Search This Blog

Sunday, 27 September 2009

PERISTIWA BAHASA 10 - Akulah Anak Jin

AKULAH
ANAK JIN!


MOHD GANI AHMAD

Mei 1996, setelah berada sepuluh hari di Makkah, wajib dan sunat haji telah selesai terlaksana. Kami pun dibawa pengurus pakej haji kami berziarah ke beberapa tempat bersejarah di sekitar kota Makkah, antaranya:

Masjid Jin, Masjid Kucing dan beberapa tempat lain. Ketika melawat Masjid Jin, satu peristiwa terjadi. Seorang jemaah perempuan yang turut sama dalam lawatan itu tiba-tiba bersuara dengan lantangnya:

“… katanya masjid ini, Masjid Jin. Mana, mana, jinnya?”

Haji Mahmud dengan serta-merta berlindung di salah sebatang tiang di masjid itu lalu mengilai dan berteriak, kira-kira begini:

“Ini dia, kalau nak tahu, akulah anak jin, hah, hah, hah!” sergahnya. Apa lagi terloncatlah beberapa jemaah perempuan terkejut diiringi tertawa para jemaah yang lain.

Haji Mahmud sering bercanda dengan para jemaah tanpa mengira tempat dan masa. Memang dia seorang yang lucu dan membuat para jemaah sentiasa tertawa riang.

Guruan Haji Mahmud itu akhirnya menjadi kenyataan. Ketika bersolat ‘asar di Masjidil Haram, beliau tiba-tiba jatuh pengsan. Dan terpaksalah kami berempat memapahnya ke tempat penginapan, Hotel Zaini Arif.

Hotel Zaini Arif terletak di hujung Bukit Marwah. Bangunannya agak tua dan tidak banyak kemudahan yang sewajarnya. Pada ukuran saya, hotel ini mungkin hanya berbintang satu.

Selepas peristiwa itu, saya tidak lagi bersua dengannya di dewan makan dan di lobi hotel. Mengikut cerita kawan-kawan, beliau tidak lalu makan dan tidak bergaul dan bergurau lagi sejak peristiwa itu.
1.

Beberapa bulan kemudian, Haji Mahmud sendiri bercerita ketika bertemu di rumah saya; untuk meminta maaf kerana beliau tidak dapat hadir ke majlis persandingan anak saya:

“… setelah peristiwa di Masjid Jin, saya sukar tidur dan tak lalu makan. Untungnya segala wajib haji telah terlaksana sebelum peristiwa itu.

Pada suatu malam ketika tidur, saya telah dikejutkan oleh dua lembaga yang berpakaian serba putih, wajahnya tidak jelas: “… kewajipan kami telah selesai. Kami mohon hendak pulang ke Makkah…”

Mengikut kata mereka lagi, “…kami ini suami isteri yang telah menyerap masuk ke tubuh anda untuk menyelamatkan anda daripada gangguan jin-jin lain; yang sangat marah kerana dipersendakan oleh anda di Masjid Jin.”

…Sebaik-baik jin-jin itu keluar daripada tubuh saya, barulah saya berasa tenteram dan pulih kembali seperti sediakala; suka bergaul dan bergurau dengan kawan-kawan.”

Dari sudut etimologi, jin ini, ambilan daripada bahasa Arab. Menurut Al-Quran, jin ialah makhluk halus yang dijadikan daripada api. Selain jin ada lagi makhluk yang hampir sejenis dengannya: syaitan dan ketuanya, iblis.

Peranan utama makhluk ini ialah menggoda dan menyesatkan manusia supaya tergelincir daripada akidah yang sebenarnya.

Jin ada yang beragama Islam dan ada yang bukan. Sekumpulan 7 jin dikatakan menganut Islam pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. setelah terpesona mendengar Nabi membaca surah Al-Quran di sekitar masjid ini.

Dalam bahasa Melayu, banyak sekali nama dan jenis makhluk ini: hantu, jembalang, pontianak, langsuyar, pelesit, toyol, bunian, jerangkung, mambang, pocong dan sebagainya.

Nama makhluk ini terpulang kepada fungsi dan kegiatan mereka. Sesetengah pihak berpendapat, kehadiran makhluk ini hanya hayalan minda manusia semata-mata.

Namun dalam Al-Quran, makhluk halus: jin, syaitan dan iblis ini memang wujud. Dan umat Islam diperintahkan supaya sentiasa memohon perlindungan kepada Allah s.w.t daripada gangguan dan pengaruh; yang diisytiharkan sebagai musuh utama manusia ini sehingga ke hari kiamat.

ENDIT.

No comments:

Post a Comment