BERGURU
KE PALANG
AJAR…
MOHD GANI AHMAD
“Apakah perbezaan perkataan cikgu dengan guru, Cikgu?” tanya peserta ‘Kursus Bahasa’ di Teachers Network, Grange Road, awal Jun lalu.
Dua patah kosa kata ini dibincangkan secara spontan namun tidak sempat dihuraikan dengan sewajarnya kerana banyak hal lain yang harus diselesaikan; tegasnya masa tidak mengizinkan.
Sempena sambutan Hari Guru, September ini, marilah kita bincangkan kosa kata ini agar kefahaman kita akan bertambah luas dan mengembalikan semula penghormatan masyarakat umum akan profesi keguruan ini.
Sebenarnya, perbincangan di bilik kuliah tercetus kerana puisi yang dijadikan bahan pemacu pembelajaran Isnin itu. Sila hayati puisi ‘Guru dan Ilmu’:
Guru penaka pustaka ilmu
tanpa ilmu siapalah guru
tanpa guru sirnalah ilmu
guru dan ilmu
menyatu dalam satu.
Kosa kata guru ambilan daripada bahasa Sanskrit, mahaguru. Makna asalnya ialah seseorang yang memiliki pengetahuan yang luas dan berwibawa dalam sesuatu bidang.
Mahaguru juga merupakan pemimpin agama Hindu dan Buddha. Perkataan ini yang kemudiannya disingkatkan menjadi guru, tidak saja diambil orang Melayu tetapi juga oleh masyarakat dunia; melangkau lautan dan merentas sempadan, termasuklah bahasa Inggeris.
Dalam bahasa Melayu, makna guru, seseorang yang mengajarkan sesuatu ilmu kepada pihak lain. Perkataan yang seiras dengannya: pendidik, pembimbing, penuntun, pengasuh dan pelatih. Guru yang lebih tinggi kewibawaan, status dan sumbangannya barulah disamaertikan dengan mahaguru dan pendeta.
Perkataan guru sudah digunakan dalam bahasa Melayu, sekitar kurun yang ke-7 oleh para pedagang yang membawa masuk barangan dan pendakwah yang mengenalkan kebudayaan mereka dari benua India ke rantau kepulauan Melayu..
Dalam Sejarah Melayu susunan Tun Seri Lanang sekitar awal kurun ke-17, terdapat perkataan berguru ini digunakan, saya petik:
· ‘…Maka raja pun bergurulah pada Makhdum akan tertib bersembahyang, baginda digelarnya …’
Perkataan guru ini juga banyak digunakan dalam Hikayat Abdullah yang ditulis oleh Munshi Abdullah sekitar pertengahan kurun ke 19, saya tukil:
· “…hatta maka daripada ketika itulah digelar munsyi, ertinya guru atau pengajar dalam bahasa-bahasa, maka daripada masa itu lekatlah gelaran itu sampai sekarang ini.”
Daripada perkataan guru, yang menjadi encik guru, lahirlah akronim cikgu. Menurut Dr Muhammad Ariff Ahmad, akronim ini mungkin telah digunakan sejak 1930-an, terutama sekali oleh para graduan Maktab Perguruan Sultan Idris; sekarang Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Dalam bahasa Indonesia, kosa kata cikgu ini, tidak: dikenali, digunakan dan dijadikan entri dalam kamus umum dan baku mereka. Mereka lebih selesa menggunakan istilah pak guru dan ibu guru.
Sekarang ini ramai anggota masyarakat yang hanya menggunakan kependekan kata cg dalam khidmat pesanan ringkas atau sms di telefon bimbit.
Sila hayati dan nikmati pula pantun klasik yang bertemakan kekaryawanan guru, yang baris ketiganya dijadikan judul esei ini; yang ada hubung kaitnya dengan puisi Guru dan Ilmu:
Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.
Cikgu merupakan kata sapaan atau panggilan kepada pegawai pendidikan rasmi yang mengajarkan mata pelajaran di sekolah dan menerima gaji bulanan tetap oleh pemerintah, syarikat swasta atau institusi pendidikan.
Di institut pengajian tinggi ada istilah guru besar dan mahaguru. Guru besar di sesetengah universiti disamaertikan dengan ketua jabatan atau fakulti yang kini diganti dengan mahaguru boleh juga disamaertikan dengan profesor.
Sebenarnya, kata majmuk guru besar ini berasal daripada istilah bahasa Inggeris head master yang diterjemah secara literal atau harfiah.
Sementara guru pula tidak menerima imbalan tetap seperti cikgu. Cikgu-cikgu yang telah pencen tetapi tetap mengamalkan sikap keguruannya: menasihat, mengasuh dan mengajar sesiapa saja, masih wajar dipanggil guru.
Dalam bahasa Inggeris, makna guru ini lebih khusus iaitu seseorang yang ahli dan berpengalaman yang berperanan sebagai pakar rujuk atau konsultan dalam sesuatu bidang: ekonomi, politik, pengurusan dan yang sebagainya.
Peribahasa Melayu yang menyindir sikap dan sifat negatif segelintir guru: Kalau guru kencing berdiri murid pula kencing berlari bermakna perbuatan guru akan menjadi contoh teladan kepada murid-muridnya.
Tegasnya, kalau guru bersikap atau berperangai kurang baik tentulah anak didiknya akan bersikap lebih buruk lagi daripada tingkah laku gurunya itu.
Raja Ali Haji, yang digelar Pujangga di Ambang Kurun ke-19, dalam bukunya Gurindam 12 ada menyentuh kosa kata guru ini; yang boleh dijadikan bahan merangsang minda:
· Cari olehmu akan guru,
yang boleh tahukan tiap seteru.
· Jika orang muda kuat berguru,
dengan syaitan jadi seteru.
Daripada kosa kata guru ini lahirlah kekata majmuk: guru besar, guru kanan, guru baku, guru sambilan, guru bahasa, guru sains, guru senaman, guru muzik, guru bantu, guru kepala, guru tari, mahaguru dan yang sebagainya.
Guru besar selain dikategorikan sebagai kata majmuk, boleh juga dikategorikan sebagai frasa nama. Pelajari wacana contoh yang berikut yang mengandungi kosa-kosa kata dasar guru:
· Cikgu Abdul Malik digelar guru besar oleh kawan-kawannya kerana tubuh badannya yang tinggi, tegap dan besar; bukan kerana pangkatnya.
· Beliau yang baru lima tahun lulus sarjana ilmu keguruan di Universiti Pendidikan Sultan Idris, telah dilantik menjadi timbalan guru besar di Maktab Perguruan Nasional.
ENDIT.
Search This Blog
Sunday, 27 September 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment