PULAU ANDAMAN
BERKATA
DASAR
ANDAM?
MOHD GANI AHMAD
Di Canberra Drive, Sabtu lalu, Encik Sudirman Muzaini aktivis sosial dan karyawan di kelab masyarakat di timur Singapura; yang sedang membantu menggubah atau merangkai bunga segar bagi menghiasi majlis persandingan pada pagi itu berkata:
“Saya pernah cuba-cuba nak jadi pak andam. Tapi, setelah anggota keluarga menyatakan bahawa pekerjaan ini kurang sesuai bagi orang lelaki; saya pun melupakan saja keinginan saya itu …”
Menyentuh kosa kata andam yang ditimbulkannya, terlintas pertanyaan dalam minda: Adakah nama Pulau Andaman di Lautan Hindi itu berasal daripada kata dasar andam?
Dugaan saya ini mungkin ada kebenarannya. Kerana makna konotasi andaman: mengasingkan, mengurung, mengikat atau memingitkan dalam dialek Minangkabau, seperti ayat contoh:
Anak andaman itu dipingit oleh keluarganya sejak menjadi anak dara sunti.
Mungkinkah, dalam zaman penjajahan barat: Portugis, Belanda dan Inggeris, pulau ini pernah menjadi tempat pengasingan orang-orang dari Nusantara dan Asia yang dituduh bersalah kerana menentang penjajahan mereka?
Dari sudut etimologi, kosa kata ini dipercayai berasal daripada bahasa Tamil yang maknanya asalnya menata: rambut, misai atau janggut.
Kemudian, makna andam ini meluas atau mengembang menjadi menghias pelbagai keperluan pengantin perempuan.
Sebelum tahun 70an, mak andam ini umumnya dikerjakan oleh perempuan yang sudah agak berumur. Tugas mak andam tradisional ini tidaklah semudah yang difikirkan orang. Mereka harus arif dan memahami dasar adat istiadat Melayu yang sebenarnya.
Selain hanya menata anak rambut dan menghilangkan bulu roma di sekitar muka, mereka juga harus pakar akan upacara: menyolek, memacar, menepung tawar dan memandikan pengantin.
Mak andam juga harus boleh bertutur dengan bahasa yang baik dan indah seperti berpantun. Hayati pantun mak andam ketika berdepan dengan pengapit pengantin lelaki untuk membuka atau upacara tebus kipas:
Minum makan sama seiring,
letakkan pinggan pada tempatnya;
Sebelum tuan(pengantin) duduk bersanding,
membuka kipas ada syaratnya.
Daripada andaman, mak andam boleh meramal, sama ada pengantin masih perawan atau sudah ditebuk tupai. Maksud peribahasa ini, pengantin sudah ternoda kedaraannya.
Mak andam tradisional lumrahnya berasalkan keturunan. Kalau neneknya mak andam, maka biasanya, akan adalah keturunannya yang menjadi mak andam. Macam mak bidan dan tukang urut; pekerjaan turunan dan warisan.
Gelaran atau panggilan Kak andam sejauh pengetahuan saya, baru muncul sekitar akhir tahun 60-an. Yang kemudiannya, beberapa orang lelaki pula mula mencuba-cuba menjadi pak andam. Itu pun biasanya, lelaki yang bersifat agak keperempuanan; yang biasa digelar bapuk.
Dalam zaman ini, istilah mak dan kak andam telah bertukar wajah. Mereka lebih selesa dengan panggilan glamor, konsultan atau pakar rujuk, majlis perkahwinan atau persandingan.
Antara peribahasa Melayu yang menggunakan perkataan andam:
Bagai anak dara mabuk andam - yang bermakna anak gadis yang tidak berpenyakit tetapi kelihatannya letih dan lesu.
Daripada perkataan andam ini terbit kata kerja, mengandam dan berandam; serta kata nama, pengandam dan andaman.
Sila pelajari ayat contoh:
Mak andam telah mengandam pengantin sejak jam 10 pagi.
Setelah berandam selama beberapa jam, pengantin kelihatan sangat cantik dan menawan hati.
Adaman mak andam disukai oleh keluarga pengantin.
Setiap pengandaman yang dilaksanakan oleh mak andam, beliau akan menerima upah ratusan dolar.
ENDIT.
Search This Blog
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment