KECIL-KECIL
CILI PADI
MOHD GANI AHMAD
Di Shanghai, hari kedua Hari Raya Puasa, Kyle Vudko, pemuda Kanada, merungut dalam bahasa Inggeris, “Panas, panas, (maksudnya pedas) betul lauk-pauk ini,” sambil minum air galian yang terhidang di meja makan berulang kali.
Wajahnya yang kemerah-merahan itu bertambah merah kerana kepedasan sambal tumis udang, ikan bilis dan telur burung yang merah menyala.
Masakan Hajah Amlah Osman, asal Solo, memang selalunya pedas. Beliau gemar menggunakan cili yang banyak ketika memasak lauk-pauk.
Yang hendak kami bicarakan kali ini ialah mengenai kosa kata cili, dan perkataan yang sinonim dengannya.
Cili dipercayai ambilan daripada perkataan chilli yang merupakan kosa kata pribumi Latin Amerika. Mungkinkah Chile itu berasal daripada perkataan cili ini? Kemudian perkataan ini tersebar oleh bangsa Sepanyol ke Eropah.
Selain cili, perkataan seertinya ialah lada. Perkataan ini tercantum dalam Sejarah Melayu. Sila nikmati pantun yang didendangkan bunga tanjung biru, di taman Puteri Gunung Ledang:
Dang Nila memangku puan,
berembang buah pidada;
Adakah gila bagimu tuan,
burung terbang dipipiskan lada?
Kosa kata lombok juga bermakna cili dan lada. Perkataan ini berasal daripada dialek Jawa. Pulau Lombok terletak di antara Bali dengan Sumbawa. Ibu kotanya Mataram. Pernah terbentuk kerajaan yang besar di sini.
Adakah di Pulau Lombok itu banyak orang menghasilkan cili, yang sangat diperlukan oleh penjajah barat: Portugis, Belanda dan Inggeris suatu masa dahulu?
Satu lagi perkataan yang seerti dengan cili dan lada ialah cabai. Perkataan ini dipercayai berasal daripada bahasa Sanskrit. Sebutan dialek Jawanya, cabe dan Maduranya, cabbi.
Barangkali kerana rasanya yang pedas, maka orang-orang Bali dan Sunda menyebutnya dengan kosa kata pedas dan pepedas sahaja.
Ada pelbagai jenis cili atau lada ini. Antaranya: cili padi yang juga dipanggil cili api atau cabe rawit; lada hijau atau merah, lada putih dan hitam.
Lada Benggala berbentuk bulat dan biasanya dibuat ulam atau salad. Rasanya tidak terlalu pedas.
Lada padi atau lada api, kerana ukurannya yang kecil. Rasanya yang pedas telah melahirkan peribahasa Melayu: Kecil-kecil cili atau lada padi yang bermaksud walaupun tubuhnya kecil tetapi berani dan bijak.
Satu peristiwa lucu pernah terjadi pada 1955, Albert, anak jiran, di Kim Keat Avenue, berusia kira-kira 13 tahun, ke rumah ketika kami sedang makan masalode.
Sebagaimana biasa, apa yang terhidang di meja makan. Albert akan turut mencicipinya. “Gua biasa makan cili hijau besar ini, Abang,” katanya bangga.
“Lu cuba makan cili ini, kecil saja. Tak pedas punya,” kata abang saya, Madini, menunjukkan sebutir cili padi dan mengujanya.
Sebaik-baik sahaja, dia makan lada padi itu, dia pun terus berlari pulang.
Keesokannya, barulah dia bercerita mengapa dia berlari pulang.
“Tak boleh tahanlah, Bang. Banyak pedas cili api itu,” kata Albert.
Ada peribahasa yang berbunyi: Siapa makan lada, dialah yang terasa pedasnya. Peribahasa ini bermakna sesiapa yang melakukan kesalahan, dialah yang terasa sindiran.
Satu lagi kosa kata yang seiras dengan cili lada dan cabai inI ialah merica. Perkataan ini ambilan daripada bahasa Sanskrit. Kosa kata ini khusus dihubungkaitkan dengan lada putih dan lada hitam.
ENDIT.
Search This Blog
Sunday, 27 September 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment