Search This Blog

Sunday, 27 September 2009

PERISTIWA BAHASA 7 - Perasaan dan Perasan

PERASAANLAH
YANG MENJADIKAN
MANUSIA
PERASAN

MOHD GANI AHMAD

Kosa kata perasan dan perasaan ini hanya dibezakan oleh satu dan dua vokal ‘a’; namun kekata ini sering menimbulkan kekeliruan makna dan penggunaannya di kalangan pengguna bahasa terutama para pelajar.

Dari sudut semantik, perasan merupakan kata dasar yang bermakna sedar. Dalam dialek Kedah pula, bermakna: megah, berasa bangga dan agak. Fahami penggunaannya dalam ayat-ayat contoh yang berikut:
· Penyanyi muda yang namanya baru meningkat naik sudah mula berasa perasan yang dirinya hebat.
· Pada masa menunaikan fardu haji, Aznil tidak perasan yang beliau berpapasan jalan dengan Datuk Sheila Majid di Makkah.
· Gadis cantik itu perasan yang dia diperhatikan oleh beberapa orang pemuda yang sedang berbual di depan kedai buku.

Perkataan perasan juga boleh terbentuk daripada kata dasar peras yang menerima imbuhan akhir an; yang bermakna hasil perahan atau picitan.

Namun perasan yang satu ini tidak sama maknanya dengan perasan yang dibicarakan terlebih awal. Sila fahami ayat contoh berikut:
Pesakit yang baru keluar dari hospital itu telah dinasihati doktornya supaya minum air perahan buah-buahan sebelum bersarapan.

Perasan yang bermakna sedar dan megah ini tidak dijadikan entri dalam kamus-kamus bahasa Indonesia dan tidak digunakan di sana.

Sementara perasaan pula berkata dasar rasa yang menerima apitan per dan an. Maknanya, sesuatu yang dikecapi, dialami atau dinikmati melalui pancaindera: lidah, kulit, tangan, mata, telinga, hati dan sebagainya.

Dari sudut etimologi atau asal usul perkataan, rasa ambilan daripada bahasa Sanskrit. Dan dari sudut morfologi pula, rasa boleh melahirkan kekata: berasa, merasa, terasa, perasa, perasaan dan sebagainya

Fahami penggunaannya dalam ayat-ayat contoh berikut:
Lauk-pauk yang dimasak oleh cef muda itu dibubuh alat perasa bagi menambah keenakan masakannya.
Hamidah terasa kelakuannya yang kurang sopan itu sentiasa diperhatikan oleh keluarga ibu mentuanya.
Perasaan orang tua itu haruslah dijaga oleh Hamidah dan suaminya.

Satu lagi perkara yang sering menjadi kesilapan penggunaanya ialah perbezaan antara merasa dan berasa. Sesetengah ahli bahasa menyarankan supaya membezakan penggunaan kosa-kosa kata ini.

Merasa, bermakna mencicipi makanan dengan lidahnya untuk menentukan makanan itu: manis, tawar, masin, masam dan yang sebagainya.
Aminah merasa makanan yang dimasak oleh tukang masak yang terkenal itu bagi menentukan mutu dan rasanya.

Sementara berasa pula, lebih condong kepada hati atau emosi seperti ayat contoh yang berikut:
Rogayah marah dan berasa kecil hati akan tindakan sahabatnya yang tidak prihatin dan mengenang budi.
Dia berasa sedih kerana bantuan dan sumbangannya selama ini tidak dihargai langsung oleh mereka.

Daripada kosa kata perasaan juga telah melahirkan kata majmuk tunjuk perasaan atau tunjuk rasa yang disamaertikan dengan istilah laras politik demontrasi.

Pada zaman moden, kosa kata ini telah dijadikan strategi yang ampuh oleh partai politik demokrasi ala barat untuk menentang sesuatu keputusan yang bertentangan dengan keinginan mereka.

Peribahasa yang lahir daripada kosa kata rasa ini, antaranya:
Rasa pedih cuping telinga, bermakna marah apabila mendengar sesuatu sindiran atau tuduhan yang kurang wajar.
Rasa termengkelan di hati, bermakna tertanya-tanya akan perkara yang kurang jelas maksudnya atau berasa keciwa akan sesuatu yang dihajatinya tidak tercapai atau tidak kesampaian.

ENDIT.

No comments:

Post a Comment