ALA
ACA
AJA
AYAH
Mohd Gani Ahmad
“Aku marah betul kepada anak lelakiku apabila dia bercakap begitu,” rungut Haji Abdul Rahman Dinyati, pada akhir tahun 1980 di pejabatnya, di Institut Perkembangan Kurikulum Singapura, di Kampus Bukit Timah.
“Mengapa engkau marah sangat, Man? Kan perkataan acah ini tidak mengandungi makna yang tak sopan atau tak baik? Usik saya.
“Entahlah, seakan-akan anak aku itu memperli-perli atau mempersenda-sendakan aku dengan perkataan acah ini,” jelas Haji Abdul Rahman.
Mungkin teman saya ini marah kerana cara anaknya menuturkan frasa ini pada suasana yang kurang sesuai. Atau beliau terpengaruh dengan ayat yang sering diungkapkan golongan belia secara kurang sopan pada masa itu.
Marilah kita selongkar makna sebenarnya atau denotasi, dan makna sampingan atau konotasi kosa kata acah ini.
Merujuk beberapa kamus umum, kosa kata acah ini bermakna:
melakukan sesuatu dengan berpura-pura,
bermain-main atau bersenda gurau,
melakukan gerakan bagi mengelirukan atau menyesatkan pihak lawan dalam pertarungan atau pertandingan,
melanggar perintah dan
sejenis gamelan berbilah enam yang diketuk dengan palu.
Laksamana Hang Tuah dikatakan sering mengacah-acah lawannya supaya tersalah langkah dan memudahkan beliau menewaskan musuhnya.
Taktik Hang Tuah inilah yang diamalkan para guru silat ketika mengajar anak didik mereka yang berlatih bermain keris di gelanggang silat.
“Kamu acah di sebelah kiri tetapi kamu terkam di sebelah kanan, begitulah sebaliknya. Kita mesti mengelirukan pihak lawan sebelum menyerang.”
Begitulah antara ungkapan biasa Pendekar Haji Buang Bahar kepada anggota Perguruan Silat Seni Gayung Perwanit di halaman Madrasah Alsagoff di Jalan Sultan pada 1970-an.
Selain seni mempertahankan diri, kosa kata acah ini sering juga digunakan oleh jurulatih dalam permainan atau sukan: bola sepak, sepak takraw, gusti, tinju dan yang sebagainya.
Daripada kata dasar acah, yang berjenis kata kerja ini, lahirlah perkataan: mengacah-acah, diacah, acahan dan lain-lain lagi.
Pelajari dan fahami penggunaannya dalam wacana berikut:
Mak Timah mengacah-acahkan payung yang dipegangnya kepada pemuda-pemuda di simpang jalan yang menggelarnya mak bonda.
Setelah diacah-acah, anak-anak muda nakal yang mengusiknya melarikan diri sambil tertawa terkekeh-kekeh.
Acahan Mak Timah yang marah dan terjerit-jerit seperti orang yang kurang siuman itu menarik perhatian orang ramai.
Acahan dalam dialek Pulau Pinang boleh juga bermakna menepuk tanah bagi memanggil pelanduk. Biasanya, kaedah ini diamalkan oleh pawang dan pemburu binatang liar di hutan.
Di sesetengah daerah, acah ini disebut dan disamaertikan maknanya dengan perkataan acan.
Kesimpulan perbincangan kita kali ini, kadangkala intonasi, nada suara, dan situasi ucapan yang boleh membawa pengertian yang tidak disenangi oleh pendengar. Bukan kerana penggunaan atau makna kosa kata.
Nada suara yang kurang sopan dan kasar, masa dan situasi penyampaian pendapat, juga boleh menjadikan bahasa yang bertujuan baik menjadi bahasa yang tidak bertatasusila.
ENDIT.
Search This Blog
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Acah-acah pulal? Ataupun maksudnya sama?
ReplyDelete