SORI
GUA
LUPALAH!
MOHD GANI AHMAD
Di Pusat Tukaran Bas, Toa Payoh Central, ketika hendak naik bas nombor 88, kami, seramai 7 orang warga emas, terpaksa berderet di tangga bas kerana alat pengimbas kad ez-link masih belum berfungsi.
“Alamak, sori, jangan marah! Gua lupa mau start ini baranglah, Encik!” ungkap kapten bas, sambil menudingkan jari telunjuknya ke mesin yang terletak di kiri pintu.
Melihat rambut dan tampangnya, saya kira kapten bas ini juga warga emas. Setelah mesin pengimbas berfungsi, kami pun menekapkan kad kami ke mesin dan bergerak masuk ke tempat duduk.
Daripada peristiwa ini, akan kami bincangkan kosa kata lupa yang dilafazkan oleh kapten bas beberapa kali.
Dari sudut etimologi atau asal usul kekata, lupa ini ambilan daripada bahasa Sanskrit.
Kekata seiras atau seerti dengan lupa ialah alpa, cuai, lalai, lali dan lengah. Makna mudahnya kosa kata lupa ini ialah tidak ingat, tak sedar, tak prihatin dan tidak timbul dalam fikiran.
Mengenai lupa ini, ikutilah peristiwa seorang teman sasterawan terkenal yang sangat pelupa. Beliau dikatakan sering berkhayal dan berfikir terlalu serius sehingga terlupa akan apa yang harus dilakukan.
Pada suatu ketika, beliau terlupa pulang dengan skuter yang ditunggangnya dari rumah. Skuternya itu ditinggalkannya di Stadium Nasional setelah menonton perlawanan bola sepak.
Beliau baru teringat akan keterlupaannya itu setelah isterinya bertanya akan keberadaan skuternya itu ketika sudah berada di rumahnya.
Antara peribahasa umum yang menggunakan kosa kata lupa ini:
Pelanduk melupakan jerat, tapi jerat tidak melupakan pelanduk - yang bermakna orang yang berhutang sering lupa akan hutangnya tetapi pemiutang tidak pernah lupa orang yang berhutang kepadanya.
Lupa diri atau lupa daratan - bermakna orang yang tak ingat akan kehidupan dan kesusahan yang pernah dialaminya pada masa lalu.
Seperti kacang lupakan kulit - yang bermakna seseorang yang melupakan jasa bakti atau yang tidak mengenang budi orang.
Bercakap mengenai lupa, sila hayati pantun klasik yang ada hubung kaitnya dengan peristiwa lupa:
Laju, laju perahu laju,
Lajunya sampai ke Surabaya;
Lupa kain lupa baju,
Tetapi jangan lupakan sahaya.
Saya masih ingat akan penerangan Doktor Robert Gan, doktor pakar di hospital yang merawat saya selama lima tahun, ketika diajukan pertanyaan mengenai masalah lupa ini.
“Lupa merupakan simtom orang yang sudah berusia senja. Fungsi ingatannya semakin berkurangan. Bukan kerana kesan sampingan pil yang anda telan setiap hari. Saya yang baru berusia empat puluh juga sering terlupa.”
Seorang sahabat, H Fathol Rahman, pernah bercerita ketika bersembang di sela-sela aturcara kem kepemimpinan kesatuan di Kem Percutian Kampung Tengah, Sembawang:
“… Saya juga kadangkala lupa akan rakaat ketiga atau keempat ketika bersolat zuhur atau asar. Terpaksalah saya bersujud sahwi.”
Kandungan tafsiran bacaan sujud sahwi lebih kurang begini: ‘Maha suci Tuhan yang tidak tidur dan tidak lupa’.
Kesimpulan perbincangan kos kata lupa ini ialah sebagai manusia, kita memang tidak boleh lari daripada: lupa, alpa, cuai, lali, lalai dan lengah.
Yang penting, kita harus berusaha bersungguh-sungguh untuk mengurangi sikap dan tabiat keterlupaan ini. Kerana akibat lupa ini boleh menjejas reputasi dan kerjaya kita.
ENDIT.
Search This Blog
Monday, 28 September 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment