Search This Blog

Tuesday, 29 September 2009

PERISTIWA BAHASA 38 - Di Bumi Ini Aku Terpacak

oleh
MOHD GANI AHMAD


OGOS merupakan bulan bersejarah atau keramat dan penuh bermakna bagi tiga negara berjiran di Asia Tenggara. Republik Indonesia mencapai kemerdekaannya pada 17 Ogos 1945, Persekutuan Tanah Melayu, 31 Ogos 1957 dan Republik Singapura, 9 Ogos 1965.

Hari Kebangsaan ini di sesetengah negara dinamakan Hari Kemerdekaan, Hari Nasional atau Hari Kebebasan.

Untuk mencapai taraf kemerdekaan, ada bangsa yang berjuang menentang penjajahan dengan peperangan, dan ada sesetengah negara pula yang membebaskan diri dengan kebijaksanaan politik para pejuangnya.

Sempena hari-hari ini, marilah kita sembangkan kosa-kosa kata bangsa dan merdeka. Dua patah perkataan ini besar ertinya kepada kita semua.

Bangsa ambilan daripada bahasa Sanskrit vamsa yang makna asalnya kelompok atau keturunan. Atau bahasa mudahnya, orang atau kaum yang seketurunan. Satu peristiwa lucu akan penggunaan kosa kata orang ini terjadi di bilik kuliah Maktab Perguruan Singapura (TTC) awal 1960-an.

“Awak orang apa, Juri?” tanya Dr Muhammad Ariff Ahmad dalam sela-sela kuliah tatabahasanya kepada Juri bin Wari; yang tampangnya iras-iras orang Jepun atau China jika dilihat pada warna kulitnya yang cerah dan matanya.








“Saya orang Boyan, Cikgu,” jawab Juri Wari ringkas dan tegas. Suara gelak tawa nakal penuntut lelaki kedengaran di bahagian belakang kelas.

“Oh, orang Boyan rupanya hero kita ini!” suara beberapa penuntut perempuan yang meminati ketampanan Juri.

Semua mata memerhatikan Juri dengan kekagetan. Wajah Juri yang kecina-cinaan itu tidak memperlihatkan langsung yang beliau itu orang Bawean.

Dari sudut - laras politik, makna orang itu berbeza dengan bangsa. Orang secara peribadi dianggap manusia perorangan. Bangsa pula merupakan kelompok orang yang mempunyai satu matlamat perjuangan. Warga atau rakyat di sesebuah negara.

Daripada kosa kata bangsa lahirlah perkataan kebangsaan yang kemudian membentuk ungkapan politik, Hari Kebangsaan yang dirayakan warganya di sesetengah negara. Namun ada negara yang lebih selesa menggunakan kata majmuk Hari Kemerdekaan.

Merdeka juga ambilan daripada bahasa Sanskrit, maharddika, yang bererti tidak terikat. Saya mula mengenali perkataan ini ketika berusia awal belasan tahun.

Sebelum itu pernah terbentur dengan kosa kata ini dalam buku ‘Canai Bacaan’ yang digunakan di sekolah Melayu. Puteri Raja Cina yang cuba dimerdekakan daripada cengkaman burung garuda dalam legenda Hikayat Merong Maha Wangsa. Namun saya kurang faham akan makna sebenarnya.

Ketika Almarhum Presiden Sukarno singgah di Singapura; lawatan yang kurang disenangi oleh penjajah British pada masa itu. Almarhum menyampaikan pidatonya yang berapi-api di pekarangan Wisma Melati di Paterson Road.

Sebelum, sedang dan sesudah beliau berpidato, kami meneriakkan kosa kata merdeka berulang-ulang dengan semangat yang berkobar-kobar.

Pada 1956, sekali lagi, saya meneriakkan kosa kata merdeka ini berulang-ulang ketika mengalu-alukan Tunku A Rahman Putra dan rombongan yang akan ke London untuk menuntut kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di Lapangan Terbang Kallang.

Sesetengah teman yang berketurunan Cina dan India pula menyebutnya dengan sebutan mardeka; mengikut loghat Yang Mulia Tunku Abdul Rahman.

Daripada peristiwa ini lahirlah semangat kebangsaan di jiwa saya. Pada 1965, saya pernah menyertai perbarisan di Padang – berlagak sebagai rombongan Sang Nila Utama yang mendarat di Temasik dengan kontigen Perwanit.

Kemudian beberapa kali dengan Pasukan Kadet Kebangsaan Singapura dan sekolah menyertai perbarisan Hari Kebangsaan yang dibahagikan kepada empat zon: timur, barat, utara dan selatan pada tahun berikutnya.

Berputik dengan semangat kebangsaan, majlis perkahwinan saya juga diadakan pada 9 Ogos, sempena Hari Kebangsaan di Dewan Masyarakat Toa Payoh.

Jadi, kalau Singapura merayakan ulang tahun yang ke-44, saya pula menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-40.

Sebagaimana kata Allahyarham Haji Muhd Yusof Ahmad, Setiausaha Agung, Majlis Pusat pada masa itu: “Majlis yang diadakan pada malam ini membuktikan semangat kebangsaan pengantin…”

Apabila ada suara sumbang masyarakat kita yang meragui kesetiaan orang Melayu terhadap negara sekitar 1970-an, mendorong saya menulis puisi, “Di Bumi Ini Aku Terpacak’, yang dijadikan judul esei ini, sila hayati rangkap terakhir:
Kerana bumi di mana aku terpacak
udara yang kuhembus
air yang menghilang panas hausku
telah aku asimilasikan
dengan darah yang tertarah
tulang belulang urat dan seluruh jiwa ragaku.

Dirgahayu Singapura.

ENDIT.

PERISTIWA BAHASA 37 - Duduk Sasau Berdiri Pun Sasau



MOHD GANI AHMAD

“Setelah membaca esei anda Isnin lalu, saya dapati esei itu langsung tidak membincangkan kosa kata sasau. Saya fikir, esei anda tidak menepati judul tulisan anda, “Biar tersasar asal tidak sasau.”

Begitulah komentar Haji S H Omar, sahabat seperjuangan, yang sangat prihatin terhadap perkembangan bahasa dan yang sering memberikan masukan kepada tulisan saya.

Sebenarnya, dalam perenggan pertama esei saya itu, saya telah menjelaskan bahawa perbincangan esei itu hanya menumpukan isu perkataan sasar saja. Mungkin judul esei yang menimbulkan pengertian yang pelbagai.

Perkataan sasau ini memang menjadi ingatan dan kenangan yang tidak boleh terlupakan kepada sahabat saya yang seorang ini.

Beliau pernah menghafaz dan mengamalkan mantera sewaktu muda dahulu untuk meng(k)undang mata airnya, sila fahami mantera yang tersebut itu:
…Asap tembakau karang tembakau
Urat rentas jela-jela
duduk sasau berdiri pun sasau
kena hikmatku separuh gila
tertutup terkunci umat Fatimah yang ramai
terbukalah hatikau
seorang diri kepadaku
dengan berkat doa…

Setelah tersiar esei, “Gembira membawa maksud marah”, Haji Ghazali pula menelefon saya, “Perkataan suka juga boleh bermakna gila, Pak Gani.

Apabila seseorang itu terlalu suka akan sesuatu. Sebagaimana, ungkap anak-anak muda zaman sekarang – setengah gila – minat giler, ”

Untuk meredakan kerisauan minda dua sahabat dan pembaca lain yang mungkin juga bertanggapan begitu.


Sila ikuti esei saya kali ini yang membicarakan secara khusus akan kosa kata sasau dan gila ini. Kedua-dua kosa kata ini ada hubung kaitnya antara satu dengan yang lain kerana merupakan kekata yang seiras dan setara.

Memang benar sebagaimana komentar H Ghazali, bahawa suka itu boleh membawa maksud gila apabila suka yang keterlaluan: suka tengok bola sepak, suka makan durian, suka membaca, suka akan perempuan yang cantik dan yang sebagainya. Perasaan suka boleh meningkat menjadi minat yang menggila.

Dalam bahasa Jawa gila ini disamaertikan dengan edan, kasmaran, yang maksudnya gila berahi atau asyik. Ada juga kamus yang memaknakan gila dengan: jijik, ketakutan, khuatir dan menyeramkan.

Dari sudut semantik, makna gila sebenarnya: akal, fikiran, minda, emosi, perasaan, ingatan yang tidak sihat atau tidak waras. Sesuatu perbuatan, kelakuan atau tindakan yang bertentangan dengan norma atau kebiasaan umum.

Secara peribadi, saya pernah mengalami sendiri peristiwa, bagaimana jiran yang terlalu suka atau gila akan burungnya; sehinggakan terlupa melaksanakan tanggungjawabnya yang lebih utama.

Tahun 1951, rumah banglo jiran kami terbakar dan berkemungkinan besar boleh merambah ke rumah kami, jiran saya itu lebih mengingati keselamatan burungnya daripada anak-anaknya sendiri, sehinggakan isterinya menangis dan berteriak:

“Bang oi, angkat anak-anak kita ini dulu! Ini tidak, burung-burungnya saja yang dibawa berpindah ke tempat yang lebih selamat!”

“Alaa, Abang takut burung-burung ini terkena asaplah! Boleh mati burung Abang ini, Yang!” jelas bersahaja Sawari, peminat burung merbah jambul dan tekukur.

“Ya, kalau anak-anak Abang yang tiga orang itu mati terkorban kerana kebakaran, tak apa, ya Bang?” teriak isterinya sambil mengongoi.

Sebenarnya, sasau, ambilan daripada bahasa Arab dan gila daripada dialek tempatan ini merupakan sinonim. Begitulah antara ciri perkataan seerti, seiras dan setara. Lumrahnya, ambilan daripada bahasa-bahasa lain.

Daripada kosa kata gila ini banyak sekali lahirnya peribahasa Melayu, contohnya: gila babi, gila isim, gila talak, gila-gila bahasa, setengah gila, anjing gila dan banyak yang lain lagi. Sila daftarkan dan cari maknanya.

ENDIT.

PERISTIWA BAHASA 36 - Aku Cinta Kepadamu

MOHD GANI AHMAD

Begitulah baris pertama lirik lagu yang pernah didendangkan beberapa orang penyanyi terkenal pada 1950 dan 1960-an yang mengandungi perkataan cinta:
….
Hanya itu yang kutahu
Bilakah masanya terjadi
Aku tak ingat lagi…

Waktu kebelakangan ini, perkataan cinta ini sering dibicarakan orang. Setiap hari, ada sahaja selebriti yang menyentuh perkataan cinta ini di radio dan di pelbagai media massa yang lain.

Masalah cinta ini tidak habis-habis dibincangkan orang; tidak sahaja oleh anak-anak muda malahan warga emas. Kali ini, marilah kita turut campur membincangkan kosa kata sejagat, cinta ini.

Cinta ambilan daripada bahasa Sanskrit citta yang bermakna fikiran, perasaan dan kecemasan. Dalam bahasa Kawi, cininta, bermakna yang difikirkan atau dicintai. Ada sepatah lagi perkataan dalam bahasa Kawi, cintya, yang bererti cantik atau molek.

Sebagaimana lirik lagu yang menjadi judul esei ini, memang benarlah, kadangkala kita tidak ingat: bila, di mana dan mengapa kita mula bercinta.

Dan kerana itulah timbulnya ungkapan: jatuh cinta, cinta buta, cinta pandang pertama, cinta monyet dan yang seumpamanya.

Kisah percintaan agung yang pernah dirakamkan oleh para sasterawan besar dunia, antaranya: Laila Majnun, Romeo dan Juliet, Uda dan Dara.

Beberapa orang penyanyi terkenal termasuk Hetty Kos Endang dan Ermi Kullit pula menyanyikan lagu ‘Kasih’ yang liriknya, memasukkan ketiga-tiga kosa kata seiras: cinta, kasih dan sayang.

Hayati dan fahami serangkap lirik lagu ‘Kasih’ yang ditulis oleh Richard Kyoto:

Kasih dengarlah hatiku berkata Aku cinta kepada dirimu, sayang Kasih percayalah kepada diriku …

Perbezaan dari sudut etimologi, semantik dan morfologi perkataan cinta, kasih dan sayang inilah yang menarik hati untuk dibincangkan lebih mendalam.

Kasih dipercayai berasal daripada kata asih; ambilan daripada bahasa Jawa Kuna. Daripada perkataan asih ini lahirnya perkataan kasih dan kemudiannya kekasih yang bermakna orang yang dikasihi.

Imbuhan awalan ke tanpa akhiran ini, kurang produktif dalam bahasa Melayu tetapi lumayan digunakan dalam bahasa Jawa, yang lebih kurang sama kuasanya dengan awal ber dan ter: ketemu, ketawa, ketabrak, kesohor, ketipu, keburu dan yang sebagainya.

Kosa kata sayang, agak panjang peristiwanya, kita bicarakan sahaja perkataan ini dalam esei khusus yang akan datang. Insya-Allah.

Peribahasa yang menggunakan perkataan kasih:
· Kasih tak sampai, dendam tak sudah bermakna berasa keciwa; sesuatu yang dihajati tidak tercapai atau tidak kesampaian.
· Kasih akan raja dI usungan bermakna rasa hormat kepada seseorang itu haruslah yang sewajarnya dan berpada-pada saja tidak berlebih-lebihan.

Cinta dan kasih ini makna yang ditakrifkan oleh masyarakat umum berkisar kepada cinta dan kasih kepada seseorang semata-mata, tegasnya cinta asmara antara lelaki kepada perempuan.

Namun kosa-kosa kata ini juga boleh dihubungkaitkan dengan kasih dan cinta kepada Sang Pencipta dan pesuruh-Nya. Kemudian, barulah kepada makhluk yang lain terutama sekali ibu dan ayah, bangsa, agama dan negara. Kepada para pelajar khususnya, mereka juga harus cinta akan ilmu pengetahuan.

Dari sudut morfologi atau pembentukan kata, cinta boleh menerbitkan perkataan: bercinta, tercinta, mencintai, dicintai dan percintaan. Sila pelajari dan fahami penggunaannya dalam wacana yang berikut:
Kisah percintaan Romeo dan Juliet dijadikan skrip drama oleh William Shakespeare. Romeo bercinta dengan Juliet. Kisah percintaan mereka merupakan tragedi cinta. Percintaan mereka dihalang oleh keluarga mereka yang bermusuhan. Ibu mereka yang tercinta juga menentang percintaan mereka berdua. Juliet sangat mencintai dan dicintai Romeo sehinggakan mereka akhirnya mati bersama dalam keadaan yang tragik.

ENDIT.

PERISTIWA BAHASA 35 - Hendak Bertanya atau Menyoal?

HENDAK
BERTANYA
ATAU
MENYOAL?

MOHD GANI AHMAD

Hari Jumaat lalu, sebaik-baik saja melangkah keluar dari pintu utama masjid, Haji Shafawi Ahmad, tokoh aktivis kemasyarakatan yang aktif, mengajukan persoalan:

“Tolong sentuh sedikit perkataan pertanyaan dan persoalan yang sering kurang tepat digunakan oleh sesetengah pihak. Jika tidak dibincangkan, dikhuatiri akan menjadi ikutan masyarakat umum khususnya para pelajar. Perkara ini sering mengganggu pemikiran saya. ”

Memang benar apa yang diungkapkan oleh tokoh kita ini. Penggunaan yang kurang tepat ini sering tersiar di televisyen sesudah waktu subuh.

Biasanya, penggunaan perkataan ini dimulakan oleh pensyarah rancangan televisyen ini, yang sering memulakan dengan menggunakan ayat: ‘Kalau ada apa-apa persoalan, sila kemukakan…’

Para jemaah yang mengemukakan pertanyaan lebih condong terikut-ikut menggunakan kosa kata persoalan daripada sekadar pertanyaan.

Kata dasar tanya dan soal, memang dikategorikan sebagai kekata seerti atau seiras; dalam istilah lingustiknya, sinonim. Namun dari sudut penggunaannya berbeza dan tidak sama terutama sekali apabila kekata ini berkembang; menerima imbuhan apitan: per + an.

Sebelum kita membicarakan kosa kata ini lebih lanjut, sila pelajari lirik asal ‘Itulah Sayang’ yang terdapat dalam filem ‘Anakku Sazali’; ciptaan Datuk Jamil Sulong, tahun 1956.
Tanya sama pokok apa sebab goyang
Nanti jawab pokok tanyalah angin
Tanya sama awan apa sebab hujan
Nanti jawab hujan …

Begitulah seterusnya pertanyaan yang tidak selesai dijawab. Masing-masing hanya menimbulkan pertanyaan demi pertanyaan.

Dr Muhammad Ariff Ahmad dalam sembang bahasanya menyatakan: ‘… soal, haruslah ada jawabannya, seperti soalan yang diajukan anggota polis yang sedang mengemukakan penyiasatan atau mengintrogasi yang tertuduh bersalah…’

Maknanya kosa kata: soal, soalan, persoalan, soal jawab dan yang seumpamanya lebih rasmi, lebih serius dan tidak seiras dengan tanya dan pertanyaan; yang kadangkala tidak memerlukan jawapan.

Dalam laras pendidikan, kosa kata soalan digunakan secara khusus dan meluas dalam setiap soalan dan tidak boleh ditukar ganti dengan pertanyaan.

Persoalan boleh bermakna masalah, isu, judul atau pokok percakapan seperti dalam wacana berikut:
Marilah kita bincangkan persoalan kelemahan anak-anak kita dalam bidang pelajaran matematik dan sains. Persoalan ini tidak boleh kita diamkan berlarut-larutan.

Dalam wacana ini kosa kata persoalan tidak boleh digantikan dengan pertanyaan. Ini menunjukkan kosa kata persoalan tidak sama atau seiras dengan pertanyaan.

Pelajari pula wacana yang menggunakan kosa kata: bertanya dan pertanyaan.
Saya hanya bertanya. Jika anda tidak dapat menjawab pertanyaan saya itu tidak mengapa. Saya akan bertanya kepada orang yang lebih pakar akan hal ini.

Kosa kata tanya dan bertanya ambilan daripada bahasa Kawi atau Jawa Kuna. Sementara, soal atau menyoal pula ambilan daripada bahasa Arab; yang makna asalnya berbahas.

Dari sudut morfologi atau pembentukan perkataan, memang imbuhan itu berfungsi boleh menukar makna dan jenisnya.

Antara peribahasa yang menggunakan perkataan bertanya:
Malu berkayuh perahu hanyut, malu bertanya sesat jalan – bermakna seseorang yang tidak mahu berusaha akan kecundang dan yang tidak mahu mengakui kebodohannya akan tersasar.

Sebenarnya, kedua-dua kosa kata soal dan tanya ini pada dasarnya memang seiras tetapi tidak sama betul apabila berkembang dan meluas penggunaannya setelah menerima imbuhan apitan.
ENDIT.

PERISTIWA BAHASA 34 - Gundu Lu! Mana Mata Taruk?

GUNDU LU!
MANA
MATA,
TARUK?


MOHD GANI AHMAD

Di Masjid Al-Muttaqin, Jumaat lalu, selesai sahaja solat tahyatul masjid, tiba-tiba Haji Ghazali Lazan, 74 tahun, telah berada di samping dan berbisik:

“Sentuh sedikit makna dan penggunaan perkataan pekebun yang sering kurang tepat digunakan orang pada masa ini.”

Kalau tidak silap saya, telah dua kali beliau mengutarakan hal ini. Beliau sahabat yang peka terhadap perkembangan bahasa Melayu, mantan guru bahasa di Sekolah Menengah Naval Base.

Setiap pagi, beliau menguliti akhbar ini dari muka depan hingga ke halaman belakang dengan penuh minat dan cermat.

Setiap kesilapan bahasa, sama ada penggunaan perkataan, ejaan dan struktur ayat yang digunakan dalam akhbar ini akan dijadikan modal bualnya dengan teman-teman yang ditemuinya.

Rungutan beliau mengenai perbezaan dan penggunaan makna perkataan pekebun dan kata majmuk atau ungkapan tukang kebunlah yang akan menjadi bahan perbincangan kami kali ini.

Dulu, tukang kebun ini banyak dikerjakan oleh saudara-mara kita yang berketurunan Jawa. Gelaran kepada mereka ini ialah wak kebun.

Sementara pemandu kereta pula banyak dikerjakan oleh suku Bawean. Kisah ini akan saya bicarakan dalam tulisan yang akan datang. Insya-Allah.

Bercakap mengenai tukang kebun ini, teringat saya akan peristiwa yang pernah diceritakan oleh Haji Juraimi, yang pernah menjadi pegawai keselamatan di rumah tokoh politik terkenal di sekitar Bukit Tunggal Road.

Suatu petang sedang dia bertugas, tiba-tiba dia ditanyai oleh seorang penghantar pesanan penting mengenai keberadaan tuannya.

Haji Juraimi dengan serta-merta menemui tukang kebun yang sedang terbongkok-bongkok menanam pokok bunga di pagar rumah.

“Mama, Mama, mana tuan?” tanya Haji Juraimi.

“Gundu, lu! Gua tuanlah! Mana mata, taruk?” tuannya bingkas bangun dengan wajah marah lalu masuk ke rumahnya.

“Alamak, salah oranglah aku!” kesal Haji Juraimi sambil mengaruk-garuk kepalanya yang tidak gatal. Akibat ketelanjurannya itu, beberapa hari kemudian, Haji Juraimi pun dipindahkan bertugas ke tempat lain.

Sebenarnya, di rumah tuannya itu memang ada tukang kebun yang setiap hari memakai topi ketika menguruskan kebersihan sekitaran rumah termasuk tanam-menanam pokok dan memotong rumput.

Kosa kata tukang ini telah menjadi tradisi kepada masyarakat Melayu memaknakannya dengan makna orang yang: ahli, pakar, pandai atau pawang, dalam sesuatu bidang yang dikerjakan.

Contohnya dalam kata majmuk atau ungkapan, tukang: ubat, tenung, besi, emas, masak, kayu dan yang sebagainya. Mereka ini dianggap ahli atau pandai dalam bidang masing-masing.

Namun dalam kosa kata tukang kebun, mereka ini bukanlah pakar atau ahli dalam perkebunan. Mereka sekadar mengerjakan atau menjaga kebersihan di sekitaran halaman rumah majikannya.

Pekebun pula ialah orang yang mengusahakan kebunnya dengan menanam tumbuh-tumbuhan: buah-buahan, sayur-sayuran, bunga-bungaan dan yang sebagainya.

Luas kawasan tanah yang dikerjakan itu tidaklah terlalu besar. Jika luas, maka perkataan ladang digunakan orang. Dan orang yang mengusahakannya pula dipanggil peladang.

Sebelum Toa Payoh dibangun menjadi bandar baharu empat dekad yang lalu, kawasan ini merupakan kebun-kebun sayur dan buah-buahan; yang diusahakan oleh para pekebun dan bukannya tukang kebun.

ENDIT.

PERISTIWA BAHASA 34 - Gundu Lu! Mana Mata Taruk?

GUNDU LU!
MANA
MATA,
TARUK?


MOHD GANI AHMAD

Di Masjid Al-Muttaqin, Jumaat lalu, selesai sahaja solat tahyatul masjid, tiba-tiba Haji Ghazali Lazan, 74 tahun, telah berada di samping dan berbisik:

“Sentuh sedikit makna dan penggunaan perkataan pekebun yang sering kurang tepat digunakan orang pada masa ini.”

Kalau tidak silap saya, telah dua kali beliau mengutarakan hal ini. Beliau sahabat yang peka terhadap perkembangan bahasa Melayu, mantan guru bahasa di Sekolah Menengah Naval Base.

Setiap pagi, beliau menguliti akhbar ini dari muka depan hingga ke halaman belakang dengan penuh minat dan cermat.

Setiap kesilapan bahasa, sama ada penggunaan perkataan, ejaan dan struktur ayat yang digunakan dalam akhbar ini akan dijadikan modal bualnya dengan teman-teman yang ditemuinya.

Rungutan beliau mengenai perbezaan dan penggunaan makna perkataan pekebun dan kata majmuk atau ungkapan tukang kebunlah yang akan menjadi bahan perbincangan kami kali ini.

Dulu, tukang kebun ini banyak dikerjakan oleh saudara-mara kita yang berketurunan Jawa. Gelaran kepada mereka ini ialah wak kebun.

Sementara pemandu kereta pula banyak dikerjakan oleh suku Bawean. Kisah ini akan saya bicarakan dalam tulisan yang akan datang. Insya-Allah.

Bercakap mengenai tukang kebun ini, teringat saya akan peristiwa yang pernah diceritakan oleh Haji Juraimi, yang pernah menjadi pegawai keselamatan di rumah tokoh politik terkenal di sekitar Bukit Tunggal Road.

Suatu petang sedang dia bertugas, tiba-tiba dia ditanyai oleh seorang penghantar pesanan penting mengenai keberadaan tuannya.

Haji Juraimi dengan serta-merta menemui tukang kebun yang sedang terbongkok-bongkok menanam pokok bunga di pagar rumah.

“Mama, Mama, mana tuan?” tanya Haji Juraimi.

“Gundu, lu! Gua tuanlah! Mana mata, taruk?” tuannya bingkas bangun dengan wajah marah lalu masuk ke rumahnya.

“Alamak, salah oranglah aku!” kesal Haji Juraimi sambil mengaruk-garuk kepalanya yang tidak gatal. Akibat ketelanjurannya itu, beberapa hari kemudian, Haji Juraimi pun dipindahkan bertugas ke tempat lain.

Sebenarnya, di rumah tuannya itu memang ada tukang kebun yang setiap hari memakai topi ketika menguruskan kebersihan sekitaran rumah termasuk tanam-menanam pokok dan memotong rumput.

Kosa kata tukang ini telah menjadi tradisi kepada masyarakat Melayu memaknakannya dengan makna orang yang: ahli, pakar, pandai atau pawang, dalam sesuatu bidang yang dikerjakan.

Contohnya dalam kata majmuk atau ungkapan, tukang: ubat, tenung, besi, emas, masak, kayu dan yang sebagainya. Mereka ini dianggap ahli atau pandai dalam bidang masing-masing.

Namun dalam kosa kata tukang kebun, mereka ini bukanlah pakar atau ahli dalam perkebunan. Mereka sekadar mengerjakan atau menjaga kebersihan di sekitaran halaman rumah majikannya.

Pekebun pula ialah orang yang mengusahakan kebunnya dengan menanam tumbuh-tumbuhan: buah-buahan, sayur-sayuran, bunga-bungaan dan yang sebagainya.

Luas kawasan tanah yang dikerjakan itu tidaklah terlalu besar. Jika luas, maka perkataan ladang digunakan orang. Dan orang yang mengusahakannya pula dipanggil peladang.

Sebelum Toa Payoh dibangun menjadi bandar baharu empat dekad yang lalu, kawasan ini merupakan kebun-kebun sayur dan buah-buahan; yang diusahakan oleh para pekebun dan bukannya tukang kebun.

ENDIT.

PERISTIWA BAHASA 33 - Supaya Lebih Sesuai Daripada Agar

SUPAYA
LEBIH
SESUAI
DARIPADA
AGAR ?


MOHD GANI AHMAD

Peristiwa Haji Abdul Rashid yang ditegur oleh pengetuanya di Sekolah Melayu Sembawang awal 60-an mengenai kosa kata bilang menular kepada saya.

Saya juga pernah ditegur kerana menggunakan perkataan agar ketika mengajar di dalam darjah.

‘…Perkataan agar tidak terdapat dalam bahasa Melayu jati. Perkataan ini hanya digunakan di Indonesia dan boleh mencemarkan keaslian bahasa Melayu jika digunakan secara meluas. Gunakan perkataan supaya bagi menggantikan perkataan agar…”

Saya tidak menentang pendapat beliau; yang masih setia berpegang kepada pendapat Pendeta Dr Za’ba, yang pernah menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC), sekarang Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Saya baru seminggu bertugas di sekolah itu. Walaupun hati kecil saya ingin menyanggah pendapat beliau, yang saya anggap sudah ketinggalan zaman.

Terutama sekali apabila beliau memperli saya: “… nanti murid-murid awak terbayang agar-agar dalam fikiran mereka apabila awak sering menggunakan perkataan agar ini dan agar itu…”

Sejauh pengetahuan saya, perkataan agar-agar tidak ada kena-mengena dengan kosa kata agar. Hanya secara kebetulan seperti ada pertaliannya.

Seakan-akan agar-agar itu lahir daripada perkataan agar yang digandakan seperti perkataan: epok menjadi epok-epok dan jemput menjadi jemput-jemput.

Sebenarnya, kedua-dua kosa kata agar dan supaya ini perkataan ambilan: agar daripada bahasa Parsi dan supaya pula daripada bahasa Sanskrit.
Kedua-dua perkataan ini berjenis kata hubung pancangan.

Kosa kata supaya dibawa masuk ke dalam Bahasa Melayu lebih awal jika dibandingkan dengan perkataan agar. Dengan sebab itulah, sesetengah orang menganggap supaya itu lebih asli dan lebih Melayu daripada agar.

Supaya berkata dasar upaya yang bermakna: daya, kekuasaan, kekuatan, dan kebolehan. Apabila diimbuh dengan awalan se, maka menjadi seupaya dan akhirnya menjadi supaya sahaja seperti yang kita kenali sekarang ini.

Memang sehingga tahun 60-an, ada pemikiran yang menganggap kosa kata yang datang dari Indonesia itu kurang asli dan dikhuatiri boleh mencemarkan kemurnian bahasa Melayu.

Sasterawan Harun Aminurashid dalam noveletnya, Darah Kedayan, 1947, begitu juga dengan Ahmad Lutfi atau Edrus dalam noveletnya, 1949, Balik Dari Medan Perjuangan. tidak menggunakan kosa kata agar ini.

Pendeta Doktor Haji Muhammad Ariff Ahmad dalam nota kuliahnya; yang kemudian dibukukan pada 1965 dengan judul Asas Tatabahasa menyatakan bahawa antara kosa kata yang kita terima pakai daripada bahasa Indonesia ialah perkataan agar.

Agar yang seiras dengan: supaya, hendaknya, semoga, mudah-mudahan ini mula digunakan secara meluas di negara kita sekitar tahun 60-an selari dengan gerakan memaju dan memodenkan bahasa Melayu oleh para sasterawan muda.

Cuma lucunya, ada sesetengah pemakai bahasa yang menggunakan kedua-dua kekata ini dalam sepotong ayat terutama sekali para agamawan dan pendakwah yang sering mengucapkan:

Agar supaya kita tidak tersasar atau tersesat jalan, maka pengetahuan asas kita mengenai akidah harus ditingkatkan.

Mungkin mereka pula pengikut setia Dr Selamat Mulyono yang mengkategorikan agar supaya ini sebagai kata hubung dalam bukunya, Kaedah Bahasa Indonesia, 1969.

Begitulah kira-kira.

ENDIT.

PERISTIWA BAHASA 32 - Antara Pengapit dan Pengepit

ANTARA
PENGAPIT
DAN
PENGEPIT


MOHD GANI AHMAD

Ahad lalu, ketika bersembang dalam majlis persandingan di Jalan Damai, tiba-tiba Ali Millmodh, pensyarah dan pereka fesyen busana mengusik temannya, Iman, yang bertugas sebagai pengapit pada hari itu.

“Engkau ini. jadi pengapit atau pengepit pengantin?”

“Entahlah saya pun tak tahu, pengapit atau pengepit. Yang mana satu yang betul, Pak Gani?”kata Iman yang kurang pasti akan istilah ini.

Pengapit berkata dasar apit atau kapit, yang berjenis kata nama. Kedua-dua perkataan ini merupakan kosa kata klasik bahasa Melayu.

Makna sebenar pengapit ialah pengiring, pembantu atau pendamping bagi orang-orang besar, berpangkat atau golongan bangsawan.

Biasanya, golongan ini mempunyai pengapit yang dipanggil ajutan, terutama sekali kepada para pegawai tinggi tentera atau polis.

Sekarang ini, pengapit biasa diperlukan khidmatnya dalam majlis perkahwinan; teman rapat yang sentiasa berada di samping dan bersiap sedia membantu pengantin.

Perkataan sastera klasik yang sinonim dengan pengapit ini ialah jejenang. Kata dasar perkataan ini ialah jenang; yang makna asalnya tiang di kiri dan kanan pintu atau tingkap.

Jejenang, kata ganda separa yang juga bermakna pengiring, pembantu dan juga pengurus sesuatu upacara atau majlis.

Apit apabila diimbuh dengan akhiran an, maka terbentuk istilah tatabahasa, apitan; yang merupakan gabungan imbuhan awalan dan akhiran: ke ..an; per…an, men… kan dan yang sebagainya.

Dalam ‘Hikayat Abdullah’, Munshi Abdullah ada menceritakan mengenai salah satu hukuman kepada murid-murid yang mencuri atau memukul kawan-kawannya ialah diidenda dengan apit Cina.

Apit Cina diperbuat daripada rotan sega empat keping yang panjangnya sejengkal, dicucuk hujungnya dan diberi bertali. Jejari kanak-kanak yang dihukum akan dimasukkan ke apit Cina ini.

Jejari mereka ini terkapit, terhimpit, terjepit, tersepit dan tercepit di celah-celah di antara rotan sega yang dijadikan apit Cina itu.

Peribahasa yang menggunakan kosa kata apit: Diapit tidak bersanggit (bersentuh), ditambat tiada bertali; yang bermakna perempuan yang dibiarkan tanpa dicerai (ditalak) dan tidak diberi nafkah oleh suaminya.
Pengepit pula berkata dasar kepit, yang berjenis kata nama; merupakan alat untuk mencantumkan sesuatu seperti kertas atau kain. Ayat contoh: Kain jemuran yang tersidai di ampaian itu dikepit dengan pengepit.

Pengepit kuih makmur, kuih tat, dan epok-epok ialah alatan mengepit bagi membentuk hiasan atau bunga di tepi atau di atas kuih.

Chopstick juga dipanggil alat pengepit makan tradisonal orang China, Jepun, dan Korea; yang disebut penyepit yang diperbuat daripada kayu, buluh atau gading.

Mengepit bermakna membawa sesuatu antara tangan dan rusuk; di bawah ketiak. Ayat contoh: Mahasiswa universiti gemar mengepit buku, fail atau beg ketika hendak menghadiri kuliah.

Mengepit juga boleh dilakukan dengan dua batang jari. Ayat contoh: Murid sekolah itu diajar gurunya cara-cara mengepit pensel dengan jari telunjuk dan jari hantu.

Antara peribahasa yang menggunakan perkataan ini: Mengepit daun kunyit yang bermakna memuji-muji diri sendiri.

Mengepit kepala harimau pula bermakna perbuatan bagi menakut-nakuti orang lain.

Apabila diimbuh dengan awalan ber, kepit menjadi berkepit. Kata kerja ini pula bermakna bergandingan, berpegangan, berpautan tangan atau bahu antara pasangan.

ENDIT.

PERISTIWA BAHASA 31 - Kereta Saya Namanya Tuan!

KERETA
SAYA
NAMANYA
TUAN!


MOHD GANI AHMAD

“Koretana eson namana toan,” ungkapan bahasa Bawean ini beberapa kali diucapkan oleh Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad ketika berpapasan jalan dengan kereta mewah yang dipandu dengan lajunya oleh drebar Melayu.

Terutama sekali jika kereta itu memotong atau memintas kereta beliau di sekitar: Scott, Paterson atau Grange Road. Jalan-jalan inilah yang menjadi lalu-lalang beliau ke pejabat di Kay Siang Road akhir tahun 70-an.

Ungkapan bahasa Bawean ini bermakna, ‘Kereta (kepunyaan) saya, pendaftarannya sahaja namanya tuan’.

Sejak tahun empat puluhan, para pemandu kereta privet atau kereta pakai ini, banyak dikerjakan oleh suku kaum Bawean. Istilah umum drebar digunakan orang berbanding dengan pemandu kereta.

Dalam masa itu, para majikan yang kebanyakannya orang Eropah yang menjadi pengarah dan pengurus syarikat, biasanya disediakan kemudahan: rumah banglo dan motokar oleh syarikatnya.

Para pemandu yang tidak disediakan kuates atau rumah tumpangan pekerja diperbolehkan membawa kereta pulang ke rumah. Kereta ini macam kereta mereka sendiri.

Biasanya, kereta ini dijaga dan dirawat dengan cermat. Pada setiap kesempatan, kereta ini dicuci dan digilap sehinggakan menjadi kilat dan bersih.

Kebiasaan drebar ini menimbulkan ungkapan, “Koretana moncar’ - yang bermakna keretanya berkilat.

Kosa kata drebar ini menjadi perkataan yang paling tinggi kekerapan penggunaannya dan diterima pakai sebagai istilah yang umum.

Mengikut keterangan Dr Muhammad Ariff lagi, seingat beliau, kosa kata drebar telah digunakan sejak tahun 30-an.

Anehnya, R O Winstedt tidak mendaftarkannya dalam Kamus Bahasa Melayu, yang terbit pada tahun 1960. Kosa kata dereba dalam ejaan lamanya ini tercantum dalam Kamus Dewan Edisi Pertama, sejak 1970.

Di Indonesia, kosa kata drebar ini tidak dikenali langsung dan tidak terdaftar dalam mana-mana kamus umum. Mereka menggunakan istilah supir atau sopir sebagai padanan drebar.

Sopir, ambilan daripada bahasa Perancis, chauffeur. Drebar dan sopir ini bererti pemandu kereta yang diberi upah dan bekerja kepada majikan.

Sopir juga digunakan kepada pemandu atau pengendali atau pengayuh beca dan bemo. Bemo, akronim becak bermotor di sesetengah daerah di Indonesia.

Drebar ambilan bahasa Inggeris ‘driver’. Hanyasanya, ‘driver’ dalam bahasa Inggeris umumnya bermakna pemandu motokar.

Dalam bahasa Melayu pula, drebar ini disempitkan makna dan pengertiannya; khusus bagi orang yang bekerja makan gaji sahaja, yang menjadi pemandu kereta kepada majikan.

Pemandu bas dikenali sebagai drebar bas. Begitulah juga, pengemudi teksi dipanggil drebar teksi. Kosa kata drebar ini belum berkembang menjadi mendrebar atau berdrebar.

Kadangkala, kosa kata sais yang seerti dengan drebar digunakan para majikan Inggeris berdasarkan makna dan konsep asalnya: pemandu dan penjaga kereta kuda dalam zaman sebelum motokar banyak digunakan orang.

Kosa kata sais ini ambilan daripada bahasa Arab, namun menurut R O Winstedt pula, ambilan daripada bahasa Hindi. Kosa kata ini yang pada mulanya, bermakna: kusir pedati, pengemudi atau pemandu kereta kuda.

Ayah saya Haji Ahmad Haji Dolnabi, pernah dipanggil dengan istilah ini oleh tuannya yang berbangsa Perancis. Dan dipanggil Ahmadtok sahaja oleh majikannya yang berbangsa Jepun.

ENDIT.

PERISTIWA BAHASA 30 - Celupar Di Arafah Tersasar di Mina

CELUPAR
DI ARAFAH
TERSASAR
DI MINA

MOHD GANI AHMAD

April 1996, kumpulan jemaah bas ke-9 yang tersesat, ketika mencari tempat perkhemahan di Arafah merupakan kumpulan pertama tiba di Mina.

Setelah menyimpan beg di tempat penginapan, pengurus dan pembimbing, Haji Abu Bakar; pegawai kumpulan: Haji Ali dan Haji Yahya, mengajak kami melontar Jamrah Aqaba; yang merupakan antara ibadah wajib haji.

Ketika kami tiba, tidak ada kumpulan lain yang sedang melontar Jamrah.

“…Alhamdulilah, inilah barang kali anugerah Allah swt kepada mereka yang sabar, tersesat dan diperli-perli…” bisik beberapa anggota kumpulan.

Agak selesa dan mudah urusan kami melontar Jamrah Aqaba dengan tujuh butir bebatu kecil, yang kami kutip ketika singgah sebentar di Muzdalifah.

Setelah selesai melontar, kami menjenguk ke bawah. Sudah beribu jemaah dari negara lain yang sedang mendaki bukit menuju ke arah Jamrah Aqaba.

Kedatangan mereka seperti suatu pertempuran akan berlaku. Mereka datang dengan panji-panji pelbagai warna dan corak. Mereka datang bergadingan tangan sambil melaungkan: takbir, tahmid dan tahlil.

Wajah mereka yang serius dan teriakan yang lantang, seakan-akan mereka sedang menurun. Agak menakutkan kami, terutama kepada jemaah wanita warga emas. Ada yang menitiskan air mata, ketakutan.

Setelah bertahallul, menggunting tiga helai rambut kepala, di tempat penginapan yang terletak di tengah Mina. Tempat penginapan kami itu sebenarnya, gudang tepung pada masa di luar musim haji.

Kami pun mandi dan bersalin pakaian; daripada pakaian ihram kepada pakaian biasa. Dua belas larangan telah luput. Yang tinggal tiga lagi tegahan; yang hanya akan luput setelah bertawaf ifadah di Kaaba.

Sebagaimana yang kami janjikan, kali ini kami akan membincangkan kosa kata sasar. Dari sudut etimologi, sasar ini ambilan daripada bahasa Arab, sarsyar yang makna asalnya bingung.

Makna sasar dalam bahasa Melayu meluas atau mengembang daripada bingung sahaja ditambah menjadi sasau atau setengah gila.

Setelah menerima awalan ter menjadi tersasar; yang berjenis kata kerja. Maknanya: menyimpang daripada tujuan asal atau matlamat yang sebenar, hilang panduan atau pedoman. Pelajari penggunaannya dalam wacana:

Jam 11 pagi, sedang kami santap nasi beriani daging kambing korban yang segar, rasanya lazat sungguh. Hidangan istimewa Hari Raya Korban.

Tiba-tiba sekumpulan jemaah perempuan seramai enam orang menangis mengongoi apabila ditanyai mengapa mereka tidak mandi dan bersalin pakaian untuk menyambut Aidiladha.

“Macam mana kami nak berhari raya, Jamrah Aqaba pun kami tak nampak dan tak jumpa. Kami tersasar jauh, entah ke mana…” rungut hiba mereka.

“Barangkali, inilah balasan Allah swt terhadap orang yang menertawakan kami semalam kerana tersesat. Sekarang mereka pula tersasar,” bisik beberapa jemaah wanita yang tersesat di Arafah semalam.

Menyasarkan yang menerima apitan meN dan kan, merupakan kata kerja yang bermakna: membidik, menghala, mencita, mengimpikan, mengharapkan dan menuju. Pelajari ayat-ayat contoh yang berikut:

Kontinjen Singapura menyasarkan sekurang-kurangnya dapat meraih tiga pingat emas dalam pertandingan silat antara bangsa itu.

Sasar menerima akhiran an menjadi kata nama, sasaran.

“… Sasaran kami tahun ini untuk mengumpulkan sejuta dolar telah tercapai…,” antara kenyataan Encik Anuar Haji Yusof, Pengerusi, Tabung Amal Aidilfitri 2008, yang tersiar di televisyen.

Sasar apabila menjadi kata majmuk, padang sasar, bermakna tempat: menembak, memanah, bersilat dan sebagainya.

Mereka berlatih menembak dan memanah di padang sasar yang telah ditetapkan oleh jawatankuasa penganjur pertandingan.

ENDIT.

PERISTIWA BHASA 29 - Tanah Tinggi Merupakan Pasak Bumi

TANAH
TINGGI
MERUPAKAN
PASAK BUMI


MOHD GANI AHMAD

Ketika menonton rakaman Pertandingan Kuiz Cepat Tepat yang ditayangkan di SURIA sejak awal Mac 2009, saya tertarik dengan gelagat peserta memperkenalkan diri dan kumpulan mereka.

Antaranya, terdapat dua kumpulan yang menggunakan nama bukit iaitu Bukit Timah dan Bukit View. Sekolah Rendah Bukit Timah ketika memperkenal diri, mereka menyebut kosa kata mambang.

Kosa kata mambang, insya-Allah, akan kami bincangkan dalam esei yang akan datang. Kali ini kami akan membincangkan perkataan bukit.

Bukit adalah tanah tinggi yang lebih rendah daripada gunung. Tingginya kira-kira 500 meter dari paras laut dan lebih tinggi daripada busut.

Tanah tinggi merupakan pasak bumi yang terpancang ke dalam perut bumi; berfungsi bagi mengukuh dan memantapkan keadaan tanah. Begitulah tafsiran yang terdapat dalam beberapa potong ayat suci al-Quran.

Dalam bahasa Arab tanah tinggi ini disebut thur dan jabal, banyak kali disebut dalam al-Quran. Ini memperlihatkan fungsi tanah tinggi ini sangat penting dalam kemantapan tanah di sekitarnya.

Dengan mengubah keadaan dan struktur tanah tinggi ini seperti meratakan atau menarah sesetengah bahagian tanah tinggi tanpa perancangan yang sewajarnya akan mengakibatkan kejadian runtuhan atau gelungsuran tanah.

Musibah tanah runtuh ini pernah terjadi di beberapa negara dan telah mengakibatkan korban jiwa manusia dan harta benda yang bukan sedikit.

Jika kita merujuk peta Asia Tenggara, akan terdapat bahawa Pulau Sumatera terbahagi antara timur dan barat oleh banjaran Bukit Barisan dan Semenanjung Tanah Melayu pula oleh Banjaran Titiwangsa.

Begitu juga dengan Singapura terbahagi antara timur dan barat oleh beberapa bukit dari utara ke selatan: Bukit Panjang, Bukit Timah, Bukit Batok, Bukit Gombak, Bukit Merah dan sebagainya.

Bukit Panjang pada masa lampau merupakan kawasan yang sunyi sepi. Kini menjadi estet perumahan yang didiami sekitar lebih 100 ribu penduduk.

Di estet ini terdapat stesen MRT dan pelbagai kemudahan awam. Bentuk tanah tingginya memanjang ke selatan dan bertemu dengan Bukit Timah.

Bukit Timah merupakan kawasan hutan simpan yang tertua dan terbesar di negara kita. Kawasan ini telah mula dibuka sebaik-baik sahaja kedatangan Inggeris pada pertengahan kurun ke-19.

Bukit Batok, ada dua versi cerita mengenai perkataan batuk ini. Batuk dikatakan berasal daripada bahasa Jawa yang bermakna kelapa. Dikatakan di bukit ini terdapat banyak pokok kelapa.

Cerita yang satu lagi menyatakan batuk itu berasal daripada perkataan batu; yang merupakan asas bukit ini. Di sini juga terdapat trek laluan dan Guilin Kecil, yang menjadi daya tarikan para pelawat.

Bukit Merah dinamakan begitu kerana warna tanahnya yang kemerah-merahan. Kerana projek pembangunan, bukit ini telah diratakan dan sirna.

Sebuah cereka telah dicipta oleh seorang penulis yang mengaitkan kawasan ini dengan legenda Singapura dilanggar kerajaan Majapahit.

Antara peribahasa yang menggunakan kosa kata bukit:

Bukit jadi paya, paya jadi bukit - yang bermakna orang kaya menjadi miskin dan orang miskin pula menjadi kaya.

Bukitlah tinggi, lurahlah dalam – bermakna seseorang yang telah tua dan tidak dapat lagi bergerak ke sana ke sini dengan bebasnya.

Bukit di balik pendakian - yang bermakna lepas daripada satu kesusahan menghadapi satu lagi kesukaran.
Lirik lagu atau pantun klasik bukit.

ENDIT.

PERISTIWA BAHASA 28 - Sumbang Saran dan Sumnbangseh

SUMBANG
SARAN
DAN
SUMBANGSIH…


MOHD GANI AHMAD

Setelah mendengar lagu Sumbangsih nyanyian R Ismail, saya pun menellti nama pencipta lagu ini di kulit album. Tercatat lagu ini dicipta oleh Tan Sri Dr P Ramlee. Sejauh pengetahuan saya, P Ramlee bukan pencipta lagu ini.

Merujuk buku ‘Senandung Seniman Agung’, 1990. Zakiah Hanum, Berita Publishing House, Kuala Lumpur. Buku ini mengandungi 208 lagu dari tahun 1946 hingga 1973. Tidak tercatat nama lagu Sumbangsih ini.

Begitu juga dalam buku P. Ramlee ‘The Bright Star’, tulisan James Harding dan Ahmad Sarji, 2002, Pelanduk Publishing Sdn Bhd Selangor, yang tersenarai 356 judul lagu ciptaan P Ramlee.

Kalau tidak silap saya, lagu ini dicipta oleh Zainal S Abbas. Catatan di kulit album ‘Elfee Ismail - Berakhir Satu Penantian’, terbitan Seri Mahligai, 2007, membuktikan ingatan saya itu benar. Dan kenyataan ini disahkan pula oleh Encik Azrin Abdullah, penerbit album ini.

Mengikut Allahyarham Pak Zainal sendiri ketika saya mengunjunginya pada akhir 60-an, beliau pernah menyatakan:

“Ramai orang salah faham apabila menafsir lagu ini. Mereka menyatakan bahawa tema lagu ini berkisar kepada percintaan antara teruna dan dara.

Sebenarnya lagu ini, saya cipta ilham kesan perpisahan antara Malaysia dengan Singapura; yang menyentuh naluri dan mengguris hati saya serta sangat bersejarah bagi mencorakkan kehidupan masa depan kita.”

Kalau tidak silap saya, lagu ini pernah dinyanyikan oleh M Bakri dan menjadi lagu latar drama yang berjudul Sumbangsih yang dipentaskan di Panggung Victoria pada 70-an.

Sila hayati dan nikmati dua rangkap lirik lagu ini:




Kini semua hancur dan musnah
Niat bercantum badan berpisah
Kembang mawar kuberi padamu
Lambang kita pasti bersatu

Oh sumbangsih hati ke hati
Nada rindu rukun sejati
Kami insan rindu percantuman
Kami rindukan keadilan…

Apa yang akan saya bincangkan kali ini ialah kosa kata sumbang dan juga sumbangsih; yang menjadi judul lagu ini. Dalam bahasa Melayu sumbang bermakna sesuatu perbuatan yang bertentangan dengan adat kebiasaan, peradaban masyarakat dan menyalahi hukum agama.

Umpamanya, sumbang mahram, perhubungan seks antara anggota keluarga yang diharamkan bernikah seperti antara: ayah dengan anak, abang dengan adik perempuannya dan yang seumpamanya.

Dalam persilatan, ada frasa langkah sumbang; langkah yang kurang betul atau tepat. Sumbang juga boleh bermakna janggal, contohnya suaranya sumbang. Ertinya suaranya tidak sesuai dengan nada muzik.

Kosa kata sumbang dan sumbangsih yang diambil daripada dialek Jawa pula, bermakna bantuan atau sokongan secara material dan tenaga. Perkataan ini mula laris dan umum digunakan di sini sejak 60-an.

Kosa kata ini banyak digunakan dalam majlis perkahwinan masyarakat kita dengan menyumbangkan sumbangan: beras, telur, daging dan yang sebagainya. Sekarang ini, seperti sudah teradat pula, banyak sumbangan yang berunsurkan: tenaga dan kewangan sahaja.

Mulai 70-an kosa kata ini menjadi istilah laras pendidikan, sumbang saran. Kata majmuk ini bererti memberikan buah fikiran atau pendapat dalam majlis perbincangan.

Pelajari ayat contoh yang menggunakan kekata dasar sumbang ini:
Sumbangan masyarakat kampung dalam bentuk tenaga dan kewangan telah menjayakan majlis mempereratkan kembali hubungan antara mereka yang selama ini sering bermusuhan.
Langkah sumbang Ramlee dapat diperbetul oleh Pendekar Mustar.
Akhirnya, sumbang saran peserta kursus telah dijadikan garis panduan mengajarkan bahasa para guru di bilik-bilik darjah.

ENDIT.

PERISTIWA BAHASA 27 - Kerja Pusing Kipas Kapal Terbang

KERJA PUSING
KIPAS KAPAL TERBANG


MOHD GANI AHMAD

Di Pusat Makanan Haig Road, hari Khamis lalu, sedang kami makan tengah hari, tiba-tiba dua orang perempuan duduk di samping kami lalu memesan: “… beri kami soto babat satu dan satu soto ayam.”

Di Lau Pa Sat, jam lapan malam, saya dan isteri dijamu oleh anak kami, Sri Amilia, yang baru tiba dari Shanghai dengan hidangan sate ayam, kambing dan babat.

Perbincangan kali ini akan menjurus kepada kosa kata babat; yang saya dengar disebut-sebut beberapa kali dalam sehari.

Kosa kata babat dikategorkan sebagai kata pelbagai makna atau polisemi. Sekurang-kurangnya ada empat makna babat ini.

Makna pertama, babat yang berjenis kata nama ini ialah pundi-pundi dalam perut kambing, kerbau dan lembu, tempat menyimpan makanan; yang boleh dijadikan bahan masakan seperti soto, sate dan lauk-pauk setelah dibersihkan.

Makna kedua, daripada babat atau membabat, yang berjenis kata kerja pula lahirlah alat menebas rumput atau memangkas ranting pokok yang dinamakan babat.

Menurut cerita Encik Rahmat Said, tukang gunting rambut, yang pada masa remajanya sering membantu pakciknya menjadi tukang kebun di Kings Road dan di sekitarnya:

“…pada tahun 50-an, pakcik saya sering membuat babat. Mata pisaunya daripada topi besi peninggalan askar British yang mudah didapati setelah tamat perang dunia kedua…

Besi topi ini kuat, tahan lama dan sangat tajam apabila diasah. Gagang atau pemegangnya pula diperbuat daripada kayu pokok tembesu atau jambu batu yang mudah dilentuk dan lentik.

Fungsi babat ini hampir serupa dengan sabit. Ada pelbagai bentuk, ukuran dan kegunaan khusus babat-babat ini.

Bentuk yang berbatang pendek khusus untuk menebas dan menarah rumput rampai di pinggir parit atau bukit.

Babat yang bergagang panjang pula dikhaskan bagi menyabit rumput dan lalang dengan menghayun serta memusingkan tangan seperti kipas.”

Oleh sebab itulah, tukang-tukang kebun yang masih muda apabila ditanya mengenai pekerjaan mereka, mereka akan bercanda:

“…Ala kerja main-main, kerja sambilan untuk mencari duit tambahan, pusing kipas kapal terbang atau helikopter!”

Babat makna ketiganya, taraf, tara atau pasangan yang seimbang; maksudnya sekupu dari segi kedudukan, pendidikan, umur dan jantina. Perhatikan penggunaannya dalam ayat contoh:

Pasangan pengantin itu sebabat benar jika dilihat dari segi: wajah, umur, kedudukan dan kelulusannya.

Makna keempat, babat merupakan kain yang digunakan untuk membalut luka. Kadang-kadang mengikut dialek tempatan sebutannya menjadi bebat.

Di sesetengah daerah di Nusantara, ada juga yang mengertikan sebagai barut, kain pengikat di bahagian dada dan perut bayi.

Babad, dari segi penyebutan, kedengarannya hampir sama dengan babat. Namun badad yang satu ini, ialah istilah sastera klasik. Sejenis lelakon yang bercirikan sejarah atau riwayat dalam bahasa Jawa, Sunda dan Bali.

Daripada bentuk babat yang berlapis-lapis, berlipat dan berketak-ketak itu lahirlah metafora babat.

Metafora ini menggambarkan keadaan seseorang yang bertubuh gemuk dan mempunyai lebihan daging yang berlapis atau berlipat terutama di bahagian perutnya

ENDIT.

PERISTIWA BAHASA 26 - Antara Pulau dengan Kena Pulau

ANTARA
PULAU
DENGAN
KENA PULAU


MOHD GANI AHMAD

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
budi yang baik dikenang juga.

Begitulah pantun yang bertemakan budi yang menjadi lirik lagu, Trek tek tek, dendangan peserta ‘Kursus Meningkatkan Penguasaan Kosa Kata’, bulan Mei lalu di Nanyang Drive pada hari terakhir kursus.

Mendengar sampiran ‘Pulau Pandan jauh ke tengah’ ini, terbetik pertanyaan dalam minda saya. Wujudkah pulau ini di dunia?

Setelah membelek-belek peta Singapura tahun 1911, kalau tidak silap saya, ada nama Pulau Pandan. Pulau ini terletak di Selat Pandan.

Mungkin pulau ini hanya merupakan terumbu karang yang kemudiannya sirna daripada peta. Di barat Singapura, masih wujud nama yang menggunakan kosa kata pandan: sungai, kolam air, Sungai Ulu Pandan, Sekolah Rendah, Pandan Road, jambatan, jejambat dan Pandan Garden.

Dulu, di hulu Sungai Singapura, ada Pulau Saigon, di sekitar Havelock Road, yang kini lenyap akibat penambakan tanah dan projek pembangunan di daerah itu.

Begitulah juga keadaannya dengan beberapa pulau yang terletak di Selat Sembilan (sekarang Selat Jurong): Pulau Merlimau dan Pulau Seraya lesap hasil penambakan; yang disatukan menjadi Pulau Jurong.

Tanjung Pandan pula terdapat di Pulau Belitung di selatan Sumatera. Pulau Pandan baru-baru ini terdapat di Filipina sebagai pusat pelancongan. Namun pulau ini tak ada kena-mengena dengan pantun ini.

Gunung Daik pula, ada di Pulau Lingga. Menurut Tengku Zaid Y, anak kelahiran kepulauan ini: “…memang dulu, gunung ini bercabang tiga. Mungkin akibat hakisan, yang nampak sekarang ini tinggal dua sahaja.”

Apa yang akan kami bincangkan kali ini ialah kosa kata pulau. Pulau boleh dikategorikan berjenis: kata nama dan boleh juga sebagai kata kerja.

Penjenisan kata ini bergantung kepada penggunaannya dalam ayat. Pelajari ayat-ayat contoh yang berikut:
Pulau Sentosa menjadi pusat peranginan dan pelancongan yang terkenal di Singapura. Pulau dalam ayat ini berjenis kata nama.
“Jangan pulau anak yatim itu, kasihanilah dia!” kata Tok Mat kepada cucu-cucunya. Pulau dalam ayat contoh ini pula berjenis kata kerja.

Pulau boleh digolongkan kepada kata homonim. Makna pertamanya ialah daratan yang dikelilingi air seperti laut, tasik dan danau. Makna pertama ini merupakan istilah geografi.

Antara pulau yang terbesar di dunia ialah Australia. Kadangkala Australia ini dipanggil juga dengan istilah benua kerana saiznya yang besar.
Dulu, Australia pernah menjadi tempat pengasingan orang yang dituduh penjenayah di England.

Pulau juga bermakna: dipinggirkan, diketepikan, diasingkan, diabaikan, disisihkan dan tidak diturutsertakan.

Pulau, makna pertama dan makna kedua itu nampaknya masih ada perhubungannya. Dan kerana itulah digolongkan di bawah kategori homonim; kata pelbagai makna yang ada pertaliannya.

Pulau yang pertama diasingkan oleh keadaan alam semula jadi - air. Dan pulau, makna yang kedua pula terasing oleh tindakan makhluk.

Antara pulau tempat mengasingkan penjenayah atau pengidap penyakit menular: dulu di Singapura, ada Pulau Senang dan Pulau Sekijang, di Indonesia, ada Pulau Buru dan di Malaysia pula, ada Pulau Jer(e)jak. Nepoleon Bonaparte, mantan maharaja Itali, yang digulingkan juga pernah disisihkan di Pulau Corsica.

Antara peribahasa Melayu yang menggunakan kosa kata pulau:
Belayar menentang atau mengadang pulau - yang bermakna sesuatu pekerjaan itu harus ada matlamat atau tujuannya.
Belayar sampai ke pulau, berjalan sampai ke batas - yang bermakna segala usaha hendaklah dilaksanakan sehingga tercapai maksudnya.

ENDIT.

PERISTIWA BAHASA 25 - Pingat atau Piala Pusingan

PINGAT
atau
PIALA
PUSINGAN?

MOHD GANI AHMAD

“Pingat pusingan ini akan dipertandingkan lagi pada tahun depan…” Begitulah antara lain penerangan pegawai, Pertandingan Eja Tepat peringkat akhir antara sekolah rendah di Perpustakaan Tampines Julai lalu.

Itulah kali pertama, saya mendengar, kata majmuk pingat pusingan digunakan orang. Biasanya, kita menggunakan piala pusingan.
Mungkinkah, pada masa depan akan ada pingat pusingan ini?

Marilah kita bersembang mengenai kosa kata pingat dan piala bagi menentukan; yang mana satu, yang lebih sesuai dan benar.

Piala ambilan daripada bahasa Parsi ini, bermakna cangkir berkaki satu. Bekas ini biasanya diperbuat daripada perak, gangsa atau perunggu.

Pada mulanya, piala digunakan sebagai bekas minuman. Pada masa ini, piala perak dijadikan hadiah pemenang sesuatu pertandingan.

Piala tidak lagi terbatas kepada bentuk cangkir atau mangkuk seperti makna dan bentuk asalnya. Ada piala yang berbentuk pinggan atau dulang.
Contoh mudahnya, Piala Tenis Wimbledon, England.

Piala yang berbentuk tradisional mangkuk atau cangkir masih wujud: Piala Thomas, Piala Emas Raja-raja, Piala Malaysia dan yang sebagainya.

Biasanya, piala dihadiahkan ke tangan pemenang pertandingan: sukan, bahas, syarahan dan yang sebagainya. Pada piala pusingan dicatatkan tahun dan nama pemenangnya.

Pingat pula bermakna bintang dan yang biasanya dianugerahkan kerajaan atau institusi tertentu kepada individu atau kumpulan yang telah berkhidmat atau berjasa.

Di negara kita, nama-nama pingat yang dianugerahkan kepada individu: Pingat Bakti Masyarakat, Pingat Bakti Setia, Pingat Jasa Cemerlang, Pingat Budaya dan yang sebagainya.

Di Indonesia, kosa kata pingat ini tidak: dikenali, digunakan dan menjadi entri, dalam kamus-kamus yang baku.

Mereka lebih mesra dengan perkataan medali. Kosa kata ini ambilan daripada bahasa Belanda, medaille, yang bermakna tanda jasa. Kosa kata ini dipercayai ambilan daripada bahasa Latin, medalia.

Pingat padanan perkataan medal; piala pula dengan cup, trophy, plaque atau shield dalam bahasa Inggeris. Kini, menjadi semacam tradisi memberikan piala dan pingat kepada pemenang pertandingan sukan.

Dalam Sukan Olimpik di Beijing, 2008 anugerah yang diberikan kepada para pemenang semuanya masih berupa pingat. Tidak ada piala diberikan kepada pemenang kumpulan atau perseorangan.

Pingat biasanya, dikalungkan di leher kepada ahli sukan. Kepada orang yang berjasa atau berbakti pula. pingat akan disematkan di baju penerimanya.

Dalam kesusasteran Melayu klasik, tidak terdapat penggunaan kosa kata pingat dan piala ini.

Pada zaman keagungan sistem beraja di Nusantara, raja-raja biasanya mengaugerahkan: persalinan pakaian, keris, pangkat atau gelar, tanah, emas dan harta kepada orang yang berbakti kepada raja.

Kesimpulan perbincangan kita, sejauh ini belum ada pingat pusingan; yang ada ialah piala atau trofi pusingan: Piala Dunia, Piala Eropah, Piala Thomas, Piala Wimbledon dan yang seumpamanya.

Begitulah kira-kira.

ENDIT.

PERISTIWA BAHASA 24 - Persolan Kosa Kata Bagai

PERSOALAN
KOSA KATA
BAGAI…



MOHD GANI AHMAD

Ketika berlangsung ‘Kursus Tatabahasa dan Pengajarannya’, pada minggu ketiga bulan November, Syamira, peserta yang aktif dan rajin merujuk kamus, menimbulkan pertanyaan mengenai jenis kosa kata berbagai dan sebagai.

Saya tidak sempat memberikan penjelasan secara spontan dan terperinci, pertama kerana masa tidak mengizinkan. Lebih-lebih lagi, sejak akhir-akhir ini, saya sering mengalami sindrom: ingat-ingat lupa.

Sebenarnya, kosa kata ini berasal daripada kata dasar bagai yang berjenis kata sendi dan dianggap kosa kata bahasa Melayu klasik.

Kosa kata ini dipercayai oleh ahli bahasa, bidang etimologi, merupakan kata ambilan daripada Bahasa Tamil, vagai yang bermakna ibarat.

Dari sudut morfologi atau pembentukan kata, daripada kata dasar bagai ini lahirlah kekata: Bagai menerima imbuhan awalan se menjadi sebagai, yang masih kekal berjenis kata sendi.

Menjadi berbagai apabila menerima imbuhan awalan ber dan kemudian digandakan separa menjadi berbagai-bagai. Kedua-dua kekata ini menjadi kata kerja.

Bagai juga boleh diimbuh dengan peR menjadi pelbagai. Perkataan ini pula berubah jenis menjadi kata adjektif.

Pelbagai apabila diimbuh dengan apitan majmuk mempeR…kan seperti dalam kekata mempelbagaikan akan menghasilkan kata kerja.

Dan pelbagai pula akan menjadi kata nama jika diimbuh dengan apitan ke dan an seperti dalam perkataan kepelbagaian.

Perbezaan makna dan penggunaan antara berbagai dan berbagai-bagai, pelajari dan fahami dua potong ayat contoh berikut:

Sungguh cantik wajah Puteri Gunung Ledang itu, tiada berbagai lagi kecantikannya pada zaman itu.
Mereka membeli berbagai-bagai barang bagi persiapan menyambut Hari Raya Haji.

Berbagai dalam ayat pertama bermaksud berbanding, seumpamanya atau taranya. Berbagai-bagai dalam ayat berikutnya pula bermakna bermacam-macam atau pelbagai jenis.

Kosa kata, bagai yang kemudiannya berkembang menjadi akronim begitu, hasil gabungan kekata bagai itu; yang bermakna macam itu. Bagai ini pula diakronimkan menjadi begini; yang bermakna macam ini atau seperti ini.

Sebagaimana yang saya nyatakan pada awal esei ini bahawa kosa kata bagai ini merupakan kosa kata klasik. Buktinya, banyak peribahasa Melayu yang menggunakan perkataan bagai, antara contohnya:

Bagai bulan jatuh ke riba (ribaan) yang bermakna mendapat keuntungan yang lumayan atau besar dari segi material atau kebendaan. Mendapat kejayaan, kemuliaan, dan pangkat dari segi kedudukan.

Bagai anak ayam kehilangan ibu yang bermakna anggota sesebuah syarikat atau pertubuhan yang kehilangan ketua yang berwibawa, tempat mereka mengadukan masalah dan mendapatkan bimbingan.

Atau makna keduanya, anak-anak yang kehilangan orang tua tempat
mereka bergantung hidup dan menumpahkan kasih sayang.

Sila hayati bahasa berirama yang dipetik daripada ‘Hikayat Malim Dewa’ yang merupakan karya sastera zaman peralihan Hindu Islam. Ini juga bukti nyata bahawa kosa kata ini telah digunakan sejak lama dahulu.

Bahasa berirama ini mengandungi peribahasa yang memperlihatkan betapa lajunya bahtera kenaikan keluarga di raja pada zaman bahari.

‘… sauh pun dibongkar, layar pun terkembang, maka lancang itu pun belayar:
Bagai pucuk dilancarkan,
Bagai kumbang putus tali…’

ENDIT.

PERISTIWA BAHASA 23 - Pemimpin Yang Kecundang?

PEMIMPIN
YANG
KECUNDANG?



MOHD GANI AHMAD

Hari Sabtu yang lalu, kami bersembang sambil minum petang dengan beberapa orang sahabat lama di kafe yang terletak di simpang Geylang Road dengan Joo Chiat Road.

Teman sasterawan yang bermulut celupar atau leser mengikut istilah anak muda kini; memperli sahabatnya yang sudah agak lama tidak ditemuinya dengan usikan:

‘Engkau ini, sebenarnya merupakan pemimpin yang kecundang, tau Mat?’

Usikan ini membakar perasaan temannya yang dipanggil pemimpin kecundang. Perkataan kecundang ini dilafazkannya berulang kali.

“Tengoklah kawan kita ini, kalau dia mengatakan hal ini sesama kita, tak mengapalah. Aku tak kisah dan tak marah.

Tetapi, yang aku rasa kurang senang apabila dia memperkenalkan aku dengan sesiapa saja yang ditemuinya; termasuklah anak-anak muda, yang tak aku kenali,” begitulah rungutan Haji Rahmat.

“Kosa kata kecundang ini, baik anda bicarakan dalam peristiwa bahasa,” saran Haji Selamat yang mendengar sungutan yang berulang-ulang teman kita itu kepada saya.

Kekerapan penggunaan kosa kata kecundang ini di kalangan pengguna bahasa agak rendah dan jarang dituturkan orang.

Kecundang berkata dasar cundang, yang merupakan kata ambilan daripada bahasa Kawi atau Jawa Kuna, cundhang, yang bermakna alah atau kalah.

Anehnya, apabila diimbuh dengan awalan meN perkataan ini menjadi mencundang; maknanya menjadi menawan terutama sekali perempuan, dan juga binatang buas dengan hikmat; kundang - dengan hipnosis.

Dan ada sesetengah pihak yang memaknakan kundang atau meng(k)undang - memantera dengan doa tertentu pada gambar atau nama seseorang supaya jatuh suka atau cinta kepada yang meng(k)undangnya.

Antara mantera meng(k)undang yang pernah dibisikkan kepada saya oleh seorang bomoh terkenal di pekan Rawang pada tahun 60-an:
…Hai panah ranjuna,
aku panah gunung, gunung runtuh,
aku panah mata hari, mata hari tembus,
aku panah batu, batu hancur,
bukan aku yang panah,
Syed Sidi pengajaran guru…

Kundang ini juga nama sejenis pokok yang berbuah bulat sebesar guli. Sesetengah orang menjadikan buah kundang ini ulam.

Dalam bahasa Minang pula, selain bermakna menawan binatang buas, mencundang juga bermaksud menghasut atau mengapi-apikan orang supaya menjadi marah.

Kini, dalam kamus umum yang baku, kosa kata kecundang yang berjenis kata adjektif ini dimaknakan sebagai: alah, kalah, tewas, keciwa atau gagal dalam pertempuran, perjuangan dan perlawanan.

Pelajari dan fahami wacana contoh yang berikut:
Para pemimpin politik yang menggagaskan konsep Mappilindo menerima kegagalan. Mereka berasa kecundang dan terpaksa menerima hakikat yang sebenar bahawa gagasan mereka itu sudah ketinggalan zaman.

Selain makna yang dibicarakan lebih awal, dalam bahasa Indonesia, kosa kata cundang atau mencundang ini dimaknakan juga menipu; pecundang bermakna penipu.

Jadi, kalau kita menggunakan makna mencundang dalam bahasa Minangkabau, usikan teman sasterawan ini mungkin boleh dikatakan sebagai menghasut.

Dengan memburuk-burukkan imej dan kewibawaan temannya yang dipanggil pemimpin kecundang itu, sebenarnya mereka berdua ini bersahabat dan bermusuhan dalam satu masa yang serentak. Pertalian dua sahabat ini agak lucu dan menganehkan!

ENDIT.

PERISTIWA BAHASA 22 - Mambang Itu Hantu?

MAMBANG
ITU
HANTU?


MOHD GANI AHMAD

“Kami, mambang berasal dari Sekolah Rendah Bukit Timah!” Sekolah ini berjaya ke peringkat akhir dalam pertandingan kuiz yang julung-julung kali diadakan di televisyen.

Pengenalan kumpulan peserta yang disampaikan dengan penuh yakin dan lucu ini telah menimbulkan keriuhan, sorakan dan menggamatkan suasana Kuiz Cepat Tepat antara sekolah rendah pada minggu yang lalu.

Mereka terhibur akan gelagat para peserta. Mereka mungkin teringat akan lakonan dan gelagat lucu seniman-seniman: P Ramlee, S Shamsudin dan Aziz Satar.

Para pelajar ini mungkin tidak begitu memahami makna sebenar kosa kata mambang. Mereka mungkin hanya terpengaruh oleh dialog yang digunakan para pelakon filem tahun 1959.

Kosa kata mambang ini digunakan secara bercanda oleh P Ramlee dan kawan-kawannya dalam filem Pendekar Bujang Lapuk. Dan mulai saat itu, kosa kata ini sering diucapkan dan melekat di bibir golongan muda mudi. Dan dapat pula mempengaruhi generasi yang tidak sezaman dengannya.

Peristiwa dan penggunaan mambang ini terjadi pada masa Ramlee, Sudin, dan Aziz, tiga bujang lapuk, belajar ilmu persilatan kepada Pendekar Mustar.

Pelajari dan fahami dialog yang dipetik dari filem klasik Pendekar Buang Lapok: “Sebelum mula belajar silat, marilah kita baca isim-isimnya dulu…
Hai mambang tanah, mambang air, mambang api, mambang angin. Mambang berasal dari gunung si mambang berdampinglah denganku, wahai si mambang. Hanya itulah pesanku, si mambang… “

Pada tahun enam puluhan, kosa kata mambang ini diertikan sebagai teman kesayangan; yang menggantikan simpulan bahasa, mata air atau buah hati pada masa sebelumnya.


Kemudian, dalam tahun 60-an, ungkapan bahasa lisan cewek untuk perempuan dan cowok bagi lelaki muda, teman tersayang, bagi menggantikan pacar, mata air, buah hati dan mambang.

Kedua-dua cewek dan cowok ini diimport daripada filem Indonesia yang mula tersebar penayangannya di pawagam dan televisyen dengan meluasnya setelah tamatnya konfrantasi politik di rantau ini.

Kosa kata mambang ini dipercayai ambilan daripada bahasa Kawi atau Jawa Kuna yang makna asalnya: orang atau makhluk halus atau dewa.

Kalau kita meneliti makna sebenarnya akan kosa kata mambang ini yang terdaftar dalam kamus-kamus umum. Kita dapati ada empat maknanya:

Pertama, mambang ertinya pelbagai jenis hantu atau makhluk halus yang mengambang tatkala matahari turun masuk di barat; yang dipercayai tugasnya membinasakan manusia.

Makna keduanya, jenis warna: mambang kuning, mambang petang - warna kemerah-merah pada waktu petang.

Makna ketiga, sejenis ikan laut iaitu ikan bambang atau nama saintifiknya, lutianus sanguineus.

Dan makna keempat, iaitu makna kiasan, lahir setelah tahun 60-an, perempuan muda yang belum bersuami, anak gadis, yang menjadi buah hati atau kekasih seseorang. Kadangkala disebut juga membang.

Kosa kata mambang ini berjenis kata nama am dan tidak produktif sifatnya dari sudut morfologi atau pembentukan perkataan.

Pada pendapat saya, makna: pertama, gurauan atau bercandalah yang diertikan oleh para peserta Kuiz Cepat Tepat itu; kerana makna itulah yang popular dan yang tinggi kekerapan penggunaannya di kalangan anggota masyarakat umum.

ENDIT.

PERISTIWA BAHASA 21 - Tak Mahu Dijadikan Idola

TAK MAHU
DIJADIKAN
IDOLA

MOHD GANI AHMAD

Tiba-tiba sahaja, pada suatu pagi, Hajah Amlah Osman, isteri saya,
menimbulkan persoalan mengenai komentar pemain sinetron Indonesia
yang terkenal.

Dalam wawancara yang ditayangkan di televisyen negara jiran, pelakon
tersebut menyatakan, “… saya, suami dan anak-anaknya tidak mahu
dijadikan idola…”

Alasannya, perkataan idola itu asalnya ada unsur pemujaan dan
penyembahan kepada dewa-dewa dan patung-patung. Hal ini bertentangan
dengan akidahnya sebagai seorang muslimat.

Alasan beliau itu memang ada kebenarannya. Dari sudut etimologi memang
kosa kata idola ini diambil daripada bahasa Inggeris idol.

Dan bahasa Inggeris pula mengambilnya daripada bahasa Greek eidolon.
Makna asal perkataan ini ialah imej atau simbol ketuhanan yang digunakan
sebagai objek penyembahan atau pemujaan bagi mencurahkan rasa: cinta,
hormat dan penyerahan diri.

Kemudian, dalam satu kenyataan beberapa minggu yang lalu, mantan Mufti,
Negeri Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin juga tidak mahu dijadikan idola.
Beliau juga tidak mahu fotonya dijadikan hiasan kulit kaset yang akan
terbitkannya.

Memang dalam kuliah-kuliah subuhnya, ‘Bicara Mufti’, yang tersiar di
televisyen, beliau sering menasihati para penonton supaya tidak memuja-
muja: guru, ustaz atau tokoh tertentu berlebih-lebihan.

Yang harus dipuja, dipuji dan diingati ketika berdiri, duduk, dan berbaring
ialah Allah Swt. Begitu juga, dengan Nabi Muhammad Saw, rasul pilihan-
Nya yang maksum dan dijamin tidak berdosa oleh Allah Swt.

Manusia yang lain walau bagaimana pun hebatnya, tentu ada kekurangan.
Kelemahan mereka ini terlindung, terhapus atau tidak kelihatan apabila
diidolakan atau didewa-dewakan keterlaluan.

Kedua-dua kenyataan ini bertentangan dengan norma kehidupan manusia
umumnya masa kini, yang terlalu mengejar gelaran idola. Terutama sekali,
mungkin setelah terpengaruh oleh rancangan televisyen American Idol.

Rancangan ini menjadi pujaan jutaan manusia di seluruh dunia. Bermula
dari Amerika Syarikat kemudian tersebar meluas ke seluruh dunia
termasuk Malaysia, Indonesia, dan Singapura.

Masing-masing negara mengadakan perebutan dan pemilihan idola
mereka melalui nyanyian dan muzik.

Di Singapura telah ada dua idola, iaitu Taufik Batista dan Hardi Mirza. Hardi
Mirza juga telah dipilih sebagai Idola Asia. Kita bukan tidak boleh menyukai
kedua-dua idola ini hanya jangan keterlaluan sehingga mendewa-dewakan
mereka.

Kosa kata idola ini sebenarnya baru tercatat dalam Kamus Dewan, Edisi ke-
4, tahun 2005. Sebelum itu, kamus-kamus berwibawa yang lain masih
belum mengentrikan kosa kata idola ini.

Satu lagi kosa kata yang hampir serupa dengan idola ini ialah diva. Diva
ambilan daripada bahasa Latin divus atau divo dalam bahasa Itali, yang
juga bermakna ‘goddess’ - objek pemujaan atau penyembahan .

Kini, diva ini ditakrifkan sebagai penyanyi atau pelakon opera perempuan
yang terkenal atau termasyhur kerana kecantikan, keterampilan dan
pengaruhnya kepada orang ramai khususnya para peminatnya.

Sehinggakan pada suatu ketik, ada beberapa penyanyi kita yang berasa
tersinggung kerana tidak dikategorikan sebagai diva. Begitulah kesan idola
dan diva ini kepada anggota masyarakat kita.

Kesimpulan tulisan ini, usah atau janganlah menggunakan istilah atau
kosa-kosa kata yang kita kurang pasti akan makna sebenarnya.

Kebiasaan ikut-ikutan membuta tuli ini dikhuatiri boleh menyimpang atau
tergelincir jauh daripada objektif pengucapan. Dan mungkin juga boleh
mencacatkan keyakinan akidah serta kepercayaan beragama kita.

ENDIT.

Monday, 28 September 2009

PERISTIWA BAHASA 20 - Sori Gua Lupalah!

SORI
GUA
LUPALAH!

MOHD GANI AHMAD

Di Pusat Tukaran Bas, Toa Payoh Central, ketika hendak naik bas nombor 88, kami, seramai 7 orang warga emas, terpaksa berderet di tangga bas kerana alat pengimbas kad ez-link masih belum berfungsi.

“Alamak, sori, jangan marah! Gua lupa mau start ini baranglah, Encik!” ungkap kapten bas, sambil menudingkan jari telunjuknya ke mesin yang terletak di kiri pintu.

Melihat rambut dan tampangnya, saya kira kapten bas ini juga warga emas. Setelah mesin pengimbas berfungsi, kami pun menekapkan kad kami ke mesin dan bergerak masuk ke tempat duduk.

Daripada peristiwa ini, akan kami bincangkan kosa kata lupa yang dilafazkan oleh kapten bas beberapa kali.

Dari sudut etimologi atau asal usul kekata, lupa ini ambilan daripada bahasa Sanskrit.

Kekata seiras atau seerti dengan lupa ialah alpa, cuai, lalai, lali dan lengah. Makna mudahnya kosa kata lupa ini ialah tidak ingat, tak sedar, tak prihatin dan tidak timbul dalam fikiran.

Mengenai lupa ini, ikutilah peristiwa seorang teman sasterawan terkenal yang sangat pelupa. Beliau dikatakan sering berkhayal dan berfikir terlalu serius sehingga terlupa akan apa yang harus dilakukan.

Pada suatu ketika, beliau terlupa pulang dengan skuter yang ditunggangnya dari rumah. Skuternya itu ditinggalkannya di Stadium Nasional setelah menonton perlawanan bola sepak.

Beliau baru teringat akan keterlupaannya itu setelah isterinya bertanya akan keberadaan skuternya itu ketika sudah berada di rumahnya.

Antara peribahasa umum yang menggunakan kosa kata lupa ini:

Pelanduk melupakan jerat, tapi jerat tidak melupakan pelanduk - yang bermakna orang yang berhutang sering lupa akan hutangnya tetapi pemiutang tidak pernah lupa orang yang berhutang kepadanya.
Lupa diri atau lupa daratan - bermakna orang yang tak ingat akan kehidupan dan kesusahan yang pernah dialaminya pada masa lalu.
Seperti kacang lupakan kulit - yang bermakna seseorang yang melupakan jasa bakti atau yang tidak mengenang budi orang.

Bercakap mengenai lupa, sila hayati pantun klasik yang ada hubung kaitnya dengan peristiwa lupa:

Laju, laju perahu laju,
Lajunya sampai ke Surabaya;
Lupa kain lupa baju,
Tetapi jangan lupakan sahaya.

Saya masih ingat akan penerangan Doktor Robert Gan, doktor pakar di hospital yang merawat saya selama lima tahun, ketika diajukan pertanyaan mengenai masalah lupa ini.

“Lupa merupakan simtom orang yang sudah berusia senja. Fungsi ingatannya semakin berkurangan. Bukan kerana kesan sampingan pil yang anda telan setiap hari. Saya yang baru berusia empat puluh juga sering terlupa.”

Seorang sahabat, H Fathol Rahman, pernah bercerita ketika bersembang di sela-sela aturcara kem kepemimpinan kesatuan di Kem Percutian Kampung Tengah, Sembawang:

“… Saya juga kadangkala lupa akan rakaat ketiga atau keempat ketika bersolat zuhur atau asar. Terpaksalah saya bersujud sahwi.”

Kandungan tafsiran bacaan sujud sahwi lebih kurang begini: ‘Maha suci Tuhan yang tidak tidur dan tidak lupa’.

Kesimpulan perbincangan kos kata lupa ini ialah sebagai manusia, kita memang tidak boleh lari daripada: lupa, alpa, cuai, lali, lalai dan lengah.

Yang penting, kita harus berusaha bersungguh-sungguh untuk mengurangi sikap dan tabiat keterlupaan ini. Kerana akibat lupa ini boleh menjejas reputasi dan kerjaya kita.

ENDIT.

PERISTIWA BAHASA 19 - Diftong atau Rangkap Vokal?

DIFTONGKAN
atau
RANGKAP

VOKAL?

MOHD GANI AHMAD

Dalam majlis pertandingan akhir kuiz antara sekolah rendah di Perpustakaan Tampines beberapa minggu yang lalu, beberapa kali kosa kata dimulal disebut.

Penyebutan rangkap atau gugus vokal a dan i di hujung kosa kata dimulai ini disebut dengan cara didiftongkan - iaitu vokal a dan i itu disenyawakan.

Sedangkan penyebutan rangkap vokal a dan i ini seharusnya diasingkan dan berdiri sendiri.

Sebelum peristiwa itu, perkataan dimulai ini juga disebut dengan cara yang sama; didiftongkan beberapa kali oleh seorang pendengar yang menyampaikan pandangannya di Radio Warna.

Nampaknya kedua-dua individu ini mungkin terpengaruh oleh seorang teman sepejabat saya, pegawai kanan, di Kementerian Pendidikan, yang pernah menjadi guru di beberapa buah sekolah pada tahun tujuh puluhan.

Teman saya ini juga sering mendiftongkan vokal rangkap a dan i apabila menyebut perkataan: mulai, memulai dan dimulai.

Penyebutan beliau ini telah beberapa kali ditegur dengan memberikan contoh bahawa penyebutan mendiftongkan ai dalam kosa kata mulai, memulai dan dimulai itu kurang benar.

Namun, beliau masih tidak dapat membetulkan kebiasaannya itu, “Dah terbiasalah menyebut begitu, susah nak ubah,” begitulah alasan jujurnya.

Cara penyebutan teman saya itu mengingatkan saya akan pengumuman yang sering dibuat di bioskop atau pawagam canggih di kompleks Bandung Indah di Kota Bandung pertengahan tahun 80-an.

“…Tayangan filem akan di + mu + lai pada jam setengah sembilan. Para penonton yang sudah memegang karcis dipersilakan masuk ke studio satu…” Begitulah kira-kira pengumuman petugas bioskop.

Penyebutan dimulai itu didiftongkan bunyi ai seperti sebutan perkataan: sampai, sungai, lampai, rantai, balai, bantai, santai, dan yang sebagainya.

Marilah kita analisis secara mudah akan perkataan ini, mulai berkata dasar mula, kemudian menerima imbuhan akhiran i.

Sebenarnya, kosa kata mula mempunyai dua suku kata mu dan la dan apabila diimbuh dengan akhiran i menjadi tiga suku kata mu + la + i.

Kosa kata lain yang sama bentuk dengan mulai ini: sertai, sukai, katai, rasai, bajai, cintai dan sebagainya.

Penyebutan perkataan-perkataan bervokal rangkap a dan i ini seharusnya: ser + ta + i ; su + ka + i ; ka + ta + i ; ra + sa +i ; ba + ja + i dan cin + ta + i.

Begitu juga dengan memulai dan dimulai - yang kemudiannya, menerima imbuhan awalan men dan di dan akhiran i.

Kesimpulan perbincangan kita kali ini, berhati-hatilah apabila menyebut perkataan-perkataan yang berbentuk demikian.

Rangkap vokal usah didiftongkan, begitulah juga sebaliknya bagi menjaga kemurnian sebutan bahasa baku dan yang benar.

Terutama sekali golongan tenaga pengajar dan para pegawai di media penyiaran: radio dan televisyen. Anda kalian merupakan pemangkin kemurnian bahasa Melayu.

Begitulah kira-kira.

ENDIT.

PERISTIWA BAHASA 18 - Daripada Kata Kepada Kekata

DARIPADA KATA
KEPADA KEKATA…

MOHD GANI AHMAD

Sebelum mesyuarat penyemakan dan penggubalan semula sukatan pelajaran bahasa Melayu di Kementerian Pelajaran, sekarang Pendidikan (MOE), di Kay Siang Road, akhir 70-an, seorang pegawai kanan bersungut:

“… Siapalah Cikgu Ariff itu yang pandai-pandai menggunakan perkataan kekata? Perkataan ini tidak terdaftar dalam kamus…”

Saya tidak merespons sungutan teman sejawatan saya yang sedang emosi itu. Begitulah wataknya apabila berhadapan dengan para guru dan tidak dapat mengatasi masalah bahasa.

Beliau baru pulang dari Amerika Syarikat kerana mengikuti program ijazah sarjananya dalam bidang ilmu perbandingan sastera dan bahasa.

Harapan saya, pasti beliau akan membuat kajian dan membentangkannya dalam bentuk tulisan atau ceramah kepada para guru dalam seminar atau mesyuarat yang biasa dianjurkan oleh jabatannya.

Sehingga beliau bersara, harapan saya itu tidak terpenuh dan masalah yang ditimbulkannya itu tergantung begitu sahaja.

Sebenarnya, kosa kata kekata yang ditimbulkannya itu tidak ada salahnya daripada sudut morfologi atau pembentukan perkataan.

Pendeta Dr Muhammad Ariff mencipta kosa kata ini berdasarkan analogi hukum pembentukan kata ganda separa yang lumrah, umpamanya: laki menjadi laki-laki dan lelaki; bayang menjadi bayang-bayang dan kemudiannya bebayang.

Dalam buku, ‘Kata Ganda Mengindah Wacana’, terbitan S-One Consultant, 2003, penulisnya ada membariskan perkataan kata ganda separa ini.

Walaupun kekata ini belum terdaftar dalam kamus, penggunaan kekata ciptaan Pendeta Dr Muhammad Ariff itu wajar diambil perhatian dan tidak diremehkan kewujudannya.

Setiap anggota masyarakat terutama sekali para sasterawan dan karyawan wajar mencipta kosa kata yang digunakannya secara sedar atau tidak.

Diterima pakai atau tidak oleh anggota masyarakat terpulanglah kepada kesesuaian dan keperluan semasa.

Memang biasalah, ciptaan seseorang tidak terus terdaftar dalam kamus, proses ini mengambil waktu yang agak panjang berdasarkan kekerapan penggunaannya oleh masyarakat pengguna.

Apabila masyarakat menggunakannya secara kerap dalam kegiatan berbahasa, maka barulah kosa kata ini dirumuskan oleh para linguis dan jawatankuasa istilah untuk dijadikan entri dalam kamus yang baku.

Sejauh pengetahuan saya, tidak sahaja kekata yang digunakan oleh Dr Muhammad Ariff, ada banyak lagi kosa kata, umpamanya: lelapang bagi kawasan lapang di bawah blok flat, yang ramai orang masih memanggilnya kolong blok; kekanak bagi kanak-kanak dan yang sebagainya.,

Dr Asmah H Omar, pakar bahasa yang tidak asing lagi, pernah berpendapat, yang antara lain maksudnya: ‘… penciptaan istilah daripada kata ganda: jejari, sesiku dan yang seumpamanya itu menunjukkan betapa indah dan kreatifnya pengguna bahasa kita…”

Jadi, ciptaan Dr Muhammad Ariff itu merupakan sumbangan yang bernilai dan tidak boleh disepikan kehadirannya begitu sahaja.

Marilah kita meneliti makna dan penggunaan kosa kata: kata, kekata, perkataan, berkata, mengatakan, dan mengata-ngata dalam wacana:

Siapa kata, adik saya yang mengambil novel awak?
Kekatanya itu agak payah difahami sejak dia diserang angin ahmar.
Perkataan kekata ini bermakna: perkataan, banyak kata atau cakap-cakap.
Mereka lebih gemar berkata akan kekata yang sia-sia.
Siapa yang mengatakan, yang dia itu lebih pandai berkata-kata daripada pengerusi persatuan kita?
Jangan suka mengata-ngata keburukan orang lain terutama sekali jiran tetangga.

Begitulah kira-kira.
ENDIT.

PERISTIWA BAHASA 17 - Kerak Nasi Membusut Jantan

KERAK
NASI
MEMBUSUT
JANTAN


MOHD GANI AHMAD


“Apa maknanya , Cikgu?” kata peserta kursus bahasa yang rajin bertanya setelah ditugaskan membaca sebaris bahasa berirama yang dipetik daripada ‘Hikayat Malim Dewa’.

Busut adalah tumpukan atau longgokan tanah seperti bukit kecil. Busut biasanya terbina oleh binatang kecil seperti semut, anai-anai dan sebagainya; yang dijadikan tempat tinggalnya.

Kekata yang seiras maknanya ialah pusu dan pongsu. Kekata ini telah dibincangkan dalam esei yang lalu; ‘Apakah makna berpusu-pusu?’

Daripada kosa kata busut lahirkan ungkapan:

Busut betina yang bermakna busut yang puncaknya bulat dan besar.
Dan busut jantan pula bermakna busut yang puncaknya kecil, lancip dan meruncing ke atas.

Jadi kerak nasi yang membusut jantan itu menggambarkan lebihan kerak nasi yang bertumpuk-tumpuk menjulang semakin sedikit ke atas.

Kerak nasi ialah nasi yang hampir hangus dan mengeras di bahagian dasar periuk. Sekarang kerak nasi ini jarang terhasil setelah kita menggunakan periuk elektrik.

Suhu kepanasan periuk dan jangka masa dapat ditentukan dan dikawal lebih awal lagi secara automatik.

Dulu, kerak nasi ini dijemur, kemudian digoreng dan dijadikan keropok sebagai makanan cemil-cemilan atau dijadikan hidangan tetamu.

Kalau keadaan tanah yang lebih tinggi sedikit dipanggil cangkat. Di negara kita wujud nama tempat yang dipanggil Cangkat Changi.

Dari sudut semantik, cangkat merupakan lereng tanah tinggi yang lebih rendah daripada bukit atau beting pasir di tepi laut.

Atau makna kedua cangkat: tidak dalam, dangkal, tohor atau cetek - mengenai kedalaman air di laut, sungai atau parit.

Salah satu peribahasa yang menggunakan kosa kata cangkat ialah cangkat sama didaki lurah sama-sama dituruni yang bermakna kesusahan dan kesenangan seharusnya dirasai dan dihadapi bersama.

Tanah yang lebih tinggi daripada busut dan cangkat ialah bukit. Insya-Allah, perkataan ini, akan kami bincangkan dalam kesempatan yang akan datang.

Kosa kata cangi telah dibincangkan oleh Drs Bahri Rajib dalam skripsinya bagi tugasan gelar sarjana muda yang dikemukakan kepada panel penilai Universitas Nasional Jakarta.

Antara dapatannya, beliau menyatakan bahawa cangi berasal daripada bahasa Jawa, cangcangi yang bermakna ditambat atau diikat.

Namun ada pendapat lain yang menyatakan bahawa asal kosa kata ini ialah sejenis pokok renek merambat, cangi ular, yang terdapat di daerah ini.

Ada juga pendapat yang menyatakan kosa kata cangi mungkin berasal daripada perkataan cengal atau cengai, sejenis pokok yang sesuai untuk dibuat perabot.

Dari sudut etimologi, memang nama tempat ada yang diambil daripada nama: haiwan, tumbuh-tumbuhan atau daripada peristiwa yang pernah terjadi di situ.

Pada kurun ke-17, daerah ini dikenal juga dengan nama Tanjung Rusa dan kurun ke-19 berubah pula menjadi Tanjung Cangi.

Pada masa ini masih terdapat beberapa nama tempat di Singapura yang menggunakan nama cangkat ini: Sekolah Rendah Changkat, Sekolah Menengah Changkat Changi dan Polis Kejiranan Changkat.

Dari sudut morfologi kosa kata cangkat dan busut tidak berkembang dengan mewahnya seperti umumnya perkataan lain.

ENDIT.

Sunday, 27 September 2009

PERISTIWA BAHASA 16 - Bukan Kena Buang Kerja


BUKAN
KENA
BUANG KERJA…



MOHD GANI AHMAD

Ketika berlangsung upacara ibadah korban, teman yang sedang menunggu penyembelihan kambing korbannya menimbulkan persoalan mengenai penggunaan peribahasa buang kerja.

Peribahasa ini banyak digunakan orang terutama sekali para pemimpin kesatuan sekerja dan ahli politik; yang tersiar di media massa.

“… ramai anak muda sekarang yang kurang mengerti makna sebenar buang kerja ini. Mereka menafsirkan ungkapan ini secara yang tersurat. Mereka kurang memahami makna yang tersirat akan peribahasa ini.” begitulah antara komentar beliau.

Makna denotasi kosa kata buang ialah campak, lontar, baling dan makna konotasinya pula: menghilangkan, menghapuskan atau mengeluarkan sesuatu. Makna kerja pula ialah tugas, kewajipan dan kegiatan melakukan sesuatu untuk mendapatkan: pahala, hadiah. upah atau gaji.

Buang kerja telah menjadi peribahasa yang pengertiannya sudah terikat antara kosa kata buang dengan kerja. Tidaklah boleh dihuraikan maknanya secara kata demi kata - sebagaimana yang tersurat sahaja.

Buang kerja bermakna dipecat atau dilucutkan daripada jawatannya. Mereka dihukum kerana melakukan kesalahan, menyelewengkan wang syarikat atau tidak melaksanakan tugas sebagaimana wajarnya.

Jadi, ramai pekerja sekarang ini bukan dibuang kerja. Mereka tidak dihukum kerana melakukan sebarang kesalahan. Yang menjadi puncanya ialah kegawatan ekonomi. Mereka hanya diberhentikan kerja.

Selain buang kerja, peribahasa lain yang menggunakan kosa kata buang yang maksudnya hampir sama: buang sekolah, buang negeri dan buang daerah.

Menyebut perkataan buang, teringat saya kepada teman yang bernama Buang. Menurut cerita orang tuanya, beliau menamakan anaknya, Buang, kerana anaknya berpenyakitan berpanjangan, lalu dibuangkanlah anak ini.


Satu lagi adat kolot ialah menukarkan nama anak kepada nama lain. Kononnya, nama yang lebih serasi dengan batang tubuh anak mereka.

Antara nama lain yang digunakan dan dikaitkan dengan adat buang ini: Pungut dan Kutip.

Munshi Abdullah dalam hikayatnya ada menyentuh peristiwa dirinya sebagai anak yang dijual kepada orang lain kerana sering sakit-sakitan.

Abdullah beberapa kali diserahkan menyusu dan dipelihara secara tidak rasmi kepada orang lain. Adat dijual ini samalah dengan adat dibuang.

Untungnya, Abdullah tidak diubah namanya menjadi Jual. Nama Abdullah diambil daripada nama guru ibunya, ulama Habib Abdullah Hadad.

Dalam sastera klasik zaman peralihan Hindu Islam ‘Hikayat Si Miskin atau Marakarmah’, perkataan buang ini juga ada digunakan:

“…konon anak kita kedua-dua ini membawa celaka besar. Kekanda bercadang hendak membuangkan mereka sahaja,” titah Tuanku Syah Alam kepada permaisurinya.

Dari aspek morfologi atau pembentukan kata, lahirlah kosa kata: terbuang, membuang dan pembuangan. Sila pelajari ayat contoh berikut:

Anak yatim yang malang itu seperti terbuang kerana tidak dipedulikan orang lagi keperluan hidupnya.
Kereta lumba yang dipandu dengan lajunya itu membuang ketika tiba di selekoh tajam di Sirkuit Gelanggang F1 di Marina Bay.
Pembuangan pekerja ladang getah beramai-ramai kerana mereka didapati terpengaruh dengan anasir komunis .

Sila hayati serangkap pantun tradisional yang bertemakan percintaan, yang menggunakan kosa kata buang, yang agak sumbang maksudnya:

Buah lomek buah bidara,
batang selasih saya lurutkan;
Buang emak buang saudara,
kerana kasih saya turutkan.

ENDIT.

PERISTIWA BAHASA 15 - Apa Makna Berpusu-pusu

APA
MAKNA
BERPUSU-PUSU?

MOHD GANI AHMAD

Di perhentian bas, Avenue 6, Ang Mo Kio, setelah selesai solat Jumaat, dua remaja berbual. Antara yang saya dengar: “…faham tak awak, makna berpusu-pusu?”

“Gua pun tak tahulah! Apa itu berpusu-pusu? Yang gua tahu berpasu-pasu,” gurau kawannya sambil tergelak memanjang.

Begitulah perbualan mereka setelah mendengar penerangan Haji Ghazali Lazan, bagi persiapan solat Hari Raya Haji. Antara lain kata beliau “…para jemaah diminta berwuduk di rumah supaya tidak berpusu-pusu di bilik air di masjid…”

Kosa kata berpusu-pusu ini memang jarang diucapkan orang. Kekerapan penggunaannya sangat rendah. Dan kalau anak muda sekarang tidak memahami maknanya, wajar-wajar sajalah.

Makna pertama pusu, yang berjenis kata nama ini ialah longgokan atau timbunan tanah. Kadangkala disebut pongsu; anak bukit atau busut.

Bagi dialek Minang, pusu bermakna kusut atau berterbangan: bagi asap, kapuk dan rambut. Sementara dalam dailek Johor pula, bermakna berkerumun-kerumun dan berhimpit-himpit.

Berpusu-pusu, merupakan kata kerja yang seiras maknanya dengan: berduyun-duyun, berkelompok-kelompok, berderet-deret, bertunda-tunda, beruntun, berjajar dan berasak-asak.

Kosa kata ini menggambarkan situasi atau keadaan terlalu ramai orang yang menyebabkan keadaan menjadi sukar bergerak atau berjalan.

Dari sudut morfologi, kosa kata pusu ini tidak berkembang dengan mewahnya seperti kosa-kosa kata lain dalam bahasa Melayu.

Saya dan isteri pernah mengalami peristiwa berpusu-pusu ini di Mina pada April 1996. Keadaan ini menakutkan kami dan menghalang hajat kami hendak menyeberang jalan untuk pulang ke rumah tumpangan.

Kami terpaksa mengikuti arus mereka yang berpusu-pusu itu sejauh tiga kilometer. Pada masa kami pergi ke Pusat Telekomunikasi di Mina itu kerana hendak menelefon keluarga di Singapura kira-kira jam 10.00 pagi para jemaah belum ramai.

Jemaah yang berpusu-pusu dan bertali arus ini kelihatan ramai dari negara: Pakistan, Bangladesh, Afghanistan dan India.

Kami mengecam bangsa keturunan mereka ini setelah memerhatikan: tampang, bendera yang dijulang dan tanda nama yang tergantung di leher mereka.

Pakaian mereka lusuh dan basah. Dahi dan leher mereka bermandikan peluh. Mereka, ada yang membimbit atau menjunjung beg. Anak dan isteri mereka memegang hujung pakaian ihram mereka.

Mulut mereka tetap berkomat-kamit: bertakbir, bertahmid dan bertahlil.
Mereka baru tiba dari Arafah setelah singgah bermalam di Muzdalifah. Mereka berjalan kaki sejauh kira-kira 20 kilometer.

Keadaan mereka menimbulkan rasa simpati kami. Kebanyakan mereka tidak bertempat penginapan seperti jemaah haji dari Singapura; yang boleh digolongkan berkeadaan mewah dan lumayan.

Kebanyakan mereka mendirikan khemah daripada kanves, gebar dan kadbod di pinggir jalan sepanjang kawasan ke jamrah. Biasanya, mereka tinggal di tempat yang paling hampir dengan bilik air.

Bagi mengatasi masalah berpusu-pusu ini, kami menggunakan kaedah seperti yang kami amalkan ketika mengelilingi Kaabah. Mula-mula, mengikut arus yang paling pinggir pada pusingan pertama.

Kemudian, pada pusingan seterusnya, bergerak perlahan-lahan masuk ke barisan dalam; yang lebih hampir dengan Kaaba. Begitulah juga kebalikannya untuk keluar setelah selesai tawaf.

Keadaan berpusu-pusu terjadi di mana-mana sahaja pada masa melaksanakan ibadah haji dan umrah di Tanah Suci: bertawaf, bersaii, melontar jamrah dan yang sebagainya.

ENDIT.

PERISTIWA BAHASA 14 - Baru dan Baharu Sama Tapi Tak Serupa

BARU
dan
BAHARU
SAMA
TAPI
TAK SERUPA


MOHD GANI AHMAD


“Wah, bas kita sekarang cantik-cantik dan baharu-baharu!” tegur ramah lelaki Cina Peranakan warga emas sebaik-baik sahaja dia duduk di sebelah saya dalam bas nombor 88.

“Baba nak ke mana ni?” sambut saya spontan.

“Gua baru pindah ke Bishan ni. Gua nak ke rumah mak gua di Kallang Bahru,” Jelasnya dengan pelat Peranakan yang masih pekat.

Alhamdulillah, dapat saya idea bagaimana hendak memulakan perbincangan kita kali ini mengenai kosa kata baharu dan baru.

Kepada masyarakat umum, memang tidak ada perbezaan makna dan penggunaan kosa kata ini.

Selama ini, ejaan kosa kata ini pelbagai: baharu, baru, bahru dan bharu. Contohnya ejaan nama-nama tempat: Kota Bharu, Johor Bahru, Tiong Bahru, Kebun Baru dan Pekanbaru.

Baharu biasa disebut baru. Kaedah biasa yang diamalkan oleh anggota masyarakat. Sama seperti perkataan sahaya menjadi saya; sahaja menjadi saja dan yang sebagainya.

Mengenai ejaan yang agak bercelaru ini kerana menerima gangguan bahasa: bharu kaedah bahasa Sanskrit dan bahru cara bahasa Inggeris.

Namun kini, dalam laras pendidikan atau pedagogi, para pakar bahasa telah merumuskan penyelarasan: ejaan, makna, jenis dan penggunaan baharu dan baru.

Bagi memudahkan perbincangan, sila pelajari pantun contoh yang memperlihatkan perbezaan penggunaan kosa kata baharu dan baru:

Lembu baharu kereta pun baharu,
Baru sekali masuk Melaka;
Adik baharu abang pun baharu,
Baru sekali bertentang mata.

Lembu baharu kereta pun baharu dan adik baharu abang pun baharu; baharu dalam baris 1 dan 3 pantun ini bermakna bukan yang lama. Sebelum itu tidak ada dan kini wujud.

Baharu dipadankan maknanya dengan new. Jenis katanya dikategorikan sebagai kata adjektif - yang menerangkan kata nama dan kata ganti.

Sementara, baru sekali masuk Melaka dan baru sekali bertentang mata dalam baris 2 dan 4 pantun ini pula; bermakna pada masa itu juga atau pada ketika itu atau apabila sahaja.

Baru pula padanan perkataan just dalam bahasa Inggeris. Dan baru berjenis kata bantu - yang menerangkan kata kerja dan sebagainya.

Dalam Kamus Dewan Edisi Ke-4, 2005, dan Kamus Besar Bahasa Indonesia, Edisi ke-3, 2001, kedua-dua kata baharu dan baru ini masih tidak dan belum dibezakan.

Sejauh ini, hanya Kamus Komprehensif Bahasa Melayu, 2005, Penerbit Fajar Bakti, susunan Arbak Othman, yang disemak dan dikemaskinikan oleh Nik Safiah Karim; yang menerangkan secara tuntas akan perbezaan ejaan, makna, jenis dan penggunaannya.

Antara peribahasa yang menggunakan perkataan baru:
Baru bertunas sudah dipetik, lama-lama matilah pokok - yang bermakna belum pun mendapatkan keuntungan atau laba, modal sudah digunakan untuk berbelanja besar, akhirnya terlungkup atau muflis.

Baru bertatih hendak berlari - yang bermakna seseorang yang melakukan tugas atau bekerja melebihi kemampuan atau kekuatan dirinya.

Begitulah kira-kira.

ENDIT.

PERISTIWA BAHASA 13 - Angin Ahmar Punca Lumpuh

ANGIN AHMAR
PUNCA LUMPUH


MOHD GANI AHMAD

Pada hari Rabu yang lalu, ketika menjadi pemudah cara dalam ‘Kursus Bahasa’, di Nanyang Walk, Puan Hajah Masuta tiba-tiba berkata:

“Saya tahu yang angin ahmar ini tergolong dalam kata majmuk atau ungkapan tapi saya belum pasti akan makna perkataan ahmar ini, Cikgu?”

Sebenarnya, dari sudut etimologi kosa kata ahmar ini ambilan daripada bahasa Arab yang bermakna merah. Kosa kata ini menjadi entri dalam ‘Kamus Dewan’ dan kamus-kamus berwibawa yang lain.

Begitu juga dengan kata majmuk atau ungkapan angin ahmar ini diberikan penjelasannya dalam kamus dengan makna yang agak komprehensif.

Mungkin beliau belum sempat merujuk kamus yang terdapat di mejanya.

Bercakap mengenai angin ahmar ini, saya secara peribadi pernah mengalaminya.

Peristiwa ini terjadi pada 14 Disember 2003, jam 5.20 pagi, ketika hendak menyelesaikan wuduk; membasuh kaki kanan.

Tiba-tiba, seakan-akan ada petir yang memanah bahu kanan saya. Pancaran petir itu terasa melalui tingkap bilik mandi.

Terasa kaki kanan saya menjadi lemah longlai dan tidak boleh diangkat. Nasib baik, ada palang besi tempat gantungan bidai yang mengasingkan ruangan mandi dengan ruangan yang lain.

Di palang itulah saya berpaut daripada terjatuh. Saya pun berteriak memanggil isteri dan anak-anak untuk memapah saya ke atas katil. Saya terasa kaki kanan telah lumpuh.

Setelah terbaring di atas katil, isteri saya teringat akan petua yang pernah diberitahukan Haji Rahmat Tahir, seorang sahabat:

“…Jika ada orang diserang angin ahmar, tumbukkan halia, tanah liat dan minyak tanah. Kemudian, lumurkan dan gosokkan ke bahagian anggota tubuh yang lumpuh berulang-ulang. Insya-Allah, kelumpuhan itu akan berkurangan…”

Setelah diurut-urut oleh Rendra, anak, selama hampir sejam, kaki kanan saya dapat digerak-gerakkan dan boleh bertatih-tatih di sekitar katil.

Kemudian saya dihantar dan dirawat di Hospital Tan Tock Seng oleh Dr Stanley Gan, selama seminggu. Diikuti rawatan sebulan sekali sebagai pesakit luar selama hampir empat tahun.

Untuk membantu mempercepat kesembuhan akibat kelumpuhan ini, saya juga mendapat rawatan tukang urut, Haji Mahmud Sopan, setiap pagi selama sebulan.

Angin ahmar atau strok dalam laras perubatan atau kedoktoran ialah sejenis penyakit yang berpunca daripada pengaliran darah yang kurang lancar.

Apabila darah menjadi pekat, pembuluh darah atau urat kita semakin menyempit, darah tidak dapat mengalir ke otak atau ke jantung seperti sewajarnya, maka terjadilah apa yang diistilahkan sebagai serangan angin ahmar atau strok ini.

Peristiwa angin ahmar ini tercatat dalam kisah agama, Nabi Sulaiman a.s. pernah didatangi jin yang bernama Al-Rahul Ahmar, yang mengaku bahawa dia boleh meresap ke dalam urat darah manusia dan mengakibatkan penyakit ini.

Cucu Nabi Muhammad Saw, Saidina Hassan r.a., juga pernah diserang penyakit angin ahmar. Rasullulah memohon kepada Allah Swt. yang kemudian disampaikan oleh Jibril, bacaan doa tertentu bagi menyembuhkan penyakit angin ahmar atau strok ini.

Setelah dibaca oleh Nabi Muhammad Saw akan doa ini, Saidina Hassan r.a. pulih dan boleh berjalan semula seperti biasa.

Walau bagaimanapun kedua-dua kaedah pengubatan ini haruslah diamalkan oleh pesakit; iaitu doa dan perubatan saintifik.

ENDIT.