Search This Blog

Tuesday, 29 September 2009

PERISTIWA BAHASA 28 - Sumbang Saran dan Sumnbangseh

SUMBANG
SARAN
DAN
SUMBANGSIH…


MOHD GANI AHMAD

Setelah mendengar lagu Sumbangsih nyanyian R Ismail, saya pun menellti nama pencipta lagu ini di kulit album. Tercatat lagu ini dicipta oleh Tan Sri Dr P Ramlee. Sejauh pengetahuan saya, P Ramlee bukan pencipta lagu ini.

Merujuk buku ‘Senandung Seniman Agung’, 1990. Zakiah Hanum, Berita Publishing House, Kuala Lumpur. Buku ini mengandungi 208 lagu dari tahun 1946 hingga 1973. Tidak tercatat nama lagu Sumbangsih ini.

Begitu juga dalam buku P. Ramlee ‘The Bright Star’, tulisan James Harding dan Ahmad Sarji, 2002, Pelanduk Publishing Sdn Bhd Selangor, yang tersenarai 356 judul lagu ciptaan P Ramlee.

Kalau tidak silap saya, lagu ini dicipta oleh Zainal S Abbas. Catatan di kulit album ‘Elfee Ismail - Berakhir Satu Penantian’, terbitan Seri Mahligai, 2007, membuktikan ingatan saya itu benar. Dan kenyataan ini disahkan pula oleh Encik Azrin Abdullah, penerbit album ini.

Mengikut Allahyarham Pak Zainal sendiri ketika saya mengunjunginya pada akhir 60-an, beliau pernah menyatakan:

“Ramai orang salah faham apabila menafsir lagu ini. Mereka menyatakan bahawa tema lagu ini berkisar kepada percintaan antara teruna dan dara.

Sebenarnya lagu ini, saya cipta ilham kesan perpisahan antara Malaysia dengan Singapura; yang menyentuh naluri dan mengguris hati saya serta sangat bersejarah bagi mencorakkan kehidupan masa depan kita.”

Kalau tidak silap saya, lagu ini pernah dinyanyikan oleh M Bakri dan menjadi lagu latar drama yang berjudul Sumbangsih yang dipentaskan di Panggung Victoria pada 70-an.

Sila hayati dan nikmati dua rangkap lirik lagu ini:




Kini semua hancur dan musnah
Niat bercantum badan berpisah
Kembang mawar kuberi padamu
Lambang kita pasti bersatu

Oh sumbangsih hati ke hati
Nada rindu rukun sejati
Kami insan rindu percantuman
Kami rindukan keadilan…

Apa yang akan saya bincangkan kali ini ialah kosa kata sumbang dan juga sumbangsih; yang menjadi judul lagu ini. Dalam bahasa Melayu sumbang bermakna sesuatu perbuatan yang bertentangan dengan adat kebiasaan, peradaban masyarakat dan menyalahi hukum agama.

Umpamanya, sumbang mahram, perhubungan seks antara anggota keluarga yang diharamkan bernikah seperti antara: ayah dengan anak, abang dengan adik perempuannya dan yang seumpamanya.

Dalam persilatan, ada frasa langkah sumbang; langkah yang kurang betul atau tepat. Sumbang juga boleh bermakna janggal, contohnya suaranya sumbang. Ertinya suaranya tidak sesuai dengan nada muzik.

Kosa kata sumbang dan sumbangsih yang diambil daripada dialek Jawa pula, bermakna bantuan atau sokongan secara material dan tenaga. Perkataan ini mula laris dan umum digunakan di sini sejak 60-an.

Kosa kata ini banyak digunakan dalam majlis perkahwinan masyarakat kita dengan menyumbangkan sumbangan: beras, telur, daging dan yang sebagainya. Sekarang ini, seperti sudah teradat pula, banyak sumbangan yang berunsurkan: tenaga dan kewangan sahaja.

Mulai 70-an kosa kata ini menjadi istilah laras pendidikan, sumbang saran. Kata majmuk ini bererti memberikan buah fikiran atau pendapat dalam majlis perbincangan.

Pelajari ayat contoh yang menggunakan kekata dasar sumbang ini:
Sumbangan masyarakat kampung dalam bentuk tenaga dan kewangan telah menjayakan majlis mempereratkan kembali hubungan antara mereka yang selama ini sering bermusuhan.
Langkah sumbang Ramlee dapat diperbetul oleh Pendekar Mustar.
Akhirnya, sumbang saran peserta kursus telah dijadikan garis panduan mengajarkan bahasa para guru di bilik-bilik darjah.

ENDIT.

No comments:

Post a Comment