Search This Blog

Saturday, 26 September 2009

PERISTIWA BAHASA 3 - Hajat Hati Nak Peluk Gunung

HAJAT HATI
NAK

PELUK GUNUNG

MOHD GANI AHMAD


Beberapa bulan yang lalu, Haji Arshad Yasin, jiran lama, melahirkan rasa keprihatinannya mengenai kekejaman yang berlaku di Jaluran Gaza, Palestine dengan penuh emosi.

Beliau menyatakan kehampaannya kerana para imam di masjid hanya mendoakan keamanan dan kemakmuran kita sahaja.

Menurut Haji Arshad, “Kita juga harus mendoakan kesejahteraan insan di dunia ini, lebih-lebih lagi bagi saudara-saudara kita di Gaza yang sedang dilanda kekejaman akan perlakuan zalim rejim penceroboh.”

Doa dan keinginan Haji Arshad ini telah dimakbulkan Tuhan. Beberapa hari kemudian, solat hajat khusus telah dianjurkan oleh Pergas.

Solat hajat ini telah diadakan di Masjid Kassim dan sekali lagi di Masjid Sultan selepas solat Zuhur, hari Sabtu dan Minggu. Tentunya, solat hajat ini mendapat kerjasama dan restu pihak pentadbir masjid.

Dalam penerangan singkatnya, yang masih terngiang-ngiang di telinga saya, Yang Berbahagia, Ustaz Hasbi Hasan, presiden, Pergas, antara lain menjelaskan objektif mengadakan solat hajat tersebut:

“… Sebagai golongan yang patuh kepada kebenaran beragama, kita haruslah memohon doa kepada Allah swt agar kekejaman yang berlaku di Gaza dihentikan segera.

… solat hajat, jauh lebih baik daripada berdemonstrasi, seperti yang diadakan di sesetengah tempat dengan: ucapan yang berkobar-kobar dan sepanduk serta slogan; yang secara langsung sama dengan perbuatan dan cara demokrasi ala Barat.

… Solat hajat dan doa yang diadakan boleh menembusi tujuh petala langit. Insya-Allah, lambat laun akan dimakbulkan Allah permohonan kita…”

Apa yang hendak dibicarakan kali ini ialah kosa kata hajat. Dari sudut etimologi, hajat ambilan daripada bahasa Arab, hajah yang bermakna maksud. Perkataan setaranya: niat dan hasrat juga ambilan daripada bahasa Arab.

Dalam bahasa Melayu, maknanya berkembang dan meluas: tujuan, kehendak, keperluan. keinginan, kemahuan, cita-cita dan impian.

Sila hayati pantun yang menggunakan perkataan hajat:
Pagi-pagi duduk termenung,
Melihat nak dara meragi tapai;
Hajat di hati nak peluk gunung,
Apakan daya tangan tak sampai.

Hajat seharusnya seimbang dengan kemampuan seseorang. Tidak terlalu tinggi di awang-awangan sehingga tidak tercapai tangan; maksudnya, hajat yang tidak kesampaian.

Sebagai insan beragama, kita diwajibkan menentang segala bentuk kezaliman. Tidak kira kepada sesiapa musibah ini terjadi, tanpa mengira: asal keturunan, agama dan warna kulit. Kalau kita berkuasa, gunakan kuasa. Jika tidak, kita harus menentang dengan hati. Maksudnya perbuatan kekejaman itu haruslah dibantah dan dicegah.

Sehingga ke akhir 60-an, masyarakat kita umumnya masih menggunakan kad jemputan kahwin dengan tajuk Ya Qadiahlah Hajat. Frasa ini bermakna: ‘Hai, yang menyampaikan hajat…’

Jadi pada zaman itu, kekerapan penggunaan perkataan hajat ini lebih tinggi daripada penggunaannya pada masa ini. Kini kosa kata hajat ini digantikan dengan objektif, matlamat atau tujuan sahaja.

Pelajari dan fahami penggunaan hajat dalam wacana berikut:
Hajat kami mengunjungi kampung tuan kerana hendak bersilaturrahim dengan penduduk di sini. Kami berhajat mengeratkan kembali hubungan yang semakin renggang.

Antara peribahasa yang menggunakan kosa kata hajat, yang bermaksud bagi melunakkan bahasa percakapan yang agak kasar dan kurang sopan ialah hajat kecil dan hajat besar. Sila cari maknanya dalam kamus.

ENDIT.

No comments:

Post a Comment