Search This Blog

Sunday, 27 September 2009

PERISTIWA BAHASA 6 - Maaf Zahir dan Batin

MAAF
ZAHIR
DAN
BATIN


MOHD GANI AHMAD

Begitulah lanjutan ucapan Hari Raya Puasa atau Aidilfitri secara tradisional yang lumrah kita lafazkan atau kirimkan sebagai pengganti diri melalui kad hari raya setiap Syawal menjelang.

Ucapan ini sudah merupakan klise dan membudaya di negara kita dan di Nusantara. Dan kerana sudah menjadi kebiasaan ini, maka kadangkala, anggota masyarakat kita menuturkannya dengan sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh.

Kepada orang-orang tua dahulu, mereka meminta kemaafan dan keampunan ini dengan cara yang sangat tertib dan bertatasusila.

Mereka bersimpuh atau bertimpuh di hadapan kerabat yang lebih tua terutama sekali datuk nenek, ibu bapa, dengan suara yang penuh emosi dan tersekat-sekat dengan linangan air mata; seakan-akan mereka tidak akan bersua lagi pada tahun-tahun hadapan.

Sebenarnya, kesambillewaan ini kerana ramai antara kita, terutama golongan muda, yang sudah kurang memahami makna ungkapan ini. Sempena Aidilfitri kali ini, marlah kita bincangkan kekosa kata: maaf, zahir dan batin.

Ketiga-tiga kosa kata ini merupakan nama dan sifat-sifat Allah swt yang tercantum dalam Asmaul Husna; antara nama dan sifat Allah yang sembilan puluh sembilan.

Maaf ambilan daripada bahasa Arab ‘affuu, yang berubah sebutannya sesuai dengan lidah Melayu. Perkataan seerti bagi maaf ialah ampun. Ampun, ambilan daripada dialek, Jawa Kuna. Kosa kata ampun tinggi kekerapan penggunaannya dalam laras istana atau dialek sosial diraja.

Petikan daripada Hikayat Hang Tuah: ‘Maka sembah ahli nujum dan sasterawan itu, “Ya Tuanku Shah Alam. Patik mohonkan ampun beribu-ribu ampun dan kurnia ke Bawah Duli Shah Alam…”

Zahir juga ambilan daripada bahasa Arab, dzahir, yang bermakna: nyata, jelas kelihatan di luar, nampak dari luar. Sesetengah golongan menyebutkannya dengan sebutan yang mudah lahir sahaja.

Dalam bahasa Indonesia zahir ini disamaertikan dengan lahir. Namun dalam bahasa Melayu perkataan lahir dan zahir ini dibezakan sedikit maknanya. Dan kedua-dua kosa kata ini terdaftar dalam kamus yang baku.

Lahir juga bermakna: maujud, terpacul atau keluar daripada kandungan ibu, terbit, atau meluahkan sesuatu: fikiran, pendapat, dan idea. Daripada lahir timbul kekosa kata: kelahiran, melahirkan, terlahir dan yang sebagainya.

Batin juga ambilan daripada bahasa Arab, bathin, yang bermakna: ghaib, tersembunyi, yang tidak kelihatan dan yang hanya tercetus dalam hati sanubari.

Dalam bahasa Melayu klasik, batin juga bermakna ketua atau penghulu orang-orang sakai atau kaum asli. Petikan daripada Hikayat Hang Tuah:
‘Maka kata Batin Singapura “Hai segala sakai, segeralah dapatkan perahu lading itu, kerana ia diusir oleh musuh…”

Setelah kita memahami kekosa kata ini, marilah kita melafazkannya dengan penuh takzim dan bertatasusila pada hari-hari istimewa yang penuh berkah.
Kita harus mengembalikan kekeramatan frasa atau ungkapan ini pada kedudukannya yang sebenar.

Lumrahnya, frasa ini diikuti dengan ucapan halal-bihalal: mohon juga dihalalkan makanan, minuman dan segala sesuatu yang telah diberikan kepada seseorang.

Sempena hari yang mulia ini, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Salam Aidilfitri, mohon maaf zahir dan batin kepada peminat ruangan ini khususnya dan masyarakat pembaca umumnya.

Hayatilah pantun klasik berikut yang diubahsuai:
Kalau ada sumur di ladang,
Boleh saya menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang
Raya depan bersembang lagi.
Insya-Allah.

ENDIT.

No comments:

Post a Comment