Search This Blog

Sunday, 27 September 2009

PERISTIWA BAHASA 8 - Ada Mata Tengok. Ada Telinga Dengar...

ADA MATA TENGOK,
ADA TELINGA DENGAR
DAN
ADA MULUT TUTUP


MOHD GANI AHMAD

April 1996, perjalanan dari Makkah ke Arafah yang sepatutnya mengambil masa hanya setengah jam jika tidak ada kesesakan di jalan raya, namun rombongan kami telah mengambil masa lebih tiga jam.

Ketika hendak naik bas pada 12 tengah malam, dua orang pemuda berbual. Antara bualan mereka yang saya dengar, kira-kira begini:

“… Eh, katiknya pemandu bas (anak Indonesia) kita ini, macam bodoh saja! Bolehkah dia memandu bas yang sebesar ini?” ujar Pemuda A.

“… jangan-jangan, akan tersesatlah kita semua nampaknya,” sambut Pemuda B dengan suara yang agak sinis.

Lontaran kekata mereka, yang kepada para jemaah haji merupakan hasrat secara tidak langsung. Mengikut ustaz, sebarang ucapan yang dilafazkan di sini merupakan doa, lumrahnya terkabul.

Kami sering dinasihati oleh ustaz dan mutawif supaya sentiasa berhati-hati akan setiap tutur kata dan tingkah laku ketika berada di Tanah Suci.

Pesan ustaz setiap kali pada penutup ceramahnya: “…ada mata lihat, ada telinga dengar dan ada mulut tutup,” sambil menudingkan jari telunjuk ke bibirnya.

Kami, yang seramai 42 jemaah itu, telah tersesat jalan. Pemandu bas yang dikatakan macam bodoh itu; menjadi benar-benar bodoh.

Telah tiga kali drebar kami itu, turun naik bas untuk bertanyakan arah ke tempat tujuan kepada polis yang menjaga keselamatan di jalan raya tetapi masih juga tidak berjaya.

Akhirnya, jemaah yang tertua di dalam bas, pembantu tukang masak, yang pernah menunaikan haji menyarankan agar kami semua beristighfar, bertakbir dan bertalbiah.

Setelah dua kali kalimah-kalimah tersebut dilaungkan, barulah pemandu bas menemui arah ke perkhemahan pakej kami; yang hanya terletak di belakang jalan yang telah kami lalui beberapa kali.

Setibanya kami di khemah, kami telah disambut dengan usikan sekumpulan jemaah perempuan yang menertawakan kami:

“Kasihan tersesat ya? Macam mana boleh tersesat ni? Kami dah tiba sejak jam 12.30. Ada yang dah bangun tidur beberapa kali!” perlian mereka.

Makna denotasi sesat ialah tidak mengikut jalan atau arah yang betul; tersalah, menyimpang ke tempat lain. Kosa kata ini berjenis kata adjektif.

Sesat juga bermakna terkeliru, terutama sekali mengenai kepercayaan atau pegangan. Lebih buruk lagi jika terhadap akidah beragama seseorang.

Antara peribahasa yang menggunakan kosa kata sesat ini:
Sesat surut, terlangkah kembali - bermakna memperbaiki atau memperbetul kesalahan yang pernah dllakukan.
Jika tersesat di hujung jalan baliklah ke pangkal jalan pula -bermakna jika kita tersilap atau terlanjur, kembalilah semula ke jalan yang sebenarnya, ke punca persoalan atau ke matlamat asal.
Ajaran sesat - bermakna ilmu atau pengajaran agama yang menyimpang atau menyeleweng daripada akidah yang sebenarnya.

Dari sudut morfologi, kata dasar sesat ini boleh berkembang menjadi: kata kerja, tersesat dan menyesatkan; kata nama, kesesatan.

Sila pelajari penggunaan kosa kata ini dalam ayat contoh:
Mereka tersesat jalan di dalam hutan tebal selama beberapa jam.
Pandangan dan fikiran yang dianjurkan oleh pensyarah itu boleh menyesatkan orang yang mendengarnya.
Kesesatan para pengikut ustaz yang tidak bertauliah itu berleluasa pada tahun 50-an dengan ajaran sesatnya.

Sinonim tersesat ialah tersasar. Akan kami bicarakan kosa kata sasar ini dalam esei kami yang akan datang. Insya-Allah.

ENDIT.

No comments:

Post a Comment