hanya ikut-ikutan saja. Terlintas pertanyaan dalam fikiran saya, mengapa tidak nombor tiga, tujuh atau nombor lain yang kami teriakan.
1.
Ketika mula berjinak-jinak dengan bahasa dan sastera, saya pun membelek-belek karya sasterawan setempat, terdapat antologi cerpen Mas yang berjudul Sembilan yang diterbitkan oleh Ghani and Sons, Singapura pada 1964.
Sudah agak lama juga saya hendak mengajukan pertanyaan mengenai antologi cerpen Sembilan ini kepada penulisnya tetapi sering terlupa.
Hanya baru-baru ini, setelah membaca berita 9.9.09 ini, barulah saya berkesempatan berbual dengan Mas di Masjid Al-Muttaqin, antara hujah beliau:
“Kisah ini panjang ceritanya, Gani. Tapi kalau nak disingkatkan, nombor sembilan ini merupakan ungkapan bernasib baik dan nombor istimewa…
Pada 1950-an apabila saya beroleh kejayaan, Masuri akan menyatakan, ‘Sembilanlah engkau, Rif!’
Begitulah juga sebaliknya, apabila Masuri mendapat sesuatu yang istimewa pula, saya akan berkata, ‘Sembilanlah engkau, Ri!...”
Menurut Prof. Dr. J Gonda, perkataan sembilan ini, sebenarnya berasal daripada perkataan satu diambil daripada sepuluh; satu ambilan atau seambilan, yang kemudiannya disebut sembilan.
Inilah makna sebenar atau denotasi kosa kata sembilan ini. Maksudnya, urutan bilangan sesudah nombor delapan dan sebelum nombor sepuluh.
Pembentukannya, lebih kurang sama dengan dua alapan menjadi dua lapan; dua dialap daripada sepuluh menjadi delapan dan lapan kemudiannya. Dialap maksud diambil atau dikurangi atau ditolak.
Dalam buku ‘Mari Kita Berpantun’ karya Mas, terbitan Majlis Bahasa Melayu Singapura, tahun 2004. tercantum pantun yang dizapinkan Almarhum Ahmad Karso, ayahanda Mas.
Pantun ‘Sepuluh Anak Ayam’ ini juga mengandungi perkataan sembilan yang sering dinyanyikannya sambil memetik gambusnya sekitar 1930-an. Saya kutip:
Anak ayam turun sepuluh,
Mati seekor tinggal sembilan;
Bangun pagi sembahyang subuh,
Mohon ampun kepada Tuhan.
2.
Sebenarnya, perkataan sembilan ini sebagaimana cerita Mas, merupakan makna ungkapan nombor istimewa juga bermakna: sesuai, serasi dan ada: can atau kesempatan atau peluang.
Konotasi atau makna sampingan kosa kata ini mungkin berpunca daripada sejenis permainan terup yang dinamakan pakau; dalam dialek Cina, kau ialah sembilan.
Kalau tidak silap saya, dalam permainan daun terup tiga kad ini, jumlah mata yang tertinggi dan menang ialah, sembilan. Sepuluh dianggap jumlah mata yang mati, buta atau ceme.
Jumlah mata sembilan ini lebih kecil dan kalah hanya kepada tiga ace (tiga daun sat atau nombor satu) atau dengan tiga kong (tiga gambar raja) atau tiga sepuluh.
Antara peribahasa yang menggunakan perkataan sembilan, lenggang patah sembilan iaitu nama tarian Melayu; yang juga bererti cara perempuan berjalan yang lemah lembut, berlenggang lenggok dan meliuk lentok.
Satu peristiwa sejarah yang ada hubungannya dengan angka sembilan ini ialah kisah Wali Songo; yang dikatakan telah membawa angin perubahan baharu di Tanah Jawa. Songo bermakna sembilan dalam bahasa Jawa.
Para Wali Sembilan inilah yang telah meruntuhkan zaman kegemilangan dan kebesaran kerajaan Hindu di Pulau Jawa sekitar kurun ke 17.
Kerajaan Wali-wali Sembilan ini telah menguasai kehidupan dan mengubah wajah politik Tanah Jawa selama beberapa ratus tahun. Kegiatan mereka ini bermula di pesisir pantai dari Surabaya ke Ceribon kemudian meluas ke seluruh Tanah Jawa.
Selain itu, sembilan puluh sembilan ialah bilangan nama-nama Allah swt. Yang kalau dihafaz boleh menjamin seseorang insan menjadi penghuni syurga.
Nombor sembilan tiga kali atau 999 pula; merupakan nombor telefon kecemasan yang amat penting untuk menghubungi pihak polis, hospital dan pasukan bomba di negara-negara komenwel; yang mula diperkenalkan di England pada 1925.
Begitulah menariknya peristiwa bahasa mengenai kosa kata sembilan ini.
ENDIT.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment