Search This Blog

Tuesday, 29 September 2009

PERISTIWA BAHASA 26 - Antara Pulau dengan Kena Pulau

ANTARA
PULAU
DENGAN
KENA PULAU


MOHD GANI AHMAD

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
budi yang baik dikenang juga.

Begitulah pantun yang bertemakan budi yang menjadi lirik lagu, Trek tek tek, dendangan peserta ‘Kursus Meningkatkan Penguasaan Kosa Kata’, bulan Mei lalu di Nanyang Drive pada hari terakhir kursus.

Mendengar sampiran ‘Pulau Pandan jauh ke tengah’ ini, terbetik pertanyaan dalam minda saya. Wujudkah pulau ini di dunia?

Setelah membelek-belek peta Singapura tahun 1911, kalau tidak silap saya, ada nama Pulau Pandan. Pulau ini terletak di Selat Pandan.

Mungkin pulau ini hanya merupakan terumbu karang yang kemudiannya sirna daripada peta. Di barat Singapura, masih wujud nama yang menggunakan kosa kata pandan: sungai, kolam air, Sungai Ulu Pandan, Sekolah Rendah, Pandan Road, jambatan, jejambat dan Pandan Garden.

Dulu, di hulu Sungai Singapura, ada Pulau Saigon, di sekitar Havelock Road, yang kini lenyap akibat penambakan tanah dan projek pembangunan di daerah itu.

Begitulah juga keadaannya dengan beberapa pulau yang terletak di Selat Sembilan (sekarang Selat Jurong): Pulau Merlimau dan Pulau Seraya lesap hasil penambakan; yang disatukan menjadi Pulau Jurong.

Tanjung Pandan pula terdapat di Pulau Belitung di selatan Sumatera. Pulau Pandan baru-baru ini terdapat di Filipina sebagai pusat pelancongan. Namun pulau ini tak ada kena-mengena dengan pantun ini.

Gunung Daik pula, ada di Pulau Lingga. Menurut Tengku Zaid Y, anak kelahiran kepulauan ini: “…memang dulu, gunung ini bercabang tiga. Mungkin akibat hakisan, yang nampak sekarang ini tinggal dua sahaja.”

Apa yang akan kami bincangkan kali ini ialah kosa kata pulau. Pulau boleh dikategorikan berjenis: kata nama dan boleh juga sebagai kata kerja.

Penjenisan kata ini bergantung kepada penggunaannya dalam ayat. Pelajari ayat-ayat contoh yang berikut:
Pulau Sentosa menjadi pusat peranginan dan pelancongan yang terkenal di Singapura. Pulau dalam ayat ini berjenis kata nama.
“Jangan pulau anak yatim itu, kasihanilah dia!” kata Tok Mat kepada cucu-cucunya. Pulau dalam ayat contoh ini pula berjenis kata kerja.

Pulau boleh digolongkan kepada kata homonim. Makna pertamanya ialah daratan yang dikelilingi air seperti laut, tasik dan danau. Makna pertama ini merupakan istilah geografi.

Antara pulau yang terbesar di dunia ialah Australia. Kadangkala Australia ini dipanggil juga dengan istilah benua kerana saiznya yang besar.
Dulu, Australia pernah menjadi tempat pengasingan orang yang dituduh penjenayah di England.

Pulau juga bermakna: dipinggirkan, diketepikan, diasingkan, diabaikan, disisihkan dan tidak diturutsertakan.

Pulau, makna pertama dan makna kedua itu nampaknya masih ada perhubungannya. Dan kerana itulah digolongkan di bawah kategori homonim; kata pelbagai makna yang ada pertaliannya.

Pulau yang pertama diasingkan oleh keadaan alam semula jadi - air. Dan pulau, makna yang kedua pula terasing oleh tindakan makhluk.

Antara pulau tempat mengasingkan penjenayah atau pengidap penyakit menular: dulu di Singapura, ada Pulau Senang dan Pulau Sekijang, di Indonesia, ada Pulau Buru dan di Malaysia pula, ada Pulau Jer(e)jak. Nepoleon Bonaparte, mantan maharaja Itali, yang digulingkan juga pernah disisihkan di Pulau Corsica.

Antara peribahasa Melayu yang menggunakan kosa kata pulau:
Belayar menentang atau mengadang pulau - yang bermakna sesuatu pekerjaan itu harus ada matlamat atau tujuannya.
Belayar sampai ke pulau, berjalan sampai ke batas - yang bermakna segala usaha hendaklah dilaksanakan sehingga tercapai maksudnya.

ENDIT.

No comments:

Post a Comment