ALU
DAN
ELU
BERBEZA
MAKNA?
MOHD GANI AHMAD
Di Galeri Budaya, Fort Canning Rise, cuti umum Deepavali lalu, ketika sesi latihan menyampaikan ucapan pembukaan majlis Salam Dunia, Sdr Ahmad, wakil sembilan usahawan muda, penganjur majlis, antara lain berkata:
“Bagi pihak teman-teman, saya mengalukan kedatangan para hadiran sekalian…”
Maksud sebenar, yang ingin beliau nyatakan ialah mengalu-alukan kedatangan tetamu pada petang itu.
Kosa kata alu yang menjadi kata dasar mengalu-alukan itulah yang akan kami bicarakan kali ini. Perkataan alu ini dikatakan ambilan daripada bahasa Sanskrit atau Jawa Kuna.
Kosa kata alu merupakan perkataan pelbagai makna. Makna pertamanya, alu seerti dengan perkataan antan. Alatan ini diperbuat daripada kayu digunakan untuk menumbuk padi di lesung.
Antara peribahasa yang lahir daripada perkataan alu ialah: Bagai alu pencungkil duri, yang bermakna ikhtiar atau usaha yang tidak sepadan dengan matlamat, tujuan atau objektifnya.
Bagai guna-guna alu, sesudah menumbuk dicampakkan yang bermakna sesudah tidak berguna lagi, lalu dibuang begitu sahaja atau disia-siakan dan dianggap tak berguna. Sesuatu yang hanya dihargai ketika diperlukan.
Apabila diulang sebutannya, menjadi alu-alu. Perkataan ini ialah nama sejenis ikan laut yang bentuknya hampir serupa dengan alu.
Ikan ini berukuran besar dan panjang berbentuk silinder. Ikan sejenisnya ialah ikan kacang merah atau tenuk.
Beralu-aluan pula bermakna berbalas-balasan pukulan dengan alu. Sementara kata alu-aluan ialah kata pengantar atau prakata dalam tulisan atau wacana.
Sebenarnya, asal mula kosa kata alu yang bermakna menyambut ialah elu.
Perkataan elu atau helu ini dipercayai berasal daripada dialek Bali.
Kosa kata elu ini terdaftar dalam kamus-kamus umum yang lebih awal. Jadi perkataan yang sebenarnya ialah mengelu-elukanlah dan bukannya mengalu-alukan.
Perkataan elu ini pada mulanya terdaftar dalam Kamus Dewan, Edisi Pertama, 1970, sebagai entri dengan makna menjenguk atau mengeluarkan kepala kerana hendak melihat sesuatu.
Elu yang kemudiannya diimbuh dengan apitan menjadi mengelu-elukan. Kata kerja ini diertikan sebagai menyambut kedatangan tetamu dengan penuh hormat dan kemuliaan.
Dalam Kamus Dewan edisi keempat, 2005, perkataan elu ini dikeluarkan dan tidak terdaftar lagi. Yang didaftarkan ialah perkataan alu sahaja.
Besar kemungkinan, dasar yang diambil oleh tim penyusun Kamus Dewan ialah kerana kekerapan penggunaan alu lebih tinggi dibandingkan dengan eIu yang sudah semakin jarang digunakan orang.
Maka peristiwa kaprah inilah yang menyebabkan Kamus Dewan menerima pakai perkataan alu ini menjadi kosa kata baku; yang boleh membentuk perkataan mengalu-alukan, kata alu-aluan dan sebagainya.
Jadi, kalau kita menyatakan mengalu atau mengalukan, maknanya ialah menumbuk atau menggunakan alu untuk menghancur atau menghaluskan sesuatu.
Namun dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia, Edisi Kempat, tahun 2001, dan Kamus Umum Bahasa Indonesia, 2001, susunan Badudu dan Zain, masih terdaftar kedua-dua perkataan alu dan elu dengan makna yang berbeza seperti yang kami bicarakan di atas tadi.
Begitulah kira-kira.
ENDIT.
Search This Blog
Sunday, 27 September 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment