Search This Blog

Tuesday, 29 September 2009

PERISTIWA BHASA 29 - Tanah Tinggi Merupakan Pasak Bumi

TANAH
TINGGI
MERUPAKAN
PASAK BUMI


MOHD GANI AHMAD

Ketika menonton rakaman Pertandingan Kuiz Cepat Tepat yang ditayangkan di SURIA sejak awal Mac 2009, saya tertarik dengan gelagat peserta memperkenalkan diri dan kumpulan mereka.

Antaranya, terdapat dua kumpulan yang menggunakan nama bukit iaitu Bukit Timah dan Bukit View. Sekolah Rendah Bukit Timah ketika memperkenal diri, mereka menyebut kosa kata mambang.

Kosa kata mambang, insya-Allah, akan kami bincangkan dalam esei yang akan datang. Kali ini kami akan membincangkan perkataan bukit.

Bukit adalah tanah tinggi yang lebih rendah daripada gunung. Tingginya kira-kira 500 meter dari paras laut dan lebih tinggi daripada busut.

Tanah tinggi merupakan pasak bumi yang terpancang ke dalam perut bumi; berfungsi bagi mengukuh dan memantapkan keadaan tanah. Begitulah tafsiran yang terdapat dalam beberapa potong ayat suci al-Quran.

Dalam bahasa Arab tanah tinggi ini disebut thur dan jabal, banyak kali disebut dalam al-Quran. Ini memperlihatkan fungsi tanah tinggi ini sangat penting dalam kemantapan tanah di sekitarnya.

Dengan mengubah keadaan dan struktur tanah tinggi ini seperti meratakan atau menarah sesetengah bahagian tanah tinggi tanpa perancangan yang sewajarnya akan mengakibatkan kejadian runtuhan atau gelungsuran tanah.

Musibah tanah runtuh ini pernah terjadi di beberapa negara dan telah mengakibatkan korban jiwa manusia dan harta benda yang bukan sedikit.

Jika kita merujuk peta Asia Tenggara, akan terdapat bahawa Pulau Sumatera terbahagi antara timur dan barat oleh banjaran Bukit Barisan dan Semenanjung Tanah Melayu pula oleh Banjaran Titiwangsa.

Begitu juga dengan Singapura terbahagi antara timur dan barat oleh beberapa bukit dari utara ke selatan: Bukit Panjang, Bukit Timah, Bukit Batok, Bukit Gombak, Bukit Merah dan sebagainya.

Bukit Panjang pada masa lampau merupakan kawasan yang sunyi sepi. Kini menjadi estet perumahan yang didiami sekitar lebih 100 ribu penduduk.

Di estet ini terdapat stesen MRT dan pelbagai kemudahan awam. Bentuk tanah tingginya memanjang ke selatan dan bertemu dengan Bukit Timah.

Bukit Timah merupakan kawasan hutan simpan yang tertua dan terbesar di negara kita. Kawasan ini telah mula dibuka sebaik-baik sahaja kedatangan Inggeris pada pertengahan kurun ke-19.

Bukit Batok, ada dua versi cerita mengenai perkataan batuk ini. Batuk dikatakan berasal daripada bahasa Jawa yang bermakna kelapa. Dikatakan di bukit ini terdapat banyak pokok kelapa.

Cerita yang satu lagi menyatakan batuk itu berasal daripada perkataan batu; yang merupakan asas bukit ini. Di sini juga terdapat trek laluan dan Guilin Kecil, yang menjadi daya tarikan para pelawat.

Bukit Merah dinamakan begitu kerana warna tanahnya yang kemerah-merahan. Kerana projek pembangunan, bukit ini telah diratakan dan sirna.

Sebuah cereka telah dicipta oleh seorang penulis yang mengaitkan kawasan ini dengan legenda Singapura dilanggar kerajaan Majapahit.

Antara peribahasa yang menggunakan kosa kata bukit:

Bukit jadi paya, paya jadi bukit - yang bermakna orang kaya menjadi miskin dan orang miskin pula menjadi kaya.

Bukitlah tinggi, lurahlah dalam – bermakna seseorang yang telah tua dan tidak dapat lagi bergerak ke sana ke sini dengan bebasnya.

Bukit di balik pendakian - yang bermakna lepas daripada satu kesusahan menghadapi satu lagi kesukaran.
Lirik lagu atau pantun klasik bukit.

ENDIT.

No comments:

Post a Comment