oleh
MOHD GANI AHMAD
OGOS merupakan bulan bersejarah atau keramat dan penuh bermakna bagi tiga negara berjiran di Asia Tenggara. Republik Indonesia mencapai kemerdekaannya pada 17 Ogos 1945, Persekutuan Tanah Melayu, 31 Ogos 1957 dan Republik Singapura, 9 Ogos 1965.
Hari Kebangsaan ini di sesetengah negara dinamakan Hari Kemerdekaan, Hari Nasional atau Hari Kebebasan.
Untuk mencapai taraf kemerdekaan, ada bangsa yang berjuang menentang penjajahan dengan peperangan, dan ada sesetengah negara pula yang membebaskan diri dengan kebijaksanaan politik para pejuangnya.
Sempena hari-hari ini, marilah kita sembangkan kosa-kosa kata bangsa dan merdeka. Dua patah perkataan ini besar ertinya kepada kita semua.
Bangsa ambilan daripada bahasa Sanskrit vamsa yang makna asalnya kelompok atau keturunan. Atau bahasa mudahnya, orang atau kaum yang seketurunan. Satu peristiwa lucu akan penggunaan kosa kata orang ini terjadi di bilik kuliah Maktab Perguruan Singapura (TTC) awal 1960-an.
“Awak orang apa, Juri?” tanya Dr Muhammad Ariff Ahmad dalam sela-sela kuliah tatabahasanya kepada Juri bin Wari; yang tampangnya iras-iras orang Jepun atau China jika dilihat pada warna kulitnya yang cerah dan matanya.
“Saya orang Boyan, Cikgu,” jawab Juri Wari ringkas dan tegas. Suara gelak tawa nakal penuntut lelaki kedengaran di bahagian belakang kelas.
“Oh, orang Boyan rupanya hero kita ini!” suara beberapa penuntut perempuan yang meminati ketampanan Juri.
Semua mata memerhatikan Juri dengan kekagetan. Wajah Juri yang kecina-cinaan itu tidak memperlihatkan langsung yang beliau itu orang Bawean.
Dari sudut - laras politik, makna orang itu berbeza dengan bangsa. Orang secara peribadi dianggap manusia perorangan. Bangsa pula merupakan kelompok orang yang mempunyai satu matlamat perjuangan. Warga atau rakyat di sesebuah negara.
Daripada kosa kata bangsa lahirlah perkataan kebangsaan yang kemudian membentuk ungkapan politik, Hari Kebangsaan yang dirayakan warganya di sesetengah negara. Namun ada negara yang lebih selesa menggunakan kata majmuk Hari Kemerdekaan.
Merdeka juga ambilan daripada bahasa Sanskrit, maharddika, yang bererti tidak terikat. Saya mula mengenali perkataan ini ketika berusia awal belasan tahun.
Sebelum itu pernah terbentur dengan kosa kata ini dalam buku ‘Canai Bacaan’ yang digunakan di sekolah Melayu. Puteri Raja Cina yang cuba dimerdekakan daripada cengkaman burung garuda dalam legenda Hikayat Merong Maha Wangsa. Namun saya kurang faham akan makna sebenarnya.
Ketika Almarhum Presiden Sukarno singgah di Singapura; lawatan yang kurang disenangi oleh penjajah British pada masa itu. Almarhum menyampaikan pidatonya yang berapi-api di pekarangan Wisma Melati di Paterson Road.
Sebelum, sedang dan sesudah beliau berpidato, kami meneriakkan kosa kata merdeka berulang-ulang dengan semangat yang berkobar-kobar.
Pada 1956, sekali lagi, saya meneriakkan kosa kata merdeka ini berulang-ulang ketika mengalu-alukan Tunku A Rahman Putra dan rombongan yang akan ke London untuk menuntut kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di Lapangan Terbang Kallang.
Sesetengah teman yang berketurunan Cina dan India pula menyebutnya dengan sebutan mardeka; mengikut loghat Yang Mulia Tunku Abdul Rahman.
Daripada peristiwa ini lahirlah semangat kebangsaan di jiwa saya. Pada 1965, saya pernah menyertai perbarisan di Padang – berlagak sebagai rombongan Sang Nila Utama yang mendarat di Temasik dengan kontigen Perwanit.
Kemudian beberapa kali dengan Pasukan Kadet Kebangsaan Singapura dan sekolah menyertai perbarisan Hari Kebangsaan yang dibahagikan kepada empat zon: timur, barat, utara dan selatan pada tahun berikutnya.
Berputik dengan semangat kebangsaan, majlis perkahwinan saya juga diadakan pada 9 Ogos, sempena Hari Kebangsaan di Dewan Masyarakat Toa Payoh.
Jadi, kalau Singapura merayakan ulang tahun yang ke-44, saya pula menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-40.
Sebagaimana kata Allahyarham Haji Muhd Yusof Ahmad, Setiausaha Agung, Majlis Pusat pada masa itu: “Majlis yang diadakan pada malam ini membuktikan semangat kebangsaan pengantin…”
Apabila ada suara sumbang masyarakat kita yang meragui kesetiaan orang Melayu terhadap negara sekitar 1970-an, mendorong saya menulis puisi, “Di Bumi Ini Aku Terpacak’, yang dijadikan judul esei ini, sila hayati rangkap terakhir:
Kerana bumi di mana aku terpacak
udara yang kuhembus
air yang menghilang panas hausku
telah aku asimilasikan
dengan darah yang tertarah
tulang belulang urat dan seluruh jiwa ragaku.
Dirgahayu Singapura.
ENDIT.
Search This Blog
Tuesday, 29 September 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment