ANGIN AHMAR
PUNCA LUMPUH
MOHD GANI AHMAD
Pada hari Rabu yang lalu, ketika menjadi pemudah cara dalam ‘Kursus Bahasa’, di Nanyang Walk, Puan Hajah Masuta tiba-tiba berkata:
“Saya tahu yang angin ahmar ini tergolong dalam kata majmuk atau ungkapan tapi saya belum pasti akan makna perkataan ahmar ini, Cikgu?”
Sebenarnya, dari sudut etimologi kosa kata ahmar ini ambilan daripada bahasa Arab yang bermakna merah. Kosa kata ini menjadi entri dalam ‘Kamus Dewan’ dan kamus-kamus berwibawa yang lain.
Begitu juga dengan kata majmuk atau ungkapan angin ahmar ini diberikan penjelasannya dalam kamus dengan makna yang agak komprehensif.
Mungkin beliau belum sempat merujuk kamus yang terdapat di mejanya.
Bercakap mengenai angin ahmar ini, saya secara peribadi pernah mengalaminya.
Peristiwa ini terjadi pada 14 Disember 2003, jam 5.20 pagi, ketika hendak menyelesaikan wuduk; membasuh kaki kanan.
Tiba-tiba, seakan-akan ada petir yang memanah bahu kanan saya. Pancaran petir itu terasa melalui tingkap bilik mandi.
Terasa kaki kanan saya menjadi lemah longlai dan tidak boleh diangkat. Nasib baik, ada palang besi tempat gantungan bidai yang mengasingkan ruangan mandi dengan ruangan yang lain.
Di palang itulah saya berpaut daripada terjatuh. Saya pun berteriak memanggil isteri dan anak-anak untuk memapah saya ke atas katil. Saya terasa kaki kanan telah lumpuh.
Setelah terbaring di atas katil, isteri saya teringat akan petua yang pernah diberitahukan Haji Rahmat Tahir, seorang sahabat:
“…Jika ada orang diserang angin ahmar, tumbukkan halia, tanah liat dan minyak tanah. Kemudian, lumurkan dan gosokkan ke bahagian anggota tubuh yang lumpuh berulang-ulang. Insya-Allah, kelumpuhan itu akan berkurangan…”
Setelah diurut-urut oleh Rendra, anak, selama hampir sejam, kaki kanan saya dapat digerak-gerakkan dan boleh bertatih-tatih di sekitar katil.
Kemudian saya dihantar dan dirawat di Hospital Tan Tock Seng oleh Dr Stanley Gan, selama seminggu. Diikuti rawatan sebulan sekali sebagai pesakit luar selama hampir empat tahun.
Untuk membantu mempercepat kesembuhan akibat kelumpuhan ini, saya juga mendapat rawatan tukang urut, Haji Mahmud Sopan, setiap pagi selama sebulan.
Angin ahmar atau strok dalam laras perubatan atau kedoktoran ialah sejenis penyakit yang berpunca daripada pengaliran darah yang kurang lancar.
Apabila darah menjadi pekat, pembuluh darah atau urat kita semakin menyempit, darah tidak dapat mengalir ke otak atau ke jantung seperti sewajarnya, maka terjadilah apa yang diistilahkan sebagai serangan angin ahmar atau strok ini.
Peristiwa angin ahmar ini tercatat dalam kisah agama, Nabi Sulaiman a.s. pernah didatangi jin yang bernama Al-Rahul Ahmar, yang mengaku bahawa dia boleh meresap ke dalam urat darah manusia dan mengakibatkan penyakit ini.
Cucu Nabi Muhammad Saw, Saidina Hassan r.a., juga pernah diserang penyakit angin ahmar. Rasullulah memohon kepada Allah Swt. yang kemudian disampaikan oleh Jibril, bacaan doa tertentu bagi menyembuhkan penyakit angin ahmar atau strok ini.
Setelah dibaca oleh Nabi Muhammad Saw akan doa ini, Saidina Hassan r.a. pulih dan boleh berjalan semula seperti biasa.
Walau bagaimanapun kedua-dua kaedah pengubatan ini haruslah diamalkan oleh pesakit; iaitu doa dan perubatan saintifik.
ENDIT.
Search This Blog
Sunday, 27 September 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment