Search This Blog

Sunday, 27 September 2009

PERISTIWA BAHASA 4 - Puasa Yak Eyok, Pagi-pagi Buka Periuk

PUASA YAK EYOK;
PAGI-PAGI BUKA PERIUK.


MOHD GANI AHMAD

Puasa yak eyok;
makan nasi seperiuk.

Begitulah pantun kanak-kanak dua kerat atau karmina yang sering kami nyanyikan ketika bergurau dan mengajuk kawan-kawan yang pura-pura berpuasa.

Secara tradisi ibu bapa melatih anak-anak berpuasa: mula-mula berpuasa beberapa jam, kemudian setengah hari dan seterusnya sehingga sehari.

Kaedah dan peristiwa inilah yang melahirkan ungkapan puasa setengah hari di kalangan kanak-kanak yang baru mula berpuasa.

Pada peringkat awal, sesetengah ibu bapa menggalakkan anak-anak yang berjaya berpuasa selama sehari dengan upah wang atau sesuatu yang diminati anak-anak mereka.

Haji Ahmad Haji Dolnabi, ayah saya, mengungkapkan upah wang ini sebagai membeli puasa anak-anak. Ayah dapat pahala dan merangsang anak-anak membiasakan diri berpuasa.

Puasa tahap ini hanya bertujuan supaya anak-anak tahan tak makan dan tak minum. Sayangnya sesetengah ibu bapa tidak menerangkan hukum-hakam asas ibadah puasa yang sebenar, yang harus diketahui anak-anak.

Pada 1953, Baba Lim Ah Siang, jiran di Kim Keat Avenue, pernah berkata dalam dialek peranakan, “Wah, lu orang, budak-budak kecik (kecil), sudah boleh tahe (tahan), tatak (tak) make (makan)! Kalau goa, satu hari tak make, boleh mati loh!”

Kemudian, kanak-kanak secara tidak langsung dikenalkan dengan kosa kata: Ramadan, puasa, niat, imsyak, bersahur dan berbuka. Etimologi perkataan puasa telah dibincangkan dalam esei yang lalu.

Kosa-kosa kata lain: iftar, terawih, bertadarus dan batal akan cuba kami bincangkan dalam esei yang akan datang. Insya-Allah.

Sebelum membincangkan kekata di atas ini. Sila fahami dan nikmati dulu pantun klasik yang berbunyi:
Banyak jalan perkara jalan,
Tidak sama jalannya masa;
Banyak bulan perkara bulan,
Tidak sama bulan puasa.

Dan kerana itulah, umat Islam yang tidak berpuasa diminta sangat-sangat supaya menghormati bulan puasa dengan tidak makan minum di khalayak ramai.

Bulan puasa yang dimaksudkan dalam pantun ini sebagai bulan yang tidak sama dengan bulan-bulan yang lain ialah bulan Ramadan.

Sebenarnya, bulan Ramadan ialah bulan ke sembilan dalam takwim Islam. Kosa kata Ramadan ini berakar kata rmd dalam perkataan ramida atau arramd.

Bulan ini dinamakan begitu kerana pada zaman itu cuaca di Tanah Arab sangat panas, tanah kering kontang, ditambah dengan kekurangan makanan.

Begitulah, kaedah manusia menamakan sesuatu berdasarkan: peristiwa, suasana dan situasi sekitarannya.

Sesetengah orang tahan tak makan dan minum tetapi tidak suka bersahur. Mereka tidak mahu diganggu tidurnya, kepada mereka tidur itu lebih penting daripada makan dan minum.

Sunnah Nabi, bersahur itu baik dilakukan pada waktu beberapa minit sebelum subuh, waktu ini disebut imsyak. Sahur bermakna makan setelah tengah malam hingga sebelum subuh untuk berpuasa.

Orang yang hendak berpuasa diwajibkan berniat. Niat ini merupakan janji atau ikrar, sama ada diingatkan di dalam hati atau dilafazkan melalui pengucapan. Tanpa niat, puasa dianggap tidak sah.

Pada 1950-an, menjadi satu kebiasaan yang kurang benar, anak-anak diterangkan yang mereka tidak boleh menelan air liur. Jadi kebanyakan kanak-kanak yang mula belajar berpuasa sentiasa berludah di merata-rata tempat.

Haji Shariff Ahmad, 72 tahun, sahabat, yang pernah tinggal di Kampung Woodleigh menyatakan: “Kadangkala mereka yang berludah itu hanya hendak menunjuk-nunjuk, yang mereka itu sedang berpuasa.”

Berdasarkan pemerhatian saya, kebanyakan orang pada masa itu mengamalkan minum air batu yang berlebihan ketika berbuka; kononnya bagi menghilangkan rasa dahaga berpuasa sehari suntuk.

Sejam sebelum berbuka, saya sering disuruh ibu membeli seketul air batu yang berharga sepuluh sen. Maklumlah pada masa itu, orang kita ramai yang belum mampu mempunyai peti sejuk.

Lagu popular yang disiarkan di radio pada 1950-an, yang ada hubung kaitnya dengan puasa dinyanyikan oleh Dr Tan Sri P Ramlee; yang liriknya ditulis oleh S Sudarmaji.

Sila hayati lirik rangkap ketiganya:
Rukun Islam lima perkara
Marilah kita mengerjakannya
Ketiga Ramadan hendaklah puasa
Lapar dahaga harus dirasa
Supaya kasih sesama manusia
Tauhid kepada Yang Maha Esa…

Lirik lagu ini secara tidak langsung mengisahkan kepentingan dan matlamat utama berpuasa iaitu bagi mengalami sendiri rasa lapar dan dahaga.

Pengalaman ini akan menumbuhkan pula rasa kasih sayang dan belas ihsan sesama manusia. Insya-Allah, dapat meningkatkan ketakwaan kita kepada Tuhan Yang Maha Esa.

ENDIT.

No comments:

Post a Comment