PINGAT
atau
PIALA
PUSINGAN?
MOHD GANI AHMAD
“Pingat pusingan ini akan dipertandingkan lagi pada tahun depan…” Begitulah antara lain penerangan pegawai, Pertandingan Eja Tepat peringkat akhir antara sekolah rendah di Perpustakaan Tampines Julai lalu.
Itulah kali pertama, saya mendengar, kata majmuk pingat pusingan digunakan orang. Biasanya, kita menggunakan piala pusingan.
Mungkinkah, pada masa depan akan ada pingat pusingan ini?
Marilah kita bersembang mengenai kosa kata pingat dan piala bagi menentukan; yang mana satu, yang lebih sesuai dan benar.
Piala ambilan daripada bahasa Parsi ini, bermakna cangkir berkaki satu. Bekas ini biasanya diperbuat daripada perak, gangsa atau perunggu.
Pada mulanya, piala digunakan sebagai bekas minuman. Pada masa ini, piala perak dijadikan hadiah pemenang sesuatu pertandingan.
Piala tidak lagi terbatas kepada bentuk cangkir atau mangkuk seperti makna dan bentuk asalnya. Ada piala yang berbentuk pinggan atau dulang.
Contoh mudahnya, Piala Tenis Wimbledon, England.
Piala yang berbentuk tradisional mangkuk atau cangkir masih wujud: Piala Thomas, Piala Emas Raja-raja, Piala Malaysia dan yang sebagainya.
Biasanya, piala dihadiahkan ke tangan pemenang pertandingan: sukan, bahas, syarahan dan yang sebagainya. Pada piala pusingan dicatatkan tahun dan nama pemenangnya.
Pingat pula bermakna bintang dan yang biasanya dianugerahkan kerajaan atau institusi tertentu kepada individu atau kumpulan yang telah berkhidmat atau berjasa.
Di negara kita, nama-nama pingat yang dianugerahkan kepada individu: Pingat Bakti Masyarakat, Pingat Bakti Setia, Pingat Jasa Cemerlang, Pingat Budaya dan yang sebagainya.
Di Indonesia, kosa kata pingat ini tidak: dikenali, digunakan dan menjadi entri, dalam kamus-kamus yang baku.
Mereka lebih mesra dengan perkataan medali. Kosa kata ini ambilan daripada bahasa Belanda, medaille, yang bermakna tanda jasa. Kosa kata ini dipercayai ambilan daripada bahasa Latin, medalia.
Pingat padanan perkataan medal; piala pula dengan cup, trophy, plaque atau shield dalam bahasa Inggeris. Kini, menjadi semacam tradisi memberikan piala dan pingat kepada pemenang pertandingan sukan.
Dalam Sukan Olimpik di Beijing, 2008 anugerah yang diberikan kepada para pemenang semuanya masih berupa pingat. Tidak ada piala diberikan kepada pemenang kumpulan atau perseorangan.
Pingat biasanya, dikalungkan di leher kepada ahli sukan. Kepada orang yang berjasa atau berbakti pula. pingat akan disematkan di baju penerimanya.
Dalam kesusasteran Melayu klasik, tidak terdapat penggunaan kosa kata pingat dan piala ini.
Pada zaman keagungan sistem beraja di Nusantara, raja-raja biasanya mengaugerahkan: persalinan pakaian, keris, pangkat atau gelar, tanah, emas dan harta kepada orang yang berbakti kepada raja.
Kesimpulan perbincangan kita, sejauh ini belum ada pingat pusingan; yang ada ialah piala atau trofi pusingan: Piala Dunia, Piala Eropah, Piala Thomas, Piala Wimbledon dan yang seumpamanya.
Begitulah kira-kira.
ENDIT.
Search This Blog
Tuesday, 29 September 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment